Selasa 19 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • EKONOMI
  • ETP
  • 19 Lagi Projek Di Bawah ETP

19 Lagi Projek Di Bawah ETP

najiibpm2 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 11 Januari 2011 telah mengumumkan 19 lagi projek permulaan (EPP) di bawah program Transformasi Ekonomi (ETP). Kesemua projek berkenaan menjana pelaburan hampir RM67 bilion, RM36 bilion pendapatan kasar negara dan mewujudkan 35,000 pekerjaaan baru. Sebelum ini, 18 EPP telah diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober 2010.

Kesan daripada Program Transformasi Ekonomi kian ketara. Keyakinan sektor perniagaan dan para pelabur terhadap ekonomi Malaysia kini semakin tinggi. Ini boleh dilihat daripada prestasi Bursa Malaysia yang telah mencecah tahap penutup tertinggi pada 7 Januari iaitu 1,572.21 mata.

Sementara itu, Laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton yang terkini menunjukkan 50 peratus perusahaan sederhana hingga besar (atau medium to large enterprises) positif tentang prospek ekonomi Malaysia pada tahun ini, tahap keyakinan tertinggi untuk Malaysia sejak penyertaan Malaysia dalam laporan tersebut. Mengikut Frost & Sullivan, jumlah keluaran industri automotif (atau total industry volume, TIV) diunjurkan mencecah paras tertinggi baru sebanyak 623,000 unit tahun ini, peningkatan 4.1 peratus berbanding TIV 2010. Petanda-petanda positif ini amat menggalakkan dan kerajaan akan terus berusaha sehingga matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi tercapai.


Sebahagian 19 Projek EPP

Kesemua projek 19 EPP dan pembangunan itu akan dilaksanakan di bawah 10 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang diterajui oleh empat EPP di bawah NKEA minyak, gas dan tenaga.

ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, bersama-sama dengan rakan kongsi kontrak pengeluarannya, Petronas Carigali Sdn Bhd, merancang melabur lebih RM10 bilion dalam aset minyak dan gas bagi membantu memastikan bekalan yang andal dan mampan bagi Malaysia.

Ini merupakan kesinambungan dari pengumuman insentif cukai baharu di bawah Akta Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) pada November 2010.

Komitmen perbelanjaan modal ini akan digunakan bagi memberi nafas baharu terhadap kemudahan yang matang dan melaksanakan usaha meningkat aktiviti pengeluaran minyak di medan Tapis dan projek pembangunan gas Telok.

- Projek Telok, yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia, sedang dibangunkan di bawah satu kontrak perkongsian pengeluaran bagi menyediakan bekalan tambahan bagi keperluan kuasa dan perindustrian Malaysia dan akan menggalakkan pertumbuhan organik sektor gas asli.

- Shell Malaysia akan turut melabur RM1.5 bilion di segi pelbagai projek bagi menaik taraf, mengembangkan dan membina kemudahan di dalam aktiviti hiliran, pertengahan dan huluan di seluruh Malaysia.

Ini termasuk mengembangkan loji lilin Sintesis Penyulingan Pertengahan Shell (MDS) di Bintulu, satu unit pemprosesan diesel yang baharu di Kilang Penapisan Shell di Port Dickson dan pembangunan air dalam Gemusut di luar pesisir Sabah.

Dialog Group Bhd mengetuai satu konsortium yang terdiri daripada kerajaan Johor dan Vopak akan membangunkan satu projek terminal petroleum air dalam bebas RM5 bilion di Pengerang, Johor.

Projek ini akan mempunyai keupayaan penyimpanan petroleum keseluruhan 5.0 juta meter padu dan melonjakkan Malaysia sebaris dengan hab penyimpanan minyak serantau.

Datuk Seri Najib menjangka satu kesan penggandan yang signifikan dari projek Pengerang untuk merangsang keseluruhan ekonomi. Di bawah ETP, ia dijangka menjana pendapatan negara kasar RM1.6 bilion menjelang 2020.

Pembentukan Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia di mana Dr Mohd Zamzam Jaafar telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Dr Mohd Zamzam mengetuai perancangan berdasarkan tempoh jadual masa pembangunan semasa antara 11 hingga 12 tahun daripada praprojek sehingga pentaulihan.

- Di bawah NKEA Perkhidmatan Perniagaan, MyTelehaus, CSF Group dan pusat data Teliti International telah membantu Malaysia merapatkan jurang mengenai aspirasi untuk meningkatkan jualan ruang lantai pusat data.

Melalui pelaburan lebih RM671 juta secara kolektif, ketiga-tiga organisasi itu akan membangunkan kemudahan baharu dan menaik taraf yang sedia ada, bagi membekalkan ruang lantai 475,000 kaki persegi pusat data bagi menampung peningkatan permintaan.

- Mengenai NKEA Penjagaan Kesihatan, UM Holdings Sdn Bhd, satu perbadanan milik penuh Universiti Malaya, akan mewujudkan Metropolis Kesihatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, Selangor.

Usaha menyepadukan penjagaan kesihatan, penyelidikan biologi dan pasca pendidikan menyasarkan untuk meningkatkan standard dan kualiti bidang berkenaan, bagi menjadi antara yang terbaik di dunia.

Ia turut ditanda aras berbanding Pusat Perubatan Longwood Havard dan Pusat Bio-X Stanford, dua daripada contoh terbaik dalam kelasnya di dunia.

- Satu lagi projek di bawah NKEA Penjagaan Kesihatan, Hovid Bhd, iaitu sebuah syarikat farmaseutikal kelahiran negara ini, telah menjalin perjanjian dengan Winthrop Pharmaceuticals, satu anak syarikat Sanofi-Aventis, satu syarikat farmaseutikal global.

Usaha sama itu akan mengeluarkan dan membekalkan ubat-ubatan generik bagi diabetik dan pengurusan kesakitan bernilai RM50 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

Sumber: Bernama, www.pmo.gov.my

Artikel dimasukkan pada 11 Februari 2011

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking