Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Darurat Angkara Komunis

 
MENGIMBAS kembali zaman darurat, terbayang difikiran kisah duka dan penderitaan yang  terpaksa dilalui oleh penduduk Tanah Melayu ketika Parti Komunis Malaya (PKM) bermaharajalela melancarkan serangan untuk menguasai Tanah Melayu melalui kekerasan.  Kegagalan untuk bergiat sebagai parti politik, menyebabkan PKM menukar strategi kepada perjuangan bersenjata hingga menyebabkan rakyat hidup dalam kebimbangan dan ketakutan.  Pembunuhan, penyeksaan dan sabotaj dilakukan oleh PKM bertujuan menghancurkan ekonomi dan melumpuhkan sistem perhubungan di Tanah Melayu.

Kemuncak kepada keganasan itu ialah pembunuhan tiga orang ketua Kuomintang di Johor pada 12 Jun 1948, dan pembunuhan tiga orang pengurus ladang getah yang berbangsa Eropah termasuk seorang pembantu ladang di Sungai Siput, Perak, pada 16 Jun 1948. Rentetan daripada peristiwa tersebut, Darurat diisytiharkan di Perak dan Johor pada 17 Jun 1948.  Pada 12 Julai 1948, Sir Alexander Theodore Newboult, Pegawai Tadbir Kerajaan, mengisytiharkan perluasan Undang-Undang Darurat ke seluruh Tanah Melayu. Pengisytiharan ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan bertarikh 13 Julai 1948. PKM diharamkan secara rasmi pada 23 Julai 1948.  Perluasan undang-undang ini memberikan kuasa yang lebih kepada pihak polis dan tentera untuk menangkap dan menahan orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan subversif.

Dalam usaha membendung dan melemahkan kegiatan komunis, kerajaan memperkenalkan beberapa rancangan di bawah Undang-undang Darurat. Antara rancangan tersebut termasuklah penggunaan kad pengenalan oleh semua penduduk Tanah Melayu yang berumur 12 tahun ke atas. Rancangan ini berjaya mengesan dan mengehadkan pergerakan pengganas komunis. Pada 1950, Jeneral Sir Horold Briggs memperkenal Rancangan Briggs. Rancangan  penempatan semula setinggan di kampung-kampung baharu bertujuan memastikan penduduk dapat diasingkan daripada pengaruh dan ancaman komunis.  Taktik ini berjaya menyekat bekalan makanan dan memutuskan perhubungan, maklumat, ubat-ubatan dan keanggotaan baru kepada PKM. Penempatan semula setinggan ini melibatkan seramai 572 917 orang yang telah dipindahkan ke 480 buah kampung baharu (Jun 1950 hingga Disember 1952).

Bagi mengekang pemberontakan komunis dan meningkatkan tahap keselamatan negara, pasukan keselamatan diperkukuh dengan pembesaran pasukan polis dan tentera.  Antara pasukan yang ditubuhkan semasa berlakunya darurat ialah Pasukan Mata-Mata Khas-SC (Special Constable), Polis Bantuan (Auxiliary Police), Polis Cawangan Khas (Special Branch) dan Pengawal Kampung (Home Guard). Tentera dari negara Britain, Australia, New Zealand, Fiji dan  Afrika Timur turut dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk membantu memerangi keganasan komunis.

Kemuncak usaha kerajaan untuk mengatasi pemberontakan bersenjata komunis ini adalah mengadakan rundingan damai dengan pihak komunis. Rundingan ini diadakan dalam empat sesi di Sekolah Kerajaan (kini Sekolah Kebangsaan Tunku Putra), Baling, Kedah pada 28 hingga 29 Disember 1955. Rundingan ini bertujuan untuk menamatkan darurat. Rundingan ini juga merupakan lanjutan daripada tawaran pengampunan berama-ramai yang diberikan oleh kerajaan kepada angota PKM pada 9 September 1951.  Dalam rundingan tersebut, pihak kerajaan diwakili oleh Ketua  Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra; Ketua Menteri Singapura,  Encik  David  Marshall  serta   Dato'  Sir  Tan  Cheng  Lock. PKM pula diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Chin Peng, dan dua lagi ahli, iaitu Chen Tian dan Abdul Rashid Maidin. Namun begitu, rundingan ini berakhir tanpa sebarang persetujuan daripada pihak komunis kerana mereka berniat untuk mendapatkan kebebasan politik bagi mencapai cita-cita mereka.

Walaupun darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeidin Sulaiman Shah, namun saki-baki anggota PKM masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya. Saki-baki anggota komunis ini berundur ke sempadan Malaysia – Thailand. Mereka mengumpul kekuatan untuk melancarkan semula pemberontakan bersenjata dengan matlamat  yang sama, iaitu menumbangkan kerajaan dan menubuhkan  Republik Komunis di Tanah Melayu.  Pemberontakan bersenjata yang dilancarkan semula  ini telah mencetuskan darurat kedua di Malaysia pada tahun 1968 hingga 1978. Keterangan dasar yang dikeluarkan oleh PKM pada bulan Jun 1968, menjelaskan sikap PKM, yang mahu melakukan perjuangan secara keganasan bersenjata. Strategi yang digunakan oleh PKM antara lain melibatkan penyusupan semula unit penggempur ke Semanjung Malaysia bagi menguasai semula kawasan tradisi mereka dan seterusnya melakukan pemberontakan.

Pemberontakan bersenjata PKM ini di mulai dengan menyerang beberapa sasaran pasukan keselamatan. Serangan ini bertujuan untuk memperlihatkan kesungguhan PKM dalam memulakan semula pemberontakan bersenjatanya.  Antara serangan yang telah dilakukan oleh pengganas komunis ini termasuklah serangan hendap terhadap satu konvoi pasukan keselamatan pada 17 Jun 1968.  Dalam serangan tersebut, konvoi Batalion Pertama, Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Perak telah diserang hendap oleh penggans komunis berhampiran kawasan sempadan Kroh (Perak) dan Betong (Thailand). Dalam kejadian tersebut, tiga buah kenderaan polis mengalami kerosakan teruk, 16 orang anggota Pasukan Polis Hutan terbunuh dan 17 orang anggota lagi mengalami kecederaan.

PKM juga bukan sahaja memperhebatkan gerakan ketenteraanya di hutan belantara, malahan memasuki bandar dan melakukan pelbagai sabotaj dan kemusnahan. Antara yang menjadi sasaran utama pengganas komunis termasuklah kerja pembinaan Lebuh Raya Timur – Barat sepanjang 85 kilometer yang menghubungkan Gerik, Perak dan Pasir Puteh, Kelantan. Kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit apabila banyak jentera dan kelengkapan pembinaan diletupkan serta dimusnahkan.

Pada 26 Ogos 1975, ibu kota Kuala Lumpur dikejutkan dengan serangan pengeboman Tugu Negara diikuti serangan ke atas Kem Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Dalam serangan tersebut seramai dua anggota PPH terbunuh serta mencederakan 41 anggota yang lain.

Pengganas komunis juga bertindak lebih agresif dan ganas dengan melakukan siri pembunuhan ke atas anggota pasukan keselamatan. Antara keganasan yang dilakukan termasuklah membunuh pegawai dan anggota Cawangan Khas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd. Rahman Hashim pada 6 Jun 1974 dan Ketua Polis Kontinjen Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975 di Ipoh, Perak.

Perang gerila yang dicetus oleh PKM pada tahun 1968  berlarutan selama 21 tahun.  Namun,  titik noktah bagi pemberontakan ini dicapai pada tahun 1989 apabila PKM menyambut seruan damai yang diusahakan  oleh pihak kerajaan Thailand dengan kerjasama pihak Kerajaan Malaysia.  Lanjutan daripada rundingan yang dijalankan selama hampir setahun, pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai telah dimeterai antara PKM dengan Pihak Kerajaan Malaysia; dan PKM dengan kerajaan Thailand. Berdasarkan kepada perjanjian ini, PKM bersetuju menamatkan pemberontakan dan memusnahkan senjata serta membubarkan pasukan senjatanya. Selain itu, PKM juga memberikan jaminan kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand untuk menghormati undang-undang kedua-dua negara.

Dalam upacara menandatangani Perjanjian Damai yang diadakan di Hotel Lee Gardens, Haadyai, Thailand ini, PKM diwakili oleh Pengerusinya, Abdullah C.D, Chin Peng dan anggota majlis pusat, Abdul Rashid Maidin. Kerajaan Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Haniff Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hashim Mohd. Ali.  Kerajaan Thailand pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi Dalam Negeri, Jeneral Tan Sri Vhabalit Yongchaiyudh; Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Empat, Lefternan Jeneral Yoodhana Yampundhu; Ketua Pengarah Jabatan Polis Diraja Thailand, Jeneral Polis Saweang Therasawat dan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Encik Anek Sithip Rasasana. Perjanjian damai dan pembubaran Pasukan Komunis Malaya (PKM) ini merupakan lambang kejayaan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam menangani perjuangan bersenjata PKM.

Sesungguhnya kejayaan ini menyumbang kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara. Oleh sebab itu, nikmat kemerdekaan, keamanan dan keharmonian yang dikecap kini wajarlah disyukuri. Namun begitu, usahlah kita alpa dan leka serta beranggapan ancaman tidak lagi wujud pada masa sekarang dan akan datang. “Kegagalan memandang ke hadapan memungkinkan kita terperangkap ke dalam situasi yang sukar”.  Begitulah catatan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Md. Hashim Hussein, pada 23 Julai 1999 (dipetik dari buku Tentera Darat Menentang Insurgensi Komunis 1968-1989).

Sumber: Arkib Negara