Rabu 24 October 2018
A- A A+

Sekat Penyebaran Berita Palsu

Kewibawaan penulisan berita atau penyebaran maklumat di media sosial sering diragui kesahihannya, namun ia terus beri cabaran besar kepada media konvensional. Generasi muda (generasi Y dan Z) hari ini lebih cenderung mendapatkan berita dari media sosial yang sering bawa berita atau maklumat berlawanan daripada hakikat berita sebenar. Contoh, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika bertemu Presiden Donald Trump, baru-baru ini yang menyebut Malaysia mahu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) telah disalah tafsir.

Kenyataan Najib itu bermaksud Malaysia tidak hanya jadi penyumbang tetapi turut meraih manfaat daripada hubungan perdagangan dengan AS. Maknanya, Najib hadir sebagai ketua negara yang boleh menjadi pemain global yang signifikan. Namun, fakta positif itu dikilas pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat. Benar apa yang disebut Najib pada Majlis Minum Petang anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang menyebut kita berdepan dengan apa yang diistilahkan sebagai 'fake news' terutama sekali melalui media alternatif banyak mempengaruhi rakyat terutama golongan muda.

Pantas tangkis berita palsu

Justeru, beliau menggesa pengamal media agar pantas menangkis berita palsu memburukkan kerajaan yang banyak tersebar di internet. Gesaan Najib itu wajar diberi perhatian serius oleh wartawan media arus perdana yang dianggap sebagai barisan hadapan untuk menghadapi situasi itu. Memang ianya satu cabaran besar buat pengamal media hari ini. Kelemahan masyarakat kita hari ini ialah tidak bersikap hati-hati atau teliti dalam menerima berita yang disebarkan atau diviralkan di media sosial. Ramai yang cenderung mempercayai berita palsu bertujuan menghasut rakyat membenci kerajaan.

Masyarakat kita harus sedar, berita palsu meninggalkan kesan buruk kerana ia mengundang permusuhan, malah ia mendorong untuk memusuhi bangsa sendiri. Oleh itu, berita palsu wajib dijauhi kerana ia boleh memunculkan fitnah dan mengajak kebencian kelompok tertentu. Rakyat harus faham, media sosial yang bersifat terbuka memunculkan wartawan atas talian yang tidak berwibawa dalam penyebaran maklumat atau pemberitaan. Lebih banyak berita palsu yang beredar melalui media atas talian, berbanding berita sahih.

Banyak negara hadapi penyebaran berita palsu

Cabaran ini makin terasa apabila berita atau maklumat palsu itu ditulis secara kemas dan menarik serta mengandungi unsur-unsur logik yang disebarkan secara aktif melalui portal berita atau Facebook sehingga ia dinilai begitu berwibawa dan meyakinkan. Ia dikongsi dan diviralkan secara meluas. Jika ini menjadi aliran berterusan dalam masyarakat kita, maka kita bimbang masyarakat akan terdedah kepada perpecahan, pengelompokan dan radikalisme sehingga boleh menghancurkan negara.

Sebenarnya isu tentang kesahihan berita dan maklumat melalui media sosial, bukan sahaja dihadapi negara kita malah ia turut dihadapi di Eropah, AS dan banyak negara di dunia ini. Oleh itu, sesetengah negara melaksanakan undang-undang siber agak ketat dan keras hukumannya berkaitan penyebaran berita bohong (hoax), berita palsu dan penyebaran kebencian (hate speech) melalui aplikasi media sosial. Di Jerman, contohnya, undang-undangnya mengenakan denda ke atas pengendali media sosial yang menyebarkan berita bohong serta tidak menghapuskannya dalam masa 24 jam.

Untuk setiap berita bohong tersebut dikenakan denda hingga 500 euro (RM2,500). Undang-undang siber di Eropah dan AS juga bukan sahaja meletakkan tanggung jawab atas penyebaran berita bohong atau kebencian di media sosial ke atas penulis berita bohong atau hasutan kebencian tetapi tanggungjawab itu turut diletakkan ke atas penyedia aplikasi media sosial itu. Oleh itu, sampai masanya undang-undang siber di negara kita turut melaksanakan hukuman lebih berat ke atas pengendali media sosial yang gemar menyebarkan berita palsu, berita bohong dan hasutan kebencian.

Penulis adalah Penganalisis Sosiopolitik bebas

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking