Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Program PERMATA Untuk Anak Anda

permata

Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA merupakan cetusan idea daripada isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor. Program ini turut meliputi beberapa program lain iaitu:

PERMATA Negara - Klik untuk maklumat lanjut

PERMATA Pintar - Klik untuk maklumat lanjut

PERMATA Seni


 

INTELLIGENCE Quoetient (IQ) atau darjah kecerdasan otak adalah berbeza bagi setiap individu. Ini berdasarkan faktor bangsa, budaya, pengaruh persekitaran, pendidikan, genetik dan lain-lain faktor yang mempengaruhi individu semenjak usia kanak-kanak hinggalah dewasa. IQ seseorang boleh menjadi cemerlang ataupun sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing menajamkan minda dan mengasah otak.


Bukan mudah untuk mendapatkan IQ yang cemerlang malah memilikinya adalah idaman setiap insan. Pertumbuhan IQ adalah bermula semenjak bayi lagi malah ia merupakan satu anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Menyedari akan hakikat tersebut dan dalam masa yang sama tidak mahu golongan cerdik pandai ini tercicir dan terabai, mereka perlu diambil berat dan diberi perhatian supaya intelek dan psikologi seseorang kanak-kanak berbakat itu boleh dikembangkan sepenuhnya.


Sehubungan itu, Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (Permata) yang dicetuskan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sejak 2006 telah berjaya menubuhkan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara atau NCDRC di UPSI pada 21 Jun 2007.


Ketika ini sebanyak 18,000 (jumlah sehingga 21 Oktober 2009) kanak-kanak di Malaysia mendapat manfaat daripada perluasan program Permata dengan penubuhan 478 pusat asuhan dan didikan awal sepanjang tahun lalu. Dengan menggunakan falsafah cerdas minda (IQ tinggi), cerdas emosi (EQ tinggi), cerdas rohani (SQ tinggi) dan cerdas sosial dan fizikal, kini program Permata telah dikembangkan kepada program Permata Seni yang terbahagi kepada Permata Seni Koir dan Permata Seni Muzik.


Jika program Permata Pintar dikhususkan untuk pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, maka program Permata Seni pula adalah untuk pelajar yang cemerlang dalam bidang seni. Untuk makluman bersama, Permata Seni Koir dikendalikan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) manakala Permata Seni Muzik pula dikendalikan oleh Istana Budaya yang menyaksikan kedua-duanya di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Bagi kedua-dua program tersebut, ia bertujuan untuk memperkembang dan seterusnya menyerlahkan potensi kanak-kanak yang cemerlang di dalam bidang vokal atau seni suara dan mainan alat muzik melalui program pembelajaran dan bimbingan yang sistematik dengan penekanan kepada kecemerlangan bakat. Telah dilancarkan pada 11 Januari lalu, kini Permata Seni telah dianggotai seramai 86 kanak-kanak di sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, daripada jumlah itu, 51 terpilih menyertai Permata Seni Koir, manakala selebihnya menyertai Permata Seni Muzik. Tambah beliau, Permata Seni Koir menyediakan landasan bagi menyerlahkan kanak-kanak Malaysia yang cemerlang bakatnya di dalam bidang seni suara atau vokal dan sekali gus menubuhkan sebuah kumpulan koir bertahap dunia.


''Kanak-kanak yang terpilih untuk menyertai program ini akan digilap pembelajaran muzik melalui bacaan dan kemahiran mendengar serta gaya nyanyian berharmoni. Sepanjang program latihan selama setahun, mereka yang terpilih akan dibimbing oleh tenaga terlatih dari dalam negara dan buat masa ini untuk Pertama Seni Koir ini dipimpin oleh Syafinaz Selamat. Matlamat kita ialah untuk koir Permata Seni berdiri setanding dengan kumpulan koir ternama di peringkat antarabangsa,'' ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Mengulas lanjut mengenai program Permata Seni Koir, jelas Norliza, sebagai satu program khas yang menonjolkan kecemerlangan, sudah pasti kanak-kanak yang terpilih dinilai berdasarkan kepada beberapa kriteria yang ditetapkan.
Ia adalah untuk memastikan koir yang bakal dibentuk merupakan satu kumpulan koir yang mantap dan berwibawa.

''Kanak-kanak yang ingin menyertai program ini mestilah berumur antara tujuh hingga 12 tahun, mempunyai bakat dan kebolehan menyanyi yang menyerlah. Keutamaan diberikan kepada mereka yang boleh membaca note muzik, mempunyai suara yang baik dengan tone yang sesuai dan mudah dibentuk serta berkeyakinan tinggi. Sebelum pemilihan dilakukan, kanak-kanak terbabit perlulah menjalani sesi uji bakat bagi memastikan mereka betul-betul layak serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Bukan itu saja, malah mereka yang terpilih perlu mengikut latihan dua kali seminggu sepanjang tahun,'' tambah Norliza.

Dalam masa yang sama, pada cuti pertengahan dan akhir tahun, kem koir akan diadakan selama seminggu. Dalam usaha memastikan apa yang dihasratkan itu tercapai, kanak-kanak terbabit turut akan dihantar menimba pengalaman daripada tenaga pengajar di luar negara.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Januari 2010

PERMATA Insan

Program Permata Insan Untuk Lahirkan Cendekiawan Islam Dilancarkan

NILAI, 12 Mac - Program Permata Insan, khusus untuk mengenal pasti pelajar pintar untuk diberikan pendedahan dalam bidang akademik yang diintegrasikan dengan ilmu pengajian Islam bagi melahirkan cendekiawan Islam, dilancarkan Jumaat.

Program itu yang dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merupakan kesinambungan program Permata Pintar yang dilaksanakan tahun lepas yang telah terbukti berjaya mengenal pasti pelajar pintar untuk diberikan pendedahan yang bersesuaian dengan tahap keupayaan kognitif mereka dalam bidang akademik.

Program Permata Insan merupakan kerjasama di antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melibatkan pelajar pintar yang berusia lapan hingga 12 tahun yang mempunyai kecenderungan dalam ilmu pengajian Islam, khususnya al-Quran.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program itu di USIM di sini, Rosmah berkata kecenderungan pelajar dalam bidang agama khususnya Al-Quran akan dikembangkan ke tahap yang tinggi dengan mengintegrasikan ilmu akademik dengan ilmu Islam secara sistematik, terancang dan mengikut metodologi yang bersesuaian.

"Pelaksanaan Permata Insan ini mengambil inspirasi daripada sejarah Islam dahulu yang dibanggakan dengan lahirnya ramai teknokrat Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, A-Biruni, Ibn Khaldun dan ramai lagi yang merupakan ilmuan tersohor dalam bidang mereka di samping mempunyai asas agama yang mantap terutama ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran," katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom, Naib Canselor USIM Prof Datuk Muhamad Muda dan isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Rosmah yang juga pengerusi jawatankuasa kerja dasar Permata Negara berkata bagi memastikan pelaksanaan program itu lebih berkesan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, USIM akan bekerjasama dengan Universiti King Abdul Aziz, Riyadh yang telahpun mempunyai program seumpama itu bagi pelajar pintar di seluruh Arab Saudi.

"Sepertimana yang sering saya nyatakan sebelum ini, kejayaan program melibatkan pendidikan kanak-kanak amat bergantung kepada peranan ibu bapa, pendidik dan masyarakat," katanya.

Katanya pemilihan pelajar untuk mengikuti kem Permata Insan dibuat menerusi proses saringan ujian kecerdasan iaitu UKM 1 yang akan berlangsung sepanjang bulan Mac hingga Mei.

"Setelah melepasi tahap kecerdasan UKM 1, mereka akan disaring melalui ujian USIM 1 bagi melihat kecenderungan mereka dalam pengajian agama di samping melihat kepada sahsiah peribadi dan sokongan keluarga pelajar," katanya.

Katanya pemilihan terbuka kepada pelajar pintar di Sekolah Rendah Islam, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat dan swasta serta mana-mana pelajar yang berminat.

Beliau berkata buat permulaan, Permata Insan akan mengenal pasti seramai 50 pelajar yang pintar agama dari seluruh negara untuk mengikuti kem Permata Insan yang akan diadakan semasa cuti sekolah pada Disember 2010.

"Pelajar pintar agama yang terpilih ini akan didedahkan dengan pembelajaran intensif di mana silibus pembelajaran telah dibina khusus dengan tahap kepintaran kanak-kanak tersebut.

"Di samping itu sistem pembelajaran sokongan juga akan dimuat naik ke dalam sistem bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran secara online di rumah," katanya.

Beliau menaruh harapan yang tinggi agar program Pertama Insan mencatatkan kejayaan dalam tahun pertama pelaksanaannya supaya dapat dikembangkan untuk tahun-tahun seterusnya demi melahirkan cendekiawan Islam yang gemilang.

Sumber: BERNAMA

PERKASA Remaja