Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pelan Induk Perindustrian

Latarbelakang 

Sejak tahun 1960, perkembangan sektor pembuatan di Malaysia telah dilaksanakan ke arah kegiatan-kegiatan yang bercorak gantian-import. Bagaimanapun strategi ini telah mula berubah dalam tahun 1970 di mana lebih banyak tumpuan telah dibuat terhadap kegiatan-kegiatan yang berorientasikan eksport, memandangan kegiatan berorientasikan gantian import membantutkan perkembangan perindustrian oleh kerana Malaysia dianggap mempunyai skop pasaran yang kecil. Matlamat-matlamat pembangunan Perindustrian dalam tahun 70an hingga sekarang berasaskan faktor-faktor berikut:- tempoh 115 hingga 120 tahun

a.  Mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru
b.  Mempelbagaikan industri dan megembangkannya ke seluruh negara
c.  Menambahkan tukaran asing menerusi pengujudan industri yang
     teknologi tinggi dan memupuk kemahiran bagi pekerja-pekerja Malaysia
d.  Menambahkan lagi industri kecil
e.  Mengurangkan import barangan jentera
f.  Mengekploitasi pertalian/linkage pengeluaran dan pemerosesan
g.  Menguatkan lagi keupayaan teknologi dalam sektor pembuatan.


Rasional

Walaupun matlamat-matlamat pembangunan perindustrian ini telah menghasilkan kemajuan yang pesat dalam tahun 70an, beberapa kelemahan telah dapat dikesan terutamanya dalam awal tahun 80an di mana kemelesetan sektor luar telah menjejas prestasi sektor pembuatan Malaysia.

Pada dasarnya kelemahan-kelemahan sektor pembuatan Malaysia adalah berasaskan kepada strukturnya.

Pertama, asas sektor pembuatan adalah sempit (narrow industrial base). Boleh dikatakan sebahagian besar kegiatan-kegiatan pembuatan adalah ditumpukan kepada pengeluaran-pengeluaran barangan-barangan elektrik dan elektronik, bahan-bahan kimia dan petroleum, tekstail, kasut dan beberapa pengeluaran jentera dan peralatan perhubungan.

Kedua, campurtangan kerajaan dalam memberi galakan perindustrian seperti galakan cukai, galakan pelaburan industri baru, galakan tempatan, Akta Penyelarasan Perindustrian dan pengujudan Kawasan Perdagangan Bebas telah menghasilkan keadaan yang tidak seimbang dalam industri pembuatan. Antara kesan-kesan yang tidak seimbang ini ialah:

a.  Terlalu berat kepada 2 sektor eksport - elektronik dan tekstail, iaitu hampir 65% daripada pengeluaran adalah daripada sektor-sektor ini.


b.  73% daripada kegiatan-kegiatan pembuatan bertumpu di kawasan- kawasan maju.


c.  Kadar kepentingan asing yang tinggi dalam modal tetap - misalnya industri elektronik (80%), industri tekstail (54%).


d.  Galakan-galakan industri tidak berlaku 'across firm' dan 'across industry' yang menyebabkan tidak seimbangnya kesan galakan.


e.  Kebanyakan firma yang menggunakan galakan-galakan ialah firma- firma multinasional yang berorientasikan pasaran eksport yang kurang memberi perhatian kepada peluang-peluang mengujudkan pemerosesan (backward linkages) dalam negeri.

Ketiga, kelemahan-kelemahan ini ditambah dengan tidak ujudnya dasar perindustrian negara yang dapat mengadakan matlamat dan strategi industri yang terang dan bersesuaian buat masa kini dan masa hadapan untuk menyelaraskan kesemua kegiatan-kegiatan pembuatan negara, khususnya kepada industri-industri berasaskan pertanian.
 
Objektif

Berasaskan faktor-faktor yang dibincangkan di atas, maka perlulah diadakan satu perancangan yang terperinci dalam sektor pembuatan yang dapat menggabung dan menunjuk dengan jelas perhubungan antara berbagai-bagai peringkat kegiatan pembuatan. Satu daripada langkah yang menuju ke arah ini ialah penyediaan Pelan Induk Perindustrian (PIP) yang sedang disiapkan dan akan diumumkan dalam bulan Julai 1985. Matlamat Pelan Induk Perindustrian yang sedang disusun meliputi perkara seperti berikut:-

a.  Merangka secara terperinci kegiatan sektor perindustrian dan sektorindustri kecil untuk menghasilkan penggunaan sumber secara optimum.


b.  Menyediakan profail industri yang sesuai seperti keluasan pasaran dan keupayaan yang sedia ada, kedudukan permintaan dan penawaran berbagai jenis barang. 

c.  Menyatukan industri yang sedia ada dengan kegiatan mengeluarkan bahan mentah (upstream activity) dan kegiatan memproses bahan (downstream activity). 

d.  Merangka keperluan Teknologi sektor dengan melengkapkan program
  yang menyeluruh.

Strategi Pelaksanaan

Untuk melaksanakan matlamat PIP ini, beberapa strategi adalah sedang disusun dan meliputi perkara-perkara berikut :


a.  Menyusun semula struktur galakan perindustrian yang sedia ada.


b.  Mempelbagaikan eksport dan menggalakkan sektor gantian import.


c.  Memajukan semula industri gantian import peringkat pertama - misalnya barang pengguna tahan lama dan industri gantian; import peringkat kedua - misalnya alat perhubungan.


d.  Menggalakkan pengguna-pengguna Malaysia menggunakan lebih banyak barangan buatan Malaysia.


e.  Mempelbagaikan pasaran eksport termasuk mencari pasaran baru di negara-negara sosialis dan negara-negara yang sedang membangun.


f.  Memperluaskan kegiatan industri ke kawasan-kawasan kurang maju.


g.  Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan oleh pihak awam dan pihak swasta.


h.  Menggalakkan industri berat bagi menjadi penggerak perkembangan industri baru.


i.  Menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil.


Pencapaian

Walaupun PIP masih lagi dalam penyediaan dan segala matlamat dan strateginya sedang disusun, beberapa langkah ke arah ini telahpun dirancangkan dan dilaksanakan. Misalnya projek-projek industri berat misalnya pengujudan industri kereta, kilang-kilang simen, besi waja, methanol, anamonia dan kompleks petro-chemikal sedang dirancangkan atau dilaksanakan. Di samping itu kempen-kempen menggalakkan pengguna-pengguna menggunakan barangan buatan Malaysia telah pun berjalan. Di samping ini galakan untuk industri kecil dan industri berasakan pertanian sedang dilaksanakan.

Langkah pertama untuk mencapai matlamat PIP ialah membuat keputusan untuk menjadikan negara ini sebuah negara perindustrian dan mengenalpasti apakah keperluan-keperluan jangka masa panjang mengenainya.

Perkara utama yang harus dibincangkan untuk menuju ke arah ini ialah mengenai pemindahan teknologi. Apa yang dipersoalkan di sini ialah mengenai keutamaan halacara dan tempoh masa yang diperlukan untuk menerima pemindahan teknologi secara optimum. Pencapaian matlamat PIP juga memerlukan negara menguatkan bidang penyelidikan dan pembangunan, dan ini memerlukan sumber dan teknologi yang cukup serta tenaga manusia yang pakar dan mahir bagi melaksanakannya. Di samping itu kita juga perlu mengujudkan sekumpulan besar usahawan untuk mencebur diri dalam bidang-bidang ini. Masalah yang dihadapi tidak akan selesai dengan adanya penyediaan PIP sahaja malahan penyusulan pihak yang membuat keputusan dan pihak yang melaksanakan dan menyelenggarakannya adalah lebih kritikal. Bagi menggalakkan pihak swasta mengambil bahagian dengan lebih giat dalam perlaksanaan PIP, langkah untuk menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan segala halangan dan prosedur lapuk pentadbiran sektor pembuatan perlu diusahakan selaras dengan Dasar Pensyarikatan Malaysia.

Penutup

PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990

PIP telah diumumkan pada tahun 1985, sejak itu, pencapaiannya adalah sangat menggalakkan:

i)  PIP meramalkan kadar pertumbuhan tahunan KDNK ialah 6.4%. Kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun 1986 hingga 1990 adalah 1.2%, 5.4%, 8.9%, 8.8% dan 9.4%. (KDNK adalah dirujuk pada harga tetap 1978)


(ii)  PIP meramalkan sektor perkilangan akan berkembang dengan kadar 8.8% setahun. Pertumbuhan sektor ini bagi tahun 1986 hingga 1990 adalah 7.5%, 13.4%, 17.6%, 12% dan 15.8%.


(iii)  Sumbangan sektor perkilangan kepada KDNK telah bertambah kepada 26.6% dalam tahun 1990 berbanding dengan 21% dalam tahun 1986.


(iv)  PIP meramalkan eksport barangan perkilangan akan berkembang dengan kadar 8.9% setahun. Pertumbuhan tahunan eksport ini bagi tahun 1986 hingga 1989 adalah 23.1%, 32.5%, 32% dan 36.3%.


(v)  Pelaburan asing ($) bagi projek-projek yang diluluskan oleh MIDA juga berkembang dengan kadar yang tinggi. Jumlah pelaburan asing bagi sembilan bulan pertama tahun 1990 telah mencapai 13.3 billion ringgit berbanding dengan 8.7 billion ringgit bagi tahun 1989. Kadar pertumbuhan nilai pelaburan asing bagi tahun 1986 hingga 1990 (sehingga Sept. 1990 ) ialah 76%, 22%, 136.8%, 77.4% dan 53.9%.

(vi)  Kadar pengangguran juga telah turun kepada 6.3% dalam tahun 1990 berbanding 7.6% dalam tahun 1985. Sektor perkilangan juga merupakan sektor yang paling banyak menawarkan pekerjaan baru bagi tahun tahun yang lepas dan akan datang.


(vii)  Kejayaan Kerajaan dalam beberapa projek industri berat secara
  langsung telah mengembangkan industri industri lain yang berkaitan, terutamanya industri kecil.


Adalah jelas bahawa kejayaan perlaksanaan PIP telah membantu memulihkan ekonomi Malaysia dari kemelesetan ekonomi yang dialaminya pada tahun 1985 dan 1986. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini secara langsung akan membantu kerajaan dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

PIP juga bertindak sebagai panduan bagi pelabur dan kerajaan untuk memandu negara menuju kearah sebagai sebuah negara perindustrian yang mantap secara licin dan teratur.

Di samping kejayaan cemerlang yang dicapai dalam PIP terdapat kesan-kesan sampingan yang negatif daripada perlaksanaan PIP tanpa kawalan yang ketat. Kesan-kesan yang negatif itu ialah:

(i)  Industrilisasi tanpa diawasi dengan ketat telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius. Kajian dari pertubuhan yang tertentu menunjukkan hujan asid telah bertambah dengan kadar yang cepat di kawasan-kawasan perindustrian dan pencemaran sungai, laut, udara serta darat juga telah meningkat. Langkah-langkah segera harus diambil bagi menghalang atau memperbaiki pencemaran alam sekitar ini sebelum ia mencapai tahap yang kritikal.


(ii)  Perkembangan industri yang pesat telah mempercepatkan proses perbandaran (Urbanization), ini secara langsung menyebabkan kekurangan tenaga buruh yang begitu ketara dalam bidang pertanian. Keadaan ini telah menyediakan peluang keemasan bagi pendatang-pendatang haram bertapak di sini dan menimbulkan berbagai masalah sosial.


Penyediaan Pelan Induk Perindustrian merupakan satu langkah yang kritikal untuk Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.

Ini lebih ketara apabila dilihat bahawa walaupun sektor pembuatan telah berkembang dengan pesat, keadaan kemelesetan ekonomi dunia telah menunjukkan beberapa kelemahan strukturnya. Dengan adanya PIP, matlamat strategi dan halacara untuk Malaysia memasuki zaman perindustrian yang lebih sophisticated dan kompetitif adalah berpadu dan komprehensif.