![]() |
KUALA TERENGGANU: Kementerian Kerjaraya mengarahkan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bernilai RM18 juta yang baru setahun disiapkan ditutup sementara mulai semalam kerana kualiti kemudahan dan tahap keselamatan yang menyebabkannya tidak sesuai digunakan orang ramai. |
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata pasukan penyiasat Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan yang tidak mencapai mutu ditetapkan sehingga berlaku kebocoran dan kerosakan peralatan.
“Kami sudah memeriksa persekitaran termasuk di bahagian bawah tanah dan mendapati banyak kebocoran. Kita dapat lihat soket elektrik yang terdedah kepada kebocoran air dan ini semua tidak selamat digunakan,” katanya selepas meluangkan lebih sejam mengetuai pasukan penyiasat JKR melawat kompleks itu di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.
Kompleks Akuatik yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia ke-12 yang dihoskan Terengganu pada Jun tahun lalu. Pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu.
Shaziman berkata, kerosakan kompleks itu mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengawasan projek yang lemah kerana perlu disiapkan segera, tetapi itu tidak patut menjadi sebab membolehkannya disiapkan tanpa ikut spesifikasi.
“Projek ini dalam tempoh jaminan dan kita mengarahkan kontraktor melakukan kerja pembaikan sebaik mungkin,” katanya sambil menambah laporan penyiasatan lengkap kompleks itu diserahkan kepadanya oleh JKR Pusat 10 hari lagi.
"Saya terkilan kerana di Terengganu bukan saja Kompleks Akuatik menghadapi masalah tetapi bulan lalu, (sebahagian) bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh" katanya.
Dalam maklum balas segera, Judin berkata, JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.
Judin berkata, JKR Terengganu bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, bagaimanapun pihaknya masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah, sebaliknya JKR akan membuat penilaian secara menyeluruh.
"Ketika ini kami mempunyai beberapa pandangan tetapi ia masih belum boleh dijadikan kesimpulan terhadap apa yang berlaku kerana ia mestilah berasaskan kepada fakta dan laporan yang akan diterima nanti bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan insiden bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, katanya, pihaknya akan menerima laporan awal daripada badan penyiasat JKR dalam masa seminggu lagi.
Sumber : Berita Harian





