Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin ekonomi Malaysia mampu tumbuh melepasi kadar enam peratus tahun ini di sebalik persekitaran luar yang mencabar. Malah, kebanyakan penganalisis menjangka kita boleh mencapai tujuh peratus atau lebih sedikit bagi tahun ini.
Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus ini diyakini boleh dicapai jika pelabur dan pemain industri turut membantu menjana kepesatan ekonomi negara. Hakikatnya, Malaysia perlu mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus setahun bagi memastikan matlamat menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Kerajaan yakin ekonomi negara mampu mencatat pertumbuhan lebih tinggi berbanding unjuran pertumbuhan Bank Dunia sebanyak 4.8 peratus.Pelaksanaan terancang kerajaan dalam mengukuh dan merancakkan ekonomi domestik dilihat mampu membendung kesan negatif daripada faktor luaran yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Faktor peningkatan KDNK
- Dasar-dasar baru yang diperkenalkan kerajaan dijangka membolehkan kita menikmati kepesatan pelaburan baru dan pertambahan peluang pekerjaan.
Perdana Menteri telah mengubah dasar kerajaan secara menyeluruh kerana situasi ekonomi dan politik dunia yang memerlukan negara bergerak ke arah itu.
- Program Transformasi Ekonomi (ETP) dirangka seiring dengan beberapa dasar lain seperti Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE), RMK-10 dan Bajet 2011. Semua pelan dan dasar itu bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kedudukan ekonomi kukuh dan berupaya bersaing di arena antarabangsa.
- Datuk Seri Najib sudah mengarahkan semua jentera kerajaan menggandakan usaha bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus tahun ini. Apa pun, kesan pertumbuhan ekonomi negara hanya akan dapat dilihat dan dinikmati mulai tahun depan selepas pelbagai usaha ke arah itu digerakkan dari sekarang.
- Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 10 peratus pada suku pertama tahun ini telah digunakan sebaik mungkin dengan memperkenalkan beberapa pendekatan termasuk MBE.
- Pertambahan peluang pekerjaan dan kemasukan pelaburan asing ini antara faktor yang akan merealisasikan hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menjangkakan ekonomi negara berkembang pada kadar sederhana dalam suku keempat sehingga suku pertama 2011 sebelum pulih pada separuh kedua tahun berikutnya. Negara kita hanya perlu mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus pada suku keempat tahun ini bagi membolehkannya mencapai unjuran rasmi KDNK sebanyak tujuh peratus.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menjangkakan ekonomi negara berkembang pada kadar sederhana dalam suku keempat sehingga suku pertama 2011
Sumber: utusan.com.my