Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Menolak Fahaman Pragmatisme Moral

DALAM ketamadunan manusia persoalan me­­ngenai akhlak atau mo­ral telah diberi perhatian sejak dulu lagi. Contohnya, ahli-ahli falsafah Yunani telah membahas dan menyelidik persoalan mengenai akhlak dengan tujuan membentuk angkatan muda Yunani yang dapat berpe­ranan dengan baik terhadap tanah airnya. Socrates adalah antara ahli falsafah Yunani yang berpendapat bahawa akhlak adalah ukuran untuk mengetahui baik dan buruk sesuatu perbuatan.

Anak muridnya, Plato pula berpendapat bahawa kehidupan yang mulia dan bahagia bertitik tolak daripada moral yang baik dengan empat keutamaan yang harus ada, iaitu kebijaksanaan, keberanian, keperwiraan dan keadilan.

Ketika agama Nasrani mula tersebar di Eropah pada akhir abad ketiga Masihi, ajaran agama itu mengajarkan nilai-nilai akhlak yang tercantum dalam Taurat. Masyarakat Arab jahiliah pada ketika itu tidak memiliki aliran ter­tentu dalam ajaran akhlak. Mereka hanya bergantung dengan kata-kata hikmat dan syair-syair yang menyentuh tentang kebaikan dan keburukan mengikut ukuran mereka. Namun, setelah kedatangan Islam masyarakat Arab dibentuk dengan nilai-nilai akhlak berasaskan ajaran al-Quran.

Di Tanah Besar China pula, ajaran Kung Fu Tse sangat menitik beratkan nilai-nilai moral. Asas-asas ajaran Kung Fu Tze berpaksikan prinsip-prinsip budi pekerti yang baik. Ia berasaskan dua aspek, iaitu Hsiao berkaitan hubungan dalam kehidupan manusiawi dan Shu, iaitu hubungan timbal balik pihak atasan terhadap pihak bawahan. Prinsip Shu berpangkal pada asas pemikiran Kung Fu Tse yang berbunyi - “ Apa yang kamu tidak ingin lakukan orang lain terhadapmu jangan lakukan terhadap orang lain”.

Hari ini, setelah manusia melalui pelbagai kemajuan dan kemo­denan maka lahir pemikiran baharu mengenai moral dan akhlak yang dikaitkan dengan falsafah pragmatisme. Pragmatisme mula berkembang di Amerika Syarikat (AS) pada akhir abad ke-19. Antara tokoh-­tokoh terkenal falsafah pragmatisme ialah Charles Sander Peir­ce, William James dan John Dewey.

Pragmatisme adalah aliran yang berpegang kepada logik pengamatan. Ia mengajarkan bahawa yang benar adalah apa yang membuktikan dirinya sebagai benar de­ngan perantaraan akibat-akibatnya yang bermanfaat secara praktik. Sebagai aliran yang berakarkan sekularisme maka aliran ini menolak nilai-nilai tetap (absolute) yang ada dalam agama. Pada pan­dangan mereka semuanya ber­ubah mengikut zaman.

Antara nilai yang dipegang oleh pragmatisme moral adalah berpandukan ajaran Sigmund Freud yang merumuskan bahawa naluri seks adalah penggerak kepada segala aktiviti manusia. Bagi Freud segala aktiviti manusia ini adalah didorong naluri seks. Oleh itu, tidak hairanlah penganut pragmatisme moral beranggapan bahawa tidak ada salahnya jika hubungan seks tanpa nikah, liwat, gay dan lesbian yang dilakukan secara sukarela. Ia dianggap hak individu yang tidak mengganggu ketenteraman masyarakat dan kehidupan orang lain.

Ini berbeza dengan ajar an Islam yang melihat akhlak adalah bersumberkan wahyu yang tidak boleh diubah. Islam mendefinisikan jenayah atau jarimah dalam skop lebih luas. Ia membawa maksud larangan syarak yang perlu dibendung dengan hukum-hukum hudud, qisas dan takzir. Ini bererti apa jua bentuk larangan syarak seperti zina, minum arak, liwat, gay, lesbian dan sebagainya adalah satu jenayah. Malah, amalan meninggalkan perintah seperti solat, puasa di bulan Ramadan, zakat dan sebagainya adalah juga tergolong dalam skop jarimah.

Malah, dalam konteks ma­syarakat kita yang bersifat majmuk, ajaran dan nilai-nilai moral yang terkandung dalam ajaran Buddha, Kristian dan Hindu juga tidak dapat menerima pragmatisme moral yang jelas bercanggah de­ngan ajaran agama masing-masing. Di dalam ajaran Buddha, penganutnya dikehendaki menghindari perbuatan zina dan minuman keras yang boleh memudaratkan tubuh badan.

Ajaran Konfusianisme pula mengajarkan lima kebaikan, iaitu Ren (perasaan kasih sayang), Yi (melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan), Sin (amanah), Li (norma-norma baik dalam mentadbir) dan Zhi atau Cu (bijaksana dalam hidup ini). Demikian juga dengan penganut Kristian yang benar-benar berpegang kepada The Ten Commandments berasaskan Old Testament yang mengajar 10 prinsip kebaikan hidup. Antara perkara yang dilarang dalam ajaran ini ialah jangan berzina, membunuh, mencuri, berdusta dan mengambil hak jiran.

Dalam ajaran New Testament pula, penganut Kristian dilarang melakukan perbuatan seperti menghina, menipu dan bersifat tamak. Sebaliknya, ia menyuruh bersifat merendah diri, bercakap benar, berterus terang, mencintai orang lain, berkasih, mengasihi jiran, menghormati ibu bapa dan mengutamakan etika.

Dalam ajaran Hindu, tokoh Patan Jali mengajarkan dua konsep moral yang penting, iaitu Yamas dan Niyamas. Yamas adalah amalan untuk diri sendiri yang me­ngandungi nilai-nilai seperti sathya (amanah), ahimasa (berfikiran mulia), asteya (tidak menghasut), brahmacharia (berperibadi mulia) dan aparigraha (tidak tamak). Niyamas pula ialah amalan mulia untuk kepentingan umum se­perti santhosa (menghormati orang lain), tepaha (sabar dalam menolong orang), iswariaparanidha (dermawan), sundhyaya (berdisiplin) dan saucha (elok tingkah laku).

Kesimpulannya, fahaman prag­matisme moral tidak sesuai di­amalkan masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Islam. Oleh itu, generasi muda kita tidak kira apa juga anutan agamanya harus dididik dengan nilai-nilai agama supaya memiliki akhlak dan nilai moral yang tinggi. – UM 23/12/2016

 

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.