KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

LATAR BELAKANG KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT (KPWKM)

KPWKM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Wanita yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Januari 2001. Fungsi Kementerian kemudiannya telah diperluas dan ditukar namanya kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) mulai 15 Februari 2001. Penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) adalah manifestasi pelaksanaan iltizam negara yang dibuat di Persidangan Sedunia Keempat Wanita di Beijing pada tahun 1995 seperti yang terkandung dalam dokumen Landasan Tindakan bagi memajukan wanita ke tahun 2000 iaitu:

“Pewujudan sebuah Kementerian yang lengkap menggambarkan komitmen Kerajaan yang tinggi untuk meningkatkan martabat wanita di negara ini”

Selaras dengan penubuhan KPWK, Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah diletakkan di bawah Kementerian ini. HAWA kemudiannya distruktur semula dan dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Pada 27 Mac 2004, fungsi Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah dibubarkan dan telah dipindahkan ke KPWK. Sehubungan itu, KPWK telah ditukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dengan penstrukturan baru ini, KPWKM mempunyai lima (5) buah agensi di bawah pentadbirannya iaitu:

• Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1946;
• Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang ditubuhkan pada tahun 1966;
• Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang ditubuhkan pada tahun 2001;
• Institut Sosial Malaysia (ISM) yang ditubuhkan pada tahun 2002; dan
• Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) yang ditubuhkan pada tahun 2006.

Visi
Menjadi peneraju utama untuk mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang dan sejahtera sebagai asas pembentukan sebuah negara maju yang terbilang.

Misi

Mengintegrasikan perspektif wanita dan masyarakat ke dalam arus perdana pembangunan negara serta memperkukuhkan institusi keluarga ke arah peningkatan kesejahteraan sosial.

Matlamat

Membentuk masyarakat yang sejahtera melalui perkongsian tanggungjawab yang strategik dan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial yang cekap dan berkesan.

Objektif

1. Meningkatkan penyertaan dan peranan aktif wanita, keluarga dan masyarakat sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara.
2. Memelihara hak-hak kepentingan wanita, keluarga dan masyarakat dengan adil dan saksama tanpa unsur diskriminasi.
3. Memperluaskan peluang yang saksama kepada wanita dan masyarakat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik
4. Memantapkan institusi keluarga.
5. Mempastikan sistem penyampaian dan sokongan yang cekap dan berkesan.

Maklumat lanjut : https://www.kpwkm.gov.my

Back to top button
Close