Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kepentingan Penulisan Ditekankan Dalam Al-Quran

Antara aktiviti ketamadunan manusia yang sangat penting ialah penulisan. Sejak dulu hingga kini dan selama-lamanya aktiviti penulisan tidak mungkin terhenti. Ia penting kerana akal manusia tidak putus-putus melahirkan berbagai bentuk pemikiran yang perlu diungkap dan dirakamkan.

Dalam tradisi Islam, aktiviti penulisan sangat ditekankan. Antara surah yang ada kaitan dengan kepentingan penulisan ialah Surah al-Qalam. Cuba perhatikan ayat terawal dari surat tersebut bermaksud: “Nuun. Demi pena dan apa yang mereka tulis.”

Surah al-Qalam atau pena, mengingatkan kita pada surah al-Alaq, yang menyuruh kita ‘membaca’. Dalam Surah al-‘Alaq, ayat 1-5 bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. Maknanya, kedua-dua surah itu adalah berkaitan dengan peranan pena sebagai alat belajar dan mengajar.

Sebahgian ulama menyatakan huruf “nuun” melambangkan tinta (dakwat) dan pasangannya ialah pena (pen). Ahli sufi Aziz Al-Din Nasafi (Wafat 695H/1295M), berasal dari Nasaf (Naksab) di Transoxania (sekarang Karshi di Uzbekista) menyatakan “nuun” dalam surah al-Qalam umpama “kolam tinta” karena “nuun” dihubungkan dengan surah Al-Kahfi ayat 109, “Katakanlah, kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula”.

Menurut Ibnu Arabi, “nuun” dikaitkan dengan malaikat yang diperintah untuk menggunakan puna untuk menulis. Lebih mendalam lagi Ibnu Arabi menyatakan pena adalah akal dan lembaran adalah jiwa. Ia bermaksud hubungan antara akal dan jiwa sama dengan hubungan antara pena dan lembaran. Apa pun, mauduk yang perlu kita fahami ialah kepentingan penulisan dalam Islam sangat penting, terutama dalam penyebaran ilmu dan juga dakwah melalui penulisan (dakwah bil kitabah). Rasulullah SAW sendiri mempunyai jurutulis peribadinya.

Kepentingan penulisan bukukan al-Quran

Menyedari kepentingan penulisan inilah maka pada zaman Khalifah Uthman ibn Affan al-Quran telah dimushafkan (dibukukan) , iaitu setelah pengumpulan semua ayat al-Quran dilakukan pada zaman Khalifah Umar ibn al-Khattab. Sebelum itu, pada zaman Rasulullah al-Quran telah ditulis pada kulit binatang (kambing, unta dan kuda), kulit kayu dan tulang-tulang secara tidak tersusun.

Hadis pula dikumpul dan ditulis pada penghujung abad pertama hijrah, iaitu ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Hasilnya lahirlah kitab hadis yang terawal seperti kitab Al-Muwatta’ yang disusun oleh Imam Malik, diikuti dengan kitab Sunan Sittah (Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam An-Nasaie dan Imam Ibnu Majah). Kesan daripada pembukuan kedua-dua sumber utama dalam Islam itu akhirnya telah melahirkan pelbagai cabang ilmu pengkhususan yang terus berkembang hingga kini.

Contohnya, daripada penulisan al-Quran itu terhasilnya ilmu tajwid, ilmu tafsir, ulum al-Quran, ‘ijaz al-Quran dan sebagainya. Manakala, penulisan hadis pula telah melahirkan ilmu sanad hadis (rantaian para perawi hadis), ilmu syarah matan, ilmu al-jarh wa ta’dil yang mana ianya amat penting bagi para ulama mengeluarkan (mengistinbatkan) hukum yang tiada secara qat’ie dalam al-Quran. Maknanya, melalui cabang-cabang ilmu al-Quran dan al-Hadis serta ilmu-ilmu yang lain yang dikembangkan melalui aktiviti penulisan inilah para ulama berupaya membincang dan menyelesaikan isu-isu semasa yang muncul pada setiap zaman.

Kesimpulannya, aktiviti penulisan sangat penting dalam membangun ketamadunan manusia. ilmu yang diterokai dan dikembangkan perlu dirakan dalam bentuk penulisan supaya ia boleh dirujuk dan difahami oleh manusia. Penekanan kepada tinta, pena dan kalam inilah menjadi suatu rahmat kepada sekalian alam kerana melalui penulisan dakwah Islamiah dapat disampaikan ke seluruh dunia. – BH 13/1/2017

________________________________________________________________

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.