Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Malaysia Mampu Atasi Kesan Dasar Perlindungan Trump

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengambil keputusan untuk keluar dari Perkongsiaan Trans-Pacific (TPP). Beliau menandatangani perintah eksekutif, yang secara rasmi menarik diri dari kerjasama 12 negara TPP. Trump yang secara rasminya dilantik sebagai Presiden ke-45 AS pada 20 Januari lalu menganggap tindakannya itu sebagai satu langkah besar bagi melindungi ekonomi dan pekerja AS. 

Dasarnya yang bersifat protektif itu akan mengutamakan atau mendahulukan kepentingan nasional AS (America First). Kepemimpinannya akan melaksanakan ekonomi yang mendahulukan kepentingan nasional dan kepentingan warga negara AS sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Trump menekankan bahawa ekonomi AS yang baru akan memberi penekanan kepada mengutamakan membeli produk-produk dalam negeri (Buy American) dan membuka peluang pekerjaan kepada warga Amerika (Hire American). Dasar perlindungan Trump ini boleh memberi kesan negatif kepada banyak negara, terutamanya aktiviti eksport. Malaysia tidak terkecuali.

AS adalah rakan dagang ke-3 terbesar Malaysia dan negara itu merupakan pasaran eksport utama bagi Malaysia. Pada tahun lalu nilai eksport kita kira-kira RM73.7 bilion.

Justeru, dasar ‘mendahulukan Amerika’ itu boleh memberi kesan kepada kita kerana dasar itu akan menyebabkan syarikat-syarikat AS yang beroperasi di luar negara kembali ke AS untuk mewujudkan peluang kerjaan tempatan. Trump mungkin menggenakan cukai tambahan kepada syarikat AS yang beroperasi di luar negara supaya balik semula ke AS untuk wujudkan peluang kerja tempatan.

Selain itu, AS juga akan mengenakan duti import yang lebih tinggi kepada barangan dari negara luar bagi memastikan barangan AS dapat bersaing. Justeru, Malaysia perlu bersedia mengatasi kekurangan ini dengan memperkukuhkan hubungan perdagangan dengan negara-negara dagangan yang lain, terutamanya China dan negara-negara Eropah.

Langkah bijak perkukuh hubungan dengan China

Kita melihat langkah bijak telah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mengadakan lawatannya ke China tahun lalu bagi mengukuhkan hubungan ekonomi China-Malaysia.

Impak perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan China ketika lawatan rasmi enam hari Najib ke China bermula 31 Oktober lalu bakal memanfaatkan kepada negara dan rakyat. Antara syarat pelaburan Malaysia-China yang menguntungkan ialah China bersetuju tidak menetapkan had terhadap pengimportan minyak sawit dari Malaysia, sarang burung walet dan pelaburan tunggal terbesar sebanyak RM55 bilion bagi membangunkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Duta besar China ke Malaysia, Huang Huikang ECRL dibina di negara ini adalah harta negara ini sepenuhnya.

Malaysia juga boleh mengambil kesempatan melakukan hubungan dagang yang lebih besar dengan negara-negara Eropah seperti Jerman.

Ini bertitik tolak dari kenyataan Menteri Ekonomi Jerman, Sigmar Gabriel yang mengatakan Jerman akan mengambil manfaat dari setiap peluang perdagangan di Asia apabila Trump melaksanakan dasar proteksionisme AS dan menarik diri dari TPP.

Jerman ambil peluang

Gabriel dalam wawancaranya dengan akhbar Handelsblat baru-baru ini mengatakan jika Trump memulai ‘perang dagang’ dengan Asia dan Amerika selatan, maka Jerman akan mengambil peluang itu. Gabriel turut mengkritik ancaman Trump untuk mengenakan tarif 35 peratus kepada kereta Jerman yang diimport dari Mexico. Menurutnya, langkah itu sebagai sesuatu yang tidak produktif bagi AS dan Trump harus mengakui bahawa ekonomi AS sering tidak kompetitif, sedangkan (ekonomi) Jerman sentiasa kompetitif.

Ada benarnya dakwaan Gabriel bahawa ekonomi AS tidak selalunya kompetatif. Contohnya, China telah menjadi pasaran nombor satu penjualan kereta di dunia mengatasi AS. Automotive News menjangkakan China akan menuju penjualan 10.7 juta unit per tahun, sedangkan di AS tahun ini dijangkakan penjualan mobil sekitar 9.8 juta unit.

China mampu mengatasi AS kerana penjualan kereta di AS belum memperlihatkan tanda-tanda pemulihan kerana pengguna masih sukar mendapatkan kredit. China merupakan saingan utama bagi AS dalam ekonomi dan ketenteraan. Sebelum ini, Trump pernah membidas China kerana menurunkan mata wang yuan mengakibatkan syarikat-syarikat AS sukar bersaing, mengenakan cukai tinggi ke atas produk AS sedangkan AS tidak mengenakan cukai ke atas produk China.

Apa pun, China dilihat sebagai negara yang boleh mengambil alih peranan AS yang menarik diri dari TPP. Justeru, Perdana Menteri Australia, Malcom Turnbull telah memulakan usaha berbincang dengan New Zealand, Jepun dan Singapura bagi menyelamat TPP dengan melihat China sebagai negara yang berpotensi menggantikan AS. – BH (Interaktif) 28/1/2017
_______________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.