Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Mahasiswa Perlu Matang Dalam Tindakan

Mahasiswa adalah waris masa depan negara. Maka, mereka seharusnya bertindak matang dan beradab dalam apa juga tindakan. Mereka tidak sepatutnya mengikut rentak ahli politik yang gemar mencari populariti. Ahli politik yang tidak beradab suka membelakangkan kepentingan nasional dan tidak memperdulikan semangat Perlembagaan Negara dan semangat Rukun Negara.

Justeru, mereka tidak sesuai dijadikan ikutan atau ‘role model’ mahasiswa. Sekiranya mahasiswa mahu memperjuangkan sesuatu isu rakyat maka perjuangkan dengan cara yang beradab sesuai dengan status mereka sebagai penuntut ilmu. Persoalannya, bagaimana mahasiswa hendak menguasai ilmu sekiranya mereka sibuk mengatur demonstrasi dan berpolitik? Penulis tidak bermaksud mahasiswa tidak boleh berpolitik sama sekali tetapi mesti ada fiqh awlawiyat dalam tindakan mereka.

Pelajaran atau politik yang tidak menentu hala tujuannya yang mesti diutamakan? Jika mahasiswa bertindak secara tidak matang dan merugikan, maka ia akan meninggalkan kesan psikologi kepada diri sendiri. Emosi mahasiswa terbabit akan terbeban dengan tindakan tidak matang mereka sendiri sehingga boleh menjejaskan akademi.  Pelajar terbabit akan kerugian banyak perkara. Bukan sahaja mereka yang rugi, malah ibu-bapa, masyarakat dan bangsanya juga akan rugi apabila anak bangsa tidak mencapai kecemerlangan akademik dan akhlak. Apabila pencapaian akademik rendah bagaimana mereka mahu bersaing di dunia luar yang penuh cabaran, termasuk dalam dunia pekerjaan? 

Miliki idealisme, intelektual

Mahasiswa mesti berjiwa besar. Mereka mesti muncul sebagai graduan kelas pertama. Mereka perlu memiliki idealisme dan kapisiti intelektual yang tinggi yang sepatutnya dikembangkan dalam bentuk aktiviti yang merangsang pemikiran aras tinggi (analitikal dan kritis) bagi melahirkan idea-idea baharu yang lebih praktikal untuk kepentingan negara dan masyarakat. Mereka sepatutnya memahami bahawa abad ke-21 adalah abad yang penuh persaingan.
A.Toffler, Naisbitt dan Anderson yang banyak menulis cabaran abad ke-21 merumuskan bahawa komuniti berilmu akan menguasai abad ini di mana kecemerlangan pengetahuan, kekayaan maklumat dan berbudaya saintifik menjadi keutamaan dalam persaingan.

Namun, bagi kita selaku Muslim satu lagi nilai kekuatan mesti ada dalam diri kita, iaitu nilai adab dan akhlak supaya nilai akhlak dan adab berdasarkan iman yang kuat kepada Allah SWT akan membawa kejayaan, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Mahasiswa harus faham bahawa tujuan utama mereka berada di institusi pengajian tinggi adalah untuk menguasai ilmu dan kemahiran. Mereka sepatutnya memahami bahawa matlamat dasar pendidikan negara bukan semata-mata untuk memberikan ilmu pengetahuan tetapi juga untuk menyemai dan membina nilai-nilai hidup yang luhur.

Memang tidak dinafikan bahawa hasrat mulai itu seringkali dilupai atau dikesampingkan disebabkan universiti terlalu mengejar sasaran melahirkan siswazah berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk keperluan industri. Namun, mahasiswa mesti mengambil inisiatif membentuk keunggulan dan kesempurnaan diri. Mereka mesti berupaya mengawal dan mendidik diri (tarbiyah dzatiyah) dengan akhlak yang mulia supaya dihormati sebagai orang berilmu lagi terpuji akhlaknya. 

Abdullah Abdul Aziz Al-Aidan dalam bukunya Tarbiyah Dzatiyah (An-Nadwah, Jakarta, 2010) menyebut tarbiyah dzatiyah ialah tarbiyah yang dilakukan oleh seseorang Muslim terhadap dirinya sendiri. Oleh itu, mahasiswa, khususnya mahasiswa Muslim mestilah berusaha menjadikan dirinya yang terbaik bukan sahaja dari segi akademik, malah dari segi akhlak dan adab.

Untuk mencapainya, mahasiswa harus berupaya mengawal nafsu dan tindak tanduk supaya tidak terkeluar dari nilai-nilai adab dan akhlak. Pendita Za’ba pernah menyebut bahawa perlakuan dan amalan akan memancarkan budi pekerti seseorang itu. Oleh itu, mahasiswa harus memberi penekanan kepada soal akal budi dan nilai hidup mulia kerana mereka berperanan mencorakkan budaya yang berteraskan kecemerlangan yang akan menjadi penentu kejayaan bangsa dan negara. – BH (Interaktif) 17/2/2017
______________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia