Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pengurusan Sistem Perbankan

Teras utama langkah-langkah dasar pada tahun 2005 terus tertumpu pada peningkatan daya saing institusi perbankan domestik dan pengekalan daya tahan sektor kewangan. Dalam hal ini, usaha ditumpukan bagi meningkatkan keefisienan struktur dan operasi institusi perbankan serta memperkenalkan rangka kerja penyeliaan berhemat dan pengawasan penyeliaan yang lebih dinamik serta infrastruktur pengawasan yang lebih efektif dan komprehensif. Inisiatif dasar utama lain termasuk memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan bagi semua segmen ekonomi dan memperkukuh infrastruktur perlindungan dan pendidikan pengguna. Inisiatif ini mencerminkan teras utama Fasa Kedua Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) untuk mengangkat prestasi keseluruhan sektor kewangan.

Pada tahun 2005, landskap kewangan terus mengalami perubahan struktur. Kesemua sepuluh kumpulan perbankan domestik sudah menyempurnakan perasionalan perniagaan perbankan perdagangan dan syarikat kewangan masing-masing menjadi satu entiti tunggal. Satu lagi inisiatif strategik penting untuk memperkukuh kapasiti dan keupayaan kumpulan perbankan domestik menyumbang kepada transformasi ekonomi dan menghadapi cabaran liberalisasi ialah pembangunan bank pelaburan sepenuhnya melalui penggabungan antara bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun. Had pemilikan asing dalam bank pelaburan juga dinaikkan kepada 49%.

Penerapan secara beransur-ansur persaingan yang lebih sengit dalam pasaran menjadi pemangkin ke arahpeningkatan prestasi institusi perbankan domestik. Sehubungan dengan itu, kefleksibelan operasi diberikan kepada institusi perbankan asing yang diperbadankan di Malaysia (LIFB) untuk menubuhkan sehingga empat cawangan tambahan pada tahun 2006. Ini merupakan langkah pertama dalam pendekatan berperingkat bagi liberalisasi pembukaan cawangan untuk membenarkan penyertaan LIFB yang lebih aktif dalam sektor kewangan. Di samping itu, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan lebih kefleksibelan dan pilihan kepada institusi perbankan untuk mengurus pendedahan mereka serta mengagihkan sumber dengan lebih efisien dan efektif, institusi perbankan diberikan kefleksibelan untuk menjual langsung NPL mereka kepada pihak ketiga yang layak atau membeli NPL daripada institusi perbankan lain.

Perhatian yang sewajarnya terus diberikan ke arah memastikan elemen asas sistem kewangan yang selamat dan kukuh kekal tidak terjejas. Elemen asas ini termasuk mempunyai rangka kerja pengawasan dan pemantauan yang komprehensif dan efektif, wujudnya peraturan kehematan dan pengawasan penyeliaan yang mantap dan dinamis serta mempunyai infrastruktur kewangan yang efisien dan jaringan keselamatan kewangan yang boleh diharap. Dari segi pengawasan, usaha terus ditumpukan ke arah mempertingkatkan kekukuhan pengawasan dan penilaian daya tahan keinstitusian dan sistematik.

Sejajar dengan langkah ke arah rangka kerja penyeliaan ‘berasaskan prinsip’, tanggungjawab yang lebih besar diletakkan di bahu pemegang saham dan lembaga pengarah institusi perbankan untuk memastikan operasi yang kukuh dan selamat bagi institusi mereka. Untuk memimpin sektor perbankan ke arah matlamat ini, garis panduan tadbir urus korporat telah disemak dengan memberi penekanan yang lebih penting terhadap pengawasan lembaga pengarah, peranan pengarah bebas dan pengasingan yang jelas antara pengurusan dengan pemegang saham institusi perbankan.

Pelaksanaan Basel II di Malaysia

Pelaksanaan Basel II di Malaysia, menunjukkan bahawa sebahagian besar institusi perbankan tidak melihat sebarang masalah yang besar untuk menerima pakai kaedah standard pada tahun 2008, selain penambahbaikan sistem. Hasil kajian penilaian jurang yang dikendalikan oleh institusi perbankan bersama dengan hasil perbincangan dua hala akan digunakan sebagai input dalam perumusan panduan penyeliaan terperinci dalam menerima pakai kaedah yang berbeza di bawah Basel II. Selain inisiatif Basel II, usaha diteruskan bagi memperkukuh amalan pengurusan risiko industri. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan Rangka Kerja Kecukupan Modal Risiko Pasaran, yang berkuat kuasa pada bulan April 2005, merupakan anjakan penting ke arah menyediakan secara eksplisit modal penyeliaan bagi kerugian yang bakal timbul akibat aktiviti yang mendedahkan institusi perbankan kepada risiko pasaran.

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)

pidm_logo_vertical

Penubuhan PIDM pada bulan September 2005, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina asas bagi perlindungan pengguna yang efektif. PIDM beroperasi menyediakan perlindungan eksplisit berjumlah sehingga RM60,000 bagi setiap pendeposit di setiap institusi anggota.                                           

 

Pembubaran Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) pada bulan Disember 2005 menandakan kejayaan menyempurnakan bab terakhir dalam usaha penstrukturan semula sektor kewangan yang dilaksanakan selepas krisis kewangan Asia.                                      

Secara keseluruhan, kos yang ditanggung oleh Kerajaan dalam penstrukturan semula sektor kewangan melalui Danaharta dan Danamodal Nasional Berhad mencakupi 2.5% daripada KDNK negara.                         

Sistem Pembayaran Efisien


Pada tahun 2005, Bank Negara Malaysia memperhebat usaha untuk membangunkan dan menambah baik infrastruktur sistem pembayaran selaras dengan matlamatnya untuk memastikan sistem pembayaran yang efisien, boleh dipercayai dan selamat. Usaha-usaha tersebut termasuk menubuhkan mekanisme ‘pembayaran semasa pembayaran’ untuk mengurangkan risiko penjelasan pertukaran asing antara bank dan memperkenalkan sistem pemangkasan cek untuk mengurangkan pengendalian cek secara fizikal dan kos berkaitan lain. Dalam usaha menambah baik keselamatan kad kredit dan ATM, institusi perbankan telah berjaya menyempurnakan pemasangan terminal berasaskan cip pada tahun 2005, menjadikan Malaysia Negara pertama di rantau ini yang menyempurnakan pelaksanaan perpindahan cip di seluruh negara.

Pelaksanaan perpindahan cip dilengkapkan dengan pelaksanaan talian dipersulitnya atau line encryption untuk menghalang penipuan dalam talian, seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna, peniaga dan pelancong melakukan pembayaran menggunakan kad di negara ini. Dalam usaha menambah baik tahap akses bagi perkhidmatan pengiriman wang, institusi bukan perbankan yang layak dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan pengiriman wang, sementara institusi perbankan dibenarkan melantik ejen pemungut untuk memudahkan urus niaga pengiriman wang. Untuk menggalakkan perpindahan kepada pembayaran secara elektronik, Bank Negara

Malaysia telah mengadakan forum dan pameran sistem pembayaran yang luas liputannya di negara ini pada bulan November 2005. Ia menyediakan platform untuk membincangkan isu dan cabaran dalam perpindahan kepada pembayaran secara elektronik dan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai saluran pembayaran, produk dan inovasi.