Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Nasionalisme Kemanusiaan Amalan Negara Antiperkauman

Dunia abad ke 21 ini penuh cabaran. Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa yang berdaulat perlu terus melaksanakan anjakan dan transformasi bagi memastikan wawasan dan impian negara tercapai.

Wawasan dan impian kita ialah untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan keadaan rakyatnya yang sejahtera dan bersatu padu.

Justeru, kita memerlukan karakter bangsa yang kental, gigih, tekun dan patriotik supaya hasrat tersebut dapat dipenuhi.  Setiap rakyat harus merasa dirinya bersatu serta memiliki hasrat, kemahuan atau keinginan yang tinggi untuk terus menyumbang seoptimum yang mungkin dalam ‘nation building’.

Bangsa Malaysia yang berbilang kaum mesti mempunyai rasa ‘kebersamaan’ dan ‘kesepunyaan’, iaitu merasa satu ‘kesatuan bangsa’ yang bukan lagi dipecahkan oleh rasa kesukuaan atau perkauman yang menebal.

Sebaliknya, bangsa Malaysia adalah bangsa dalam sebuah negara yang sama-sama tunduk kepada kedaulatan negaranya sebagai suatu kekuasaan tertinggi. Ia adalah pengertian geopolitik yang harus dijadikan  asas nasionalisme bangsa Malaysia yang baharu.

Namun, dalam masa yang sama bangsa Malaysia harus menghayati sejarah dan perjuangan bangsa dalam membebaskan diri dari cengkaman kolonialisme. Penghayatan ini penting supaya semangat nasionalisme dan patriotisme yang berkembang dari perjuangan itu dijadikan landasan dalam meneruskan perjuangan mengangkat martabat bangsa Malaysia ke satu tahap yang dapat dibanggakan.

Penghayatan terhadap semangat perjuangan anak bangsa dulu dan kini penting kerana ia mampu memberikan impak psikologis dalam  membangkitkan kesadaran nasional dalam kerangka nasionalisme Malaysia. Rakyat yang nasionlis dan patriotik penting kerana ia merupakan sumber tenaga yang dapat menjamin kesejahteraan sosioekonomi negara.

 

Cabaran negara-bangsa

Namun, cabarannya tetap wujud. Walaupun pada hari ini kita berada dalam ‘perkampungan sejagat’ kesan kemajuan teknologi telekomunikasi dan informasi (ICT), tetapi di sebalik kebaikan itu ia telah menghakis batas-batas ‘territorial’ negara dan sekali gus menjadi cabaran besar kepada kewujudan suatu negara bangsa seperti Malaysia.

Dalam konteks inilah maka kita melihat perlunya semangat nasionalisme dan patriotisme bangsa Malaysia diperkasakan. Semua negara-bangsa di dunia memiliki kepentingan nasional dan kemegahan bangsa yang harus dipertahankan. Ia memerlukan kekentalan semangat nasionalisme yang dapat menjadi parameter konkrit mempertahan kepentingan dan kedaulatan tanah air.

Namun, nasionalisme yang kita bina ini tidak harus terhenti pada ruang teoritis semata-mata, tetapi ia juga harus bersifat universal berasaskan kesedaran tentang kemanusiaan.

Nasionalisme tanpa kemanusiaan akan cenderung bersifat ‘chauvinis’ dan ‘eksploitatif’. Maknanya nasionalisme bersifat kemanusian universal ini akan membentuk dan mencetuskan kesedaran dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Inilah nasionalisme hakiki yang harus dipraktikkan dalam dunia tanpa sempadan ini. Justeru, atas semangat nasionalisme kemanusiaan inilah maka kita menentang kekejaman regim Nyanmar terhadap etnik Rohingya dan kekejaman Zionis Israel ke atas rakyat Palestine.

Nasionalisme yang bersifat rasisme seperti diamal pada abad lampau tidak sepatutnya dipertahan dan diperjuangkan lagi kerana nasionalisme jenis ini penuh penyelewengan dan kezaliman. Sepanjang sejarahnya yang bermula di Eropah pada abad ke 18, nasionalisme berasaskan rasisme terbukti telah melanggar prinsip-prinsip kemanusiaan dan tidak berupaya menegakan keadilan dan persamaan hak sesama manusia. Inilah yang banyak dilakukan oleh negara-negara Eropah ketia era kolonialisme dulu dan masih menjadi amalan regim tertentu di dunia pascamoden hari ini. – BH 9/1/2017

_________________________________________________________________

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.