Isnin 17 December 2018
A- A A+

Komputer Jimat Kos

me_06_1

Multi komputer K-One membenarkan sambungan lima pengguna secara serentak dengan sambungan kepada satu CPU

 

Keadaan ekonomi yang kurang stabil ketika ini tentunya mendorong setiap orang untuk mengambil langkah berjimat-cermat dan berbelanja dengan cara yang lebih efisien.

Bukan setakat individu, malah syarikat-syarikat tempatan juga kini telah mengambil langkah proaktif dalam mengurangkan kos perbelanjaan di organisasi masing-masing.

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara dan langkah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bagi membantu merealisasikan tujuan tersebut.

Sebagai contoh, syarikat pengeluar produk komputer, K-One Technology Berhad (K-One) telah mengambil inisiatif memperkenalkan komputer peribadi dengan tawaran penjimatan kos, tenaga serta menjaga alam sekitar.

Inovasi produk terkini yang dinamakan Sistem Multi Komputer K-One itu membenarkan seramai dua hingga lima pengguna menjalankan tugas mereka secara serentak melalui perkongsian satu unit pemprosesan pusat (CPU) dengan beberapa buah monitor.

Menerusi sistem tersebut, ia akan memberi penjimatan dari segi pengurangan kos pembelian perkakasan asas CPU, kos penyelenggaraan dan seterusnya kos elektrik.

Secara keseluruhannya, aplikasi sistem berkenaan menyasarkan penggunaan di sekolah, universiti, klinik, perpustakaan, kafe siber, pusat panggilan dan hab kemasukan data.

Pengerusi K-One Group, Edwin Lim Beng Fook berkata, pihaknya yakin menerusi pengenalan komputer peribadi itu, ia akan membuka langkah awal kepada syarikat tempatan untuk melakukan penjimatan dalam organisasi mereka.

"Sistem ini merupakan penyelesaian alternatif terbaik kerana ia memberi penjimatan maksimum di samping menawarkan keperluan yang diinginkan oleh sesebuah syarikat.

"Walaupun berkongsi CPU, namun ia membolehkan pengguna menjalankan kerja-kerja seperti capaian rangkaian Internet, aplikasi desktop, pemprosesan data, emel dan juga menjalankan perisian popular secara unik,'' katanya pada majlis pelancaran produk tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Secara asasnya, Sistem Multi Komputer K-One tersebut didatangkan dengan spesifikasi seperti perisian Multi-PC, kabel kombo VGA, kad grafik dan hab audio USB untuk sambungan peranti seperti papan kekunci, tetikus dan pembesar suara.

Ia dipacu menggunakan pemproses Pentium IV 2.8 GHZ dengan sistem operasi Microsoft Windows XP edisi Home dan Profesional, DDR2 RAM satu gigabait, empat slot USB dan slot ekspres PCI.

Walau bagaimanapun, kesemua spesifikasi peralatan dan perisian yang digunakan adalah bergantung kepada tujuan serta keperluan sebuah syarikat.

Apa yang menarik, kesemua pengguna juga boleh mengakses sambungan Internet hanya menggunakan sebuah modem, satu talian telefon dan satu akaun Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP).

Selain itu, pengguna turut boleh berkongsi menggunakan peranti seperti pemacu cakera, pencetak, pengimbas dan juga talian ISDN.

Dari segi penjimatan pula, syarikat yang mengaplikasikan sistem tersebut mampu untuk mengurangkan kos operasi mereka sehingga 80 peratus.

Walaupun berkongsi pangkalan kerja yang sama, namun ia masih memberi jaminan keselamatan serta kawalan sekuriti untuk setiap pengguna selain menawarkan sistem pentadbiran yang mudah, prestasi yang baik dan senang untuk diselenggara.

Pengguna juga diberi perkhidmatan servis selepas jualan serta talian bantuan dan juga laman web sebagai rujukan jika mereka menghadapi sebarang masalah.

Satu unit Sistem Multi Komputer K-One boleh diperolehi dengan harga RM1,250. Untuk maklumat lanjut mengenai produk berkenaan, pengguna boleh melayari laman web www.k-one.com.my.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking