Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Perlembagaan Tak Nyatakan Malaysia Negara Sekular

Satu isu yang sering dibahas dan dipolemikkan berkaitan perlembagaan kita ialah sama ada Perlembagaan Persekutuan meletakkan negara ini sebagai negara Islam atau sekular. Semua maklum bahawa pemimpin parti DAP yang paling lantang mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Malaysia dianggap sebagai negara sekular.

Parti itu akan menentang setiap usaha untuk mempertingkatkan kedudukan Islam di negara ini. Terkini, mereka menentang Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) atau atau disebut Akta 355. Sebenarnya banyak hujah yang boleh diketengahkan bahawa negara ini bukanlah negara sekular.

Dalam pelantikan Ketua Utama Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong, baginda mengangkat sumpah Agong di bawah perkara 37 Perlembagaan atas nama Allah.

Baginda bersumpah dengan lafaz seperti yang terkandung dalam Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan, iaitu lafaz Wallahi; Wabillahi; Watallahi; yang mana ianya bukan suatu lafaz yang hanya berbetuk upacara tetapi adalah satu sumpah yang mengikat baginda dalam melaksankan tugasnya sebagai Yang di-Pertuan Agong, termasuk tanggungjawab memelihara agama Islam pada setiap masa.

Ikrar selari Islam agama Persekutuan
Ikrar suci Yang di-Pertuan Agong itu selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan – “ Islam is the religion of Federation…”.

Perkataan sekular tidak wujud sama sekali dalam perlembagaan. Kebiasaannya ramai yang menyebut Islam agama ‘rasmi’ sedangkan perkataan itu juga tidak wujud dalam perlembagaan. Menyebut Islam agama rasmi seolah-olah menyepitkan kedudukan Islam hanya sebagai agama ritual semata-mata.

Untuk membuktikan bahawa Islam bukan agama ‘ritual’ semata-mata maka kenyataan Ketua Hakim, Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy v Majlis agama Islam Wilayah Persekutuan [2007] boleh dijadikan rujukan. Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi negara telah memberikan tafsiran yang lebih luas kepada kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim berikan tafsiran bahawa Islam bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual semata-mata, tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman. Tafsiran itu menunjukkan bahawa Mahkamah tertinggi Negara telah mengubah tafsiran Islam yang sempit yang pernah diberikan oleh Tun Mohd Salleh Abas (dalam kes Che’ Omar) kepada tafsiran yang menyeluruh.

Faktor utama kepada salah tanggapan mengenai kedudukan Islam sebagai Agama Negara adalah berpunca daripada pembentukan perlembagaan itu sendiri yang dirintis oleh suruhanjaya Lord Reid di mana hanya seorang sahaja anggotanya beragana Islam, iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. 

Justeru, ramai yang beranggapan Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaaan sekular yang tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam.

Sebenarnya fungsi dan peranan Suruhanjaya itu hanyalah menyediakan laporan, sedangkan terdapat sebuah lagi Jawatankuasa Kerja yang dikenali sebagai ‘Jawatankuasa White Paper’ yang bertanggungjawab mencadangkan pindaan-pindaan terakhir kepada Suruhanjaya Reid bagi memuktamadkan proses pembentukanp Perlembagaan Tanah Melayu.

Cadangan itu pula adalah atas kehendak Raja-raja Melayu, pemimpin-pemimpin politik dan pentadbir (pemerintah) British.

Persetujuan menerima memorandum Persekutuan

Fakta yang mesti diketahui ialah jawatankuasa itu telah mengambil pendekatan menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan prinsip Islam sebagai Agama Persekutuan tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekular negara ini. Saranan Kertas Putih (White Paper): ‘There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will not in no way affect the present position of the Federation as a secular state…’

Dalam konteks menerima Islam sebagai agama Persekutuan, hanya Hakim Abdul Hamid dari Suruhanjaya Reid dan Jawatankuasa White Paper yang bersetuju menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan syor Islam sebagai agama Persekutuan tanpa menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktikkan agama mereka serta tidak menafikan ciri-ciri sekular negara ini.
Namun, baris berbunyi “tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini” ditolak dan tidak dimasukkan dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Justeru, tiada sepatah pun perkataan ‘sekular’ terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, kenapa Malaysia masih dianggap sebagai negara sekular? Jawapannya, kerana kejahilan, tebalnya pemikiran secular dalam kalangan sesetengah pihak, kepentingan politik dan kebenciaan untuk melihat Islam berdaulatan di negara ini. – BH (Interaktif) 2/2/ 2017
______________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.