Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pastikan Generasi Muda Dinamik Warisi Negara

Belia adalah golongan yang disandarkan harapan yang besar untuk memikul tanggungjawab mewarisi negara ini. Golongan ini, dengan segala kekuatan yang ada padanya – kekuatan fizikal, kekuatan minda, kekuatan semangat, kekuatan daya juang dan  ketinggian cita-cita – menjadi  penentu kepada kelangsungan negara-bangsa Malaysia. 

Jumlah belia di negara kita hampir mencacah 12 juta, iaitu 41.5 peratus jumlah penduduk Malaysia. Justeru, suara, pandangan (idea) dan sumbangan belia dalam segala aspek pembangunan negara adalah penting. Bertitik tolak dari sinilah maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengemukakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) ketika membentangkan Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu.

Kini, penentuan hala tuju TN50 sudah pun dimulakan pada 19 Januari lalu apabila Dialog Perdana TN50 diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaya. Najib sendiri berdialog, mendengar dan menjawab  segala pandangan yang dilontarkan oleh anak-anak muda kita.

Selama dua jam Najib  meluangkan masa bersama lebih 500 belia yang hadir terdiri dari pelbagai kaum. Mereka adalah anak ‘bangsa Malaysia’ yang mempunyai aspirasi dan semangat yang tinggi untuk menyumbang terhadap masa depan negara.  

Segala lontaran idea, hasrat dan aspirasi belia yang dilontarkan dalam sessi dialog bersejarah itu akan dijadikan input bagi pengisian dasar futuristik baharu itu. TN50 akan menjadi dasar baharu negara. Pastinya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menggalas mandat besar ini akan menyelaras dan menghimpunkan semua cadangan serta pandangan mengenai TN50 yang dilontarkan dalam dialog itu untuk dinilai dan dimasukkan dalam rangka hala tuju TN50 nanti.

Dialog Perdana TN50 itu membuktikan bahawa Najib sentiasa menunjukkan sikap keterbukaanya untuk berinteraksi secara bersemuka bagi mendengar suara hati  golongan muda. Bukan setakat mendengar sahaja tetapi ianya akan dimanfaatkan dalam  menentukan masa depan negara. Terbukti dialog yang diadakan dalam format townhall itu merupakan satu platform baharu bagi kerajaan mendengar pandangan generasi muda dengan membabitkan peranan belia secara konkrit.

Suntik semangat belia

Program yang bersifat santai tanpa banyak protokol itu telah merangsang dan menyuntik semangat belia menjadi lebih berkeyakinan dalam memberikan pandagan dan idea kepada pucuk kepemimpinan negara.  Nyata sekali, dialog perdana TN50 itu menjadikan anak-anak muda tidak kekok untuk berkongsi hasrat tentang masa depan negara menjelang 2050 nanti. Pelbagai pandangan dan idea dikemukakan mereka seperti ekonomi digital, pendidikan, alam sekitar, pembangunan bandar dan luar bandar, kesejahteraan bandar, perkhidmatan awam, perpaduan nasional dan jati diri menunjukkan bahawa golongan belia kita mempuanyai aspirasi yang tinggi  mengenai masa depan negara.

Bila Najib memberi respon positif kepada setiap persoalan yang dikemukkan oleh belia terbabit, ternyata mereka amat gembira dan memberi tepukan dan sorakan kegembiraan dengan penuh tertib. Sifat beliau yang beradab inilah yang kita harapkan menjadi pemimpin pada masa depan. Pastinya mereka rasa dihargai apabila peranan dan buah fikiran (idea-idea) mereka diiktiraf oleh kerajaan dan akan digunakan dalam merangka dasar TN50 nanti.

Penulis yakin lebih banyak input akan dapat dikumpul oleh KBS apabila kementerian yang diterajui oleh anak muda, Khairy Jamaludin itu menganjurkan lebih banyak sesi dialog TN50, disamping menganjurkan wacana nasional mengenainya membabitkan ahli akademik, budayawan, usahawan, ahli korporat dan  professional.  Mengikut jadualnya, dokumen akhir mengenai dasar TN50 akan disedia dan dimuktamatkan sepanjang bulan Oktober hingga Disember tahun ini.   

TN50 akan membentuk identiti nasional yang lebih mantap, moral yang tinggi, generasi muda yang progresif dan dinamik, berpendirian teguh, berintegriti dan amanah. TN50 akan melahirkan personaliti yang menonjol dalam pelbagai bidang dan berupaya membawa negara melangkah maju ke hadapan dengan pertumbuhan yang mampan dan hijau, kesejahteraan yang lebih baik, modal insan yang berkemahiran tinggi, berproduktiviti tinggi, masyarakat yang benar-benar bersatu, harmoni dan sejahtera selaras dengan ciri-ciri negara maju dan inklusif. –BH 21/1/2017

_______________________________________________________

Penulis ialah Penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.