Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Membandar Kawasan Luar Bandar

Fungsi Infra Ubah Sikap Warga Desa

KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merupakan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap kemajuan luar bandar. Ditubuhkan pada 17 Februari 1959, di peringkat awal, ia dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Dengan usia menjangkau 50 tahun tidak lama lagi, tentunya peranan yang dilaksanakan oleh KKLW juga semakin mencabar.

Oleh itu kewujudan Institut Kemajuan Desa atau Infra diharap dapat terus menjana usaha kementerian untuk mencapai matlamat seperti yang dihasratkan.

desa2

Infra merupakan institusi latihan yang bertanggungjawab untuk melengkapkan usaha membina negara menerusi proses memperkasa sumber daya manusia desa menerusi latihan dan pendidikan tidak formal kepada masyarakat luar bandar.

Hakikatnya pembangunan luar bandar merupakan agenda terpenting kerajaan untuk menangani isu-isu kemiskinan dan kemunduran luar bandar. Slogan 'membandar kawasan luar bandar' memperlihatkan keseriusan kerajaan ke arah menjayakan hasrat tersebut.

Tidak dinafikan bukan mudah untuk mengubah gaya hidup masyarakat desa yang telah 'selesa' dengan cara turun-temurun. Dan tentunya ini juga antara cabaran kepada Infra.

Pun begitu, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, selaku menteri bertanggungjawab ketika itu, tidak pernah lupa memperingatkan 'anak-anak buahnya' agar setiap tindakan, tetap berteraskan nilai-nilai murni, daya tahan dan daya pasaran selaras dengan wawasan negara.

Tumpuan agar masyarakat desa menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dijangka membuka lembaran baru kepada kehidupan yang lebih cemerlang di kawasan luar bandar.

Ia secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan mereka ke tahap yang disasarkan iaitu 80 peratus daripada pendapatan penduduk bandar selain mampu mewujudkan desa berkualiti dan berdaya saing.

Dalam masa sama, berusaha mewujudkan masyarakat berilmu dan berkemahiran, mempercepatkan pelaksanaan konsep dan program pembangunan bersepadu, meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa, mencapai liputan 100 peratus prasarana asas, utiliti dan infrastruktur serta memastikan penduduk desa celik teknologi maklumat.

Dengan adanya sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun kewujudan KKLW, masyarakat desa diharap tidak lagi menjadi 'entiti terasing' dalam aspek kemajuan dan pemodenan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

 

Sumber : Utusan Malaysia

--------------------------

Komen orang ramai:

Saya mendukung sepenuhnya hasrat kerajaan membangunkan kawasan luar bandar agar pembangunan negara akan lebih seimbang antara bandar dan luar bandar. Luar bandar adalah lubuk penempatan orang melayu yang rendah pencapaian ekonominya berbandung dengan lain-lain kaum yang merupakan majoriti di kawasan bandar.Membangunkan kawasan luar bandar mesti di jadikan agenda pembangunan ekonomi negara yang utama agar dapat meningkatkan nilai pegangan aset yang lebih baik kepada masyarakat bumiputra melalui program-program pembangunan ekonomi bernilai pasaran, dan jika ini dapat di laksanakan ianya akan dapat mengurangkan rasa terpinggir masyarakat bumiputra dalam persaingan mendapatkan hak mereka dalam pembangunan ekonomi negara. Dan masyarakat bumiputra tidaklah perlu bersaing dengan sengit dengan bukan bumiputra di kawasan bandar bagi meningkatkan pemilikan aset bumiputra dalam negara. ( Ibrahim Matan, 53)