Isnin 17 December 2018
A- A A+

Internet, Sejarah dan Feadahnya

 

internet

Dunia Internet

INTERNET merupakan rangkaian komputer-komputer yang sebelum ini digunakan oleh para penyelidik dan saintis untuk berkongsi maklumat yang kemudiannya berkembang menjadi alat paling penting dalam kehidupan manusia masa kini.

Seperti diketahui Internet yang dikenali juga sebagai `Dunia Tanpa Sempadan' boleh membawa `dunia' kepada anda dengan hanya berada di hadapan komputer di rumah, pejabat atau sekolah.

Sejarah Internet sebenarnya telah bermula sejak 1960an lagi apabila rangkaian komputer telah diwujudkan oleh para penyelidik ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang ingin mewujudkan hubungan jika saluran komunikasi biasa bermasalah.

Projek tersebut bermula dengan penubuhan sebuah agensi dikenali sebagai Advanced Research Projects Agency (ARPA) yang kemudiannya membina rangkaian dikenali sebagai ARPANET pada 1969.

Teknologi rangkaian itu kemudiannya diperluaskan pula untuk menghubungkan universiti-universiti di Amerika bagi tujuan penyelidikan dan pertukaran maklumat.

Aplikasi mel elektronik atau e-mel yang banyak digunakan oleh kita sekarang sebenarnya telah dicipta pada tahun 1972 oleh Ray Tomlinson yang merupakan antara program Internet paling penting.

Sudah tentu e-mel merupakan alat komunikasi paling penting kepada manusia masa kini memandangkan ia membolehkan kita menghantar surat atau dokumen kepada penerima di seluruh dunia dalam masa beberapa minit sahaja.

Internet seterusnya berkembang sehingga membentuk rangkaian dikenali sebagai World Wide Web (WWW) pada 1990 yang menghubungkan masyarakat pakar fizik antarabangsa ketika itu.

Sistem WWW ini membolehkan suara, gambar, muzik dan filem diletakkan ke dalam rangkaian Internet yang menjadikan ia lebih menarik. WWW kemudiannya diperkenalkan kepada umum pada 1992.

Di Malaysia, Internet telah diperkenalkan secara komersial dengan pelancaran Jaring pada 1991 selepas penyelidikan dijalankan oleh universiti-universiti tempatan.

Universiti-universiti tempatan telah menjadi pengguna terawal Rangkaian Komputer Malaysia (RangKom) yang bermula pada 1987 sebelum ia diperkenalkan kepada masyarakat negara ini melalui Jaring yang dikendalikan oleh MIMOS Berhad.

Di Malaysia kini, Jaring dan TMnet merupakan syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP) yang terkenal di kalangan pengguna biasa, selain daripada pengguna syarikat yang turut ditawarkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi tempatan.

Internet seterusnya semakin popular di negara ini dan menurut IDC Malaysia, Malaysia mencatatkan bilangan pengguna Internet sebanyak 4.8 juta pada tahun lepas.

Populariti Internet di negara ini adalah disebabkan ia sememangnya alat atau medium komunikasi, pembelajaran, hiburan dan perniagaan yang membawa perubahan besar dalam kehidupan kita.

Bagi para pelajar dan pendidik misalnya, penggunaan Internet akan memudahkan mereka mendapatkan bahan-bahan pembelajaran termasuk untuk tugasan sekolah.

Aplikasi seperti e-mel, pembelajaran dalam talian seperti yang ditawarkan Portal Pendidikan Utusan, perpustakaan digital dan sebagainya hanya boleh diperkenalkan melalui Internet.

Seorang pelajar kini boleh melayari beribu-ribu perpustakaan digital di seluruh dunia dalam mendapatkan maklumat mengenai pembelajaran mereka dengan hanya perlu duduk di hadapan komputer.

Cara mengakses Internet sangat mudah iaitu pelajar hanya perlu menyambungkan komputer dengan talian telefon dan kemudiannya mendail kepada talian syarikat Internet yang telah dilanggan mereka.

Jika berada di sekolah, kebiasaannya talian akses Internet telah disediakan dan pelajar hanya perlu membuka program perisian pelayar seperti Internet Explorer untuk memasuki Internet.

Pengguna kemudiannya boleh terus mengunjungi laman web yang diingini dengan menaip alamat Internet seperti www.utusan.com.my bagi mendapatkan berita-berita dari akhbar Utusan Malaysia.

Maklumat berbentuk fakta, gambar, berita dan sebagainya dari sumber yang tidak diketahui boleh juga dicari dengan mudah dengan menggunakan laman web enjin pencari seperti www.yahoo.com, www.google.com atau www.cari.com.my.

Memandangkan Internet kini turut diperluaskan untuk kegunaan perniagaan, para pengguna kini boleh juga melakukan pelbagai urusan di Internet seperti urusan perbankan, kerajaan, pembayaran bil dan sebagainya dengan mengunjungi laman web e-dagang syarikat-syarikat berkenaan.

Disebabkan konsep Internet yang menekankan kepada konsep kebebasan, para pelajar dan pengguna harus bijak menggunakannya agar tidak terpengaruh untuk mengunjungi laman-laman web yang terlarang dan tidak berfaedah.

Sumber: Majalah Estidotmy

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking