Selasa 19 March 2019
A- A A+

Laporan GTP 2016

Tahun 2016 sememangnya bakal tercatat dalam lembaran sejarah sebagai tahun yang menyaksikan perubahan geopolitik besar-besaran dan ketidakpastian ekonomi global yang berterusan. Namun, saya berbesar hati menyatakan bahawa Malaysia masih terus dilimpahi rahmat kestabilan dan trajektori pertumbuhan yang kekal positif. Semua ini seiring dengan genapnya enam tahun pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP), sekali gus membuktikan bahawa keputusan penting yang telah kita ambil sejak tahun 2010 berjaya meletakkan kita pada laluan yang kukuh untuk menjulang status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Saya berbesar hati melaporkan bahawa menerusi usaha untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan usaha memangkinkan pelaburan sektor swasta menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), Kerajaan terus mengotakan janji-janji yang telah dibuat semasa NTP dilancarkan pada tahun 2010. Antara janji terbesar ialah pembangunan sebuah sistem pengangkutan bertaraf dunia.

Di samping pengembangan kapasiti dan penaiktarafan infrastruktur terhadap rangkaian pengangkutan awam sedia ada, pada bulan Disember 2016 kita sama-sama menyaksikan impian saya terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap, andal dan selamat untuk rakyat semakin hampir menjadi kenyataan dengan pelancaran projek Transit Aliran Massa (Mass Rapid Transit, MRT) di Lembah Klang. Projek ini, yang merupakan infrastruktur terbesar yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan, menetapkan satu penanda aras bagi semua rancangan Kerajaan pada masa hadapan, yang mengambil kira keperluan kesalinghubungan dan kualiti kehidupan rakyat. Fasa pertama projek Laluan Sungai Buloh-Kajang juga disiapkan mendahului jadual dan pada kos yang kurang daripada apa yang dirancangkan, sekali gus memperlihatkan bukti yang jelas terhadap kejayaan Kerajaan dalam melaksanakan NTP. Walau bagaimanapun, bukanlah projek berskala besar sahaja yang berfungsi sebagai hasil transformasi yang ketara. Satu lagi komponen NTP yang amat penting ialah usaha untuk memperoleh pertumbuhan yang mampan dan inklusif menerusi pelbagai pembaharuan asas dalam bidang-bidang seperti kewangan Kerajaan dan pembangunan ekonomi. Hasilnya, sejak tahun 2010, kita telah mencatat pertumbuhan KDNK yang berdaya tahan tahun demi tahun, pada kadar melebihi dua kali pertumbuhan global. Saya juga berbesar hati memaklumkan bahawa usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan telah berjaya mengurangkan sumbangan dari hasil berkaitan minyak dan gas daripada 41.3% pada tahun 2009 kepada 14.7% pada tahun 2016.

Ini telah dipacu oleh aktiviti pempelbagaian ekonomi negara melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara ETP, seperti yang diumumkan dalam laporan “Tinjauan Tahun 2016” dan bab-bab NTP yang terkandung dalam terbitan ini. Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah selain memulihkan ekonomi kita daripada kegawatan ekonomi pada tahun 2009, kebijaksanaan dan sikap berhemat dalam usaha-usaha Kerajaan jelas terbukti ketika harga minyak jatuh baru-baru ini dan perkembangan luaran ekonomi berada di luar kawalan kita. Hasilnya, ekonomi kita terhindar daripada kelembapan yang ketara dan, kita terus mencapai pertumbuhan KDNK yang stabil 4.2% pada tahun 2016. NTP telah memainkan peranan yang besar dalam memacu negara kita keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan, yang kita alami pada tahun 2009. Pada akhir tahun 2016, PNK per kapita negara telah meningkat kepada US$10,010, berbanding sasaran pendapatan tinggi yang dianggarkan pada US$12,272 tahun lepas, menurut anggaran PEMANDU berdasarkan pengiraan PNK per kapita Bank Dunia menggunakan Kaedah Atlas dengan menggunakan maklumat awam yang tersedia pada masa ini. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana antara tahun 2010 hingga 2016, jurang Malaysia berbanding dengan pendapatan tinggi berkurangan daripada 33% kepada 18%. Selain itu, transformasi negara turut membantu mewujudkan lebih 2.26 juta pekerjaan dalam tempoh 6 tahun kebelakangan ini. Pada masa yang sama, Kerajaan telah memperkenalkan langkah yang sukar tetapi perlu, seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi. Langkah ini mungkin tidak popular namun amat penting. Dengan kutipan GST berjumlah RM38.5 bilion pada tahun 2016, cukai baharu ini telah mengimbangi kekurangan hasil Kerajaan sebanyak RM30 bilion yang disebabkan oleh kejatuhan harga minyak sebanyak hampir 50%. Ini membolehkan kita menyokong perbelanjaan negara dengan sumber yang terhad dan terus melaksanakan langkah dan program yang semata-mata bertujuan memberi manfaat kepada rakyat. Rasionalisasi subsidi juga telah berjaya mengurangkan beban kewangan Kerajaan dan membantu menghapuskan ketirisan. Pada tahun 2016, defisit fiskal Kerajaan terus berkurangan dengan stabil kepada 3.1%, sekali gus memastikan kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai bajet yang seimbang menjelang tahun 2020. Ini membolehkan kita memperkenalkan sistem subsidi yang lebih cekap dan bersasaran untuk memberikan manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) misalnya, meringankan beban 7.28 juta isi rumah pada tahun 2016. Sejak tahun 2012, bantuan ini memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus transformasi negara. Dalam mencapai ekonomi yang inklusif, NTP telah menambah baik kehidupan berjuta-juta rakyat, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar. Kami telah menyiapkan pembinaan 6,041.7 km jalan raya di kawasan luar bandar, berbanding dengan 750 km jalan raya luar bandar yang dibina pada tahun pertama program NTP pada tahun 2010, dan kami terus melaksanakan program pembekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar selain pembinaan dan baik pulih rumah bagi golongan miskin luar bandar. Semua ini telah memberi manfaat kepada 6.2 juta rakyat luar bandar. Antara kemuncak pencapaian lain termasuklah pembinaan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Johor, yang merupakan hab bertaraf dunia bagi aktiviti minyak dan gas hiliran yang menarik pelaburan swasta yang besar serta memacu keupayaan minyak dan gas kita untuk bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai. Selain itu, Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) Pembangunan Modal Insan telah merintis jalan ke arah pewujudan tenaga kerja berkemahiran yang akan menyokong aspirasi negara berpendapatan tinggi dan melonjakkan daya saing kita di persada global. Malaysia telah muncul sebagai model bagi negaranegara lain yang ingin melaksanakan transformasi. Hal yang demikian membuktikan bahawa model transformasi kita merupakan model yang benar-benar berjaya dan menawarkan pengajaran serta iktibar berharga yang boleh dimanfaatkan oleh negara lain. Selayaknyalah kita berbangga dengan segala pencapaian ini, namun kerja kita sebenarnya masih jauh daripada selesai. Kerajaan tidak akan berdiam diri sehingga kita berjaya menjulang matlamat negara berpendapatan tinggi, kemampanan yang bertambah baik serta keinklusifan yang meluas dalam ekonomi kita. Sehubungan dengan itu, saya ingin menzahirkan penghargaan yang setulusnya kepada perkhidmatan awam atas dedikasi yang dicurahkan mereka dalam memacu negara untuk mencapai aspirasi kita. Saya yakin bahawa sepanjang tempoh enam tahun yang lepas, perkhidmatan awam telah membina kapasiti dan menerima guna proses yang diperlukan untuk meneruskan program NTP bagi menjulang status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Atas sebab inilah kita merasakan bahawa masanya telah tiba bagi perkhidmatan awam untuk mengambil alih tanggungjawab NTP daripada PEMANDU, yang sehingga tahap ini telah memantau dan mengurus pencapaian transformasi yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Sebagaimana yang diumumkan oleh pejabat saya pada bulan Januari 2017, sebahagian daripada kerja transformasi ini telah dipindahkan sepenuhnya kepada perkhidmatan awam yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara, iaitu Tan Sri Dato’ Dr. Ali Hamsa. Kerja-kerja lain yang masih ada akan dipindahkan secara berperingkat hingga tahun 2019. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada PEMANDU atas usaha mereka yang tidak pernah mengenal penat dan jemu dalam memantau NTP sejak dari awal. Terima kasih saya yang setulusnya juga buat rakyat atas sokongan berterusan mereka terhadap inisiatifinisiatif kami. Perjalanan transformasi ini sesungguhnya bukanlah senang. Namun, saya terus yakin bahawa menjelang 2020, iaitu dalam tempoh tiga tahun lagi, kita akan bersama-sama menyaksikan kejayaan negara kita yang dikasihi ini dapat menjulang matlamat negara berpendapatan tinggi, yang menawarkan kemakmuran hidup dan peluang yang dapat dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia.

 

Klik pautan ini untuk laporan penuh Laporan GTP 2016

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking