ALSABA Cari Rakan Niaga Di Malaysia
 |
Pemilik Alsaba, sebuah restoran Pakistan di Itaewon-Dong, Korea Selatan, sedang mencari rakan niaga Malaysia sebagai sebahagian rancangannya untuk mengembangkan perniagaannya ke Malaysia dan rantau ini.
Alsaba, yang bermaksud "cahaya pagi", menawarkan makanan India/Pakistan serta memberi peluang kepada pelanggan untuk membeli barangan antik dan permaidani di restoran itu.
|
Di tanya mengapa dia memilih Malaysia, Munar Rana Kim, pemilik restoran itu ketika ditemui di Seoul baru-baru ini berkata Malaysia adalah negara Islam yang aman dan berteknologi tinggi. Rana berharap akan membangunkan restoran Alsaba di Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan-bangunan kedutaan.
Menurutnya, beliau mahu membuka restoran yang bagus dan halal untuk para diplomat, duta, delegasi kerajaan dan lain-lain usahawan. Bersama-sama restoran itu, sebuah kedai hadiah kecil akan didirikan untuk menjual kraftangan dan permaidani.
Keistimewaan Alsaba
Untuk pengalaman Alsaba yang sebenar, tukang masaknya juga akan didatangkan dari Pakistan. Pelanggan boleh mengetahui tentang restoran ini melalui carian Internet dan juga boleh membuat tempahan dalam talian.
Rana menubuhkan perniagaan di Korea Selatan dengan US$1 juta pada 2000. Beliau berkata sekurang-kurangnya 70 peratus pelanggannya adalah rakyat Korea.
Sumber : BERNAMA
23 Mac 2011