Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Tuduhan BR1M Rasuah Berasas Kebencian

Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah rasuah adalah satu pandangan yang agak pelik. Ia adalah berasasakan politik kebenciaan dan dendam semata-mata. Pakar ekonomi dan mereka yang rasional pemikirannya tahu bahawa BR1M adalah pendekatan kerajaan membantu rakyat, terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ia termasuk dalam inisiatif kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kos Sara Hidup Rakyat. Sejak mula ia diperkenalkan tiga tahun lalu banyak pihak yang menyambut baik pemberian bantuan itu. Ramai penerima yang berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan itu dapat membantu mereka.

Justeru, tanggapan bahawa BR1M adalah rasuah kerajaan kepada rakyat tidak sepatutnya timbul. Beberapa hujah boleh diketengahkan untuk menolak tuduhan Dr Mahathir itu.

Pertama, BR1M merupakan satu bentuk bantuan yang dimasukkan dalam pembentangan bajet yang dibahaskan di Parlimen. Oleh itu, tidak sepatutnya ia dianggap rasuah setelah pelaksanaannya dibuat secara terbuka untuk kepentingan rakyat. Tanggpan yang dibuat Dr. Mahathir itu adalah bersifat politik semata-mata. Ia bukan seperti yang difikirkan jawatankuasa fiskal yang mencadangkannya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bersama Dr. Mahathir di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika dalam kerajaan dulu menyebut bahawa BR1M adalah pemberiaan ikhlas kerajaan kepada rakyat dan ia bukan rasuah daripada kerajaan.

Pemberian subsidi bersasar

Kedua, ketika kerajaan melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi termasuk menghapuskan beberapa subsidi barangan, kerajaan telah berjanji akan melaksanakan pemberian subsidi bersasar. Caranya ialah dengan menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukaannya.

BR1M antara bentuk bantuan itu yang dianggap sebagai pemberiaan subsidi bersasar. Ia juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan mengagihkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada kumpulan B40. Pemberiannya dibuat secara telus kerena mereka tidak disaring dari segi ideologi politik, latar belakang agama dan  kaum.

Ketiga, bantuan subsidi bersasar telah dilaksanakan oleh banyak negara dalam pelbagai cara dan nama. Contoh, di United Kingdom, kerajaan negara itu memberi bantuan menerusi pemberian ‘setem makanan’ dengan menggunakan kad khas untuk tujuan pembelian makanan.

Pada tahun 2013, kerajaan Indonesia memberi rakyatnya bantuan tunai di bawah Program Keluarga Harapan bagi membantu meringankan kos sara hidup. Indonesia berbuat demikian ekoran pelaksanaan program rasionalisasi subsidi petrol dan diesel.

Keempat, laporan The Guardian baru-baru ini yang memetik 35 pakar ekonomi Britain mahukan bank pusat negara itu melaksanakan pemberian bantuan tunai bagi mengatasi kelembapan ekonomi berbanding melaksanakan pemotongan kadar faedah juga membuktikan bahawa pemberiaan BR1M adalah satu langkah yang tepat dilaksanakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib.

Kelima, dari segi manfaat ekonomi, BR1M bukan sahaja dapat membantu kewangan golongan berpendapatan terendah (B40) tetapi ia jua dapat merangsang ekonomi. Bagaimana ia boleh merangsang ekonomi? Jawapannya ialah apabila golongan yang menerima bantuan tunai itu berbelanja maka ia secara tidak langsung dapat meningkatkan penggunaan domestik dan berlakunya aliran wang tunai dalam pasaran. Peniaga juga mendapat manfaat dari perbelanjaan rakyat itu.

Kesimpulannya, BR1M adalah inisiatif jaringan keselamatan sosial rakyat diperkenalkan kerajaan khususnya untuk golongan berpendapatan rendah seperti disyorkan oleh Jawatankuasa Fiskal Negara yang terdiri daripada para pakar ekonomi negara. Ia sebagai tanda kerajaan tidak meminggirkan sesiapa pun. Golongan yang susah dan memerlukan tetap dibantu.

Justeru, kenyataan Tun Mahathir bahawa bantuan kerajaan itu adalah rasuah dan bertujuan untuk memancing undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) sukar untuk diterima sama sekali.  – BH (Interaktif) 30/12/2016

________________________________________________________________

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia