Selasa 19 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • EKONOMI
  • ETP
  • LAPORAN PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI (ETP) 2013

LAPORAN PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI (ETP) 2013

Berdasarkan pembentangan laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi tahun 2013 menggambarkan bahawa Malaysia akan mencapai status negara maju lebih awal daripada tahun 2020. Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan laporan ETP/GTP pada 12 Mei 2013 di Angkasapuri, Kuala Lumpur berkata bahawa kepesatan dalam sektor swasta berjaya melonjakkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) Per Kapita kepada AS$10,060 (RM32,544.91) pada tahun 2013 daripada AS$7,059 (RM22,800.57) pada 2009. Lonjakan dalam PNK ini hasil keberkesanan inisiatif-inisiatif ETP iaitu 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) dan enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

10 petunjuk kejayaan ETP


1. NKEA dan SRI kekal fokus
Sejak ETP dilancarkan pada 2010, NKEA telah menarik sebanyak 196 projek dengan jumlah pelaburan bernilai RM219.3 bilion. Diunjurkan jumlah ini menyumbang RM144 bilion kepada PNK dan mewujudkan 437,816 peluang pekerjaan baharu. Sepanjang 2010-2013, faktor-faktor dalam NKEA telah menghasilkan sejumlah 1.3 juta peluang pekerjaan tambahan.

2. Pertumbuhan berterusan dalam PNK
PNK per kapita semakin meningkat daripada AS$7,059 pada tahun 2009 kepada AS$10,060 pada tahun 2013, iaitu pertumbuhan 42.5 peratus dalam tempoh tiga tahun.

3. KDNK berkembang pada kadar kukuh
Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan KDNK negara meningkat 4.7 peratus pada tahun 2013 sekalipun dalam ketidaktentuan ekonomi global. Ia dipacu terutamanya oleh aktiviti sektor swasta.

4. Perolehan Kerajaan kian meningkat
Sejak tahun 2010, perolehan Kerajaan telah meningkat 38.1 peratus kepada RM220.4 bilion. Peningkatan ini bagi melaksanakan prakarsa yang besar untuk beralih kepada struktur perolehan yang bersesuaian dengan ekonomi berpendapatan tinggi.

5. Defisit fiskal kian berkurangan
Seiring dengan peningkatan perolehan Kerajaan, defisit fiskal turut mencatat pengurangan yang memberangsangkan. Kadar peratusan fiskal berkurangan kepada 4 peratus pada tahun 2013 berbanding 6.6 peratus pada 2009. Situasi ini membolehkan Negara mencapai sasaran pengurangan defisit fiskal kepada 3 peratus pada 2015 dan mencapai bajet seimbang menjelang tahun 2020.

6. Penggunaan awam yang utuh
Peningkatan keyakinan pengguna terhadap dasar pembaharuan negara telah membawa kepada kenaikan sebanyak 7.6 peratus dalam penggunaan swasta pada 2013 berbanding 6.9 peratus pada 2010. Ia menjadikan penggunaan swasta dalam negeri kini mencakupi 51.2 peratus KDNK.

7. Aktiviti pasaran modal yang berdaya maju
FTSE-KLCI mencatat paras tertinggi dalam sejarah sebanyak 66 kali sejak tiga tahun lalu, sekali gus membuktikan kedinamikan aktiviti pasaran modal negara dan keyakinan pelabur yang kukuh dalam pasaran saham Malaysia. Pada tahun 2013, pasaran saham mencapai paras tertinggi pada paras 1,873 mata.

8. Pertumbuhan pelaburan yang kukuh
Pelaburan swasta pada 2013 mencecah RM161.12 bilion telah melebihi 8.6 peratus daripada sasaran awal iaitu sebanyak RM148.4 bilion. Ia melibatkan kenaikan kukuh pelaburan swasta sebanyak tiga kali ganda kepada 15.3 peratus bagi tempoh antara 2010 dan 2013, berbanding dengan 4.7 peratus antara 2008 dan 2010.

9. Pengiktirafan global
Malaysia terus memperoleh pengiktirafan daripada agensi-agensi bebas global. Pengiktirafan berada di kedudukan ke-6 (2014) dan ke-8 (2013) dalam Indeks “Mudah Menjalankan Perniagaan” Bank Dunia menunjukkan bagaimana landskap perniagaan ditambah baik dengan hebatnya sejak ETP dilaksanakan. Malaysia menduduki tangga ke-18 pada 2012, tangga ke-21 pada 2011 dan tangga ke-23 pada 2010.

10. Keberhasilan KPI yang memberangsangkan
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ETP bagi 2013 secara keseluruhan bagi NKEA menepati sasaran dengan purata pencapaian 102 peratus sementara SRI mencatat pencapaian KPI 95 peratus.

PTE yang dilancarkan pada 25 Oktober 2010 menyasar untuk melonjakkan PNK kepada AS$15,000 (RM48,450) mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan berjumlah AS$444 (RM1,434.12) bilion menjelang tahun 2020

Sumber: Buku Rasmi Tahunan 2014

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking