Selasa 19 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • EKONOMI
  • ETP
  • Caruman Tambahan RM10 Juta Bagi Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup

Caruman Tambahan RM10 Juta Bagi Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup



PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata caruman tambahan sebanyak RM10 juta telah disediakan untuk tahun depan bagi Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup.










Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara hari ini yang membincangkan perkara melibatkan kerajaan negeri khususnya mengenai kewangan dan isu-isu yang berkaitan dengannya.










Katanya peruntukan RM318 juta turut disediakan pada 2013 yang antara lain bagi Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup.










"Sebanyak RM288 juta caruman untuk Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup.











"(Daripada peruntukan tersebut juga), sebanyak RM30 juta caruman untuk Pemberian Kepada Negeri-Negeri Yang Menghadapi Kekurangan Wang Dalam Akaun Mengurus," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Kementerian Kewangan di sini.













Mesyuarat itu turut dihadiri semua menteri-menteri besar dan ketua menteri.












Najib berkata mesyuarat juga mengambil maklum dan berpuas hati dengan pelaksanaan pemberian penyelenggaraan cerun-cerun jalan negeri dengan peruntukan sebanyak RM60 juta yang disediakan mulai tahun lalu.














"Perkara ini dapat membantu negeri-negeri untuk menyelenggara cerun-cerun jalan negeri dengan lebih baik demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya," katanya.











Katanya mesyuarat turut mengambil maklum akan pelaksanaan peruntukan pendahuluan dari Kerajaan Persekutuan berjumlah RM165 juta untuk membiayai kerja-kerja operasi dan penyelengaraan sistem pengairan pertanian di kawasan pengairan jelapang padi dan luar jelapang padi.










Beliau berkata ia termasuk Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemjuan Pertanian Kemubu (KADA), serta kawasan bekas projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) meliputi semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang telah disediakan mulai tahun ini.












"Pendahuluan ini membantu negeri-negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pengairan pertanian dengan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking