Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

BATIK 1 MALAYSIA

batik1malaysia2

Warna Batik 1Malaysia mewakili semua warna yang terdapat pada bendera Malaysia yang digabungkan dengan elemen kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

 

Kraftangan Malaysia buat pertama kalinya memperlihatkan rekaan batik 1Malaysia yang telah diperkenalkan kepada umum pada program 1Malaysia di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka. Ia bakal dijadikan pakaian acara rasmi, kempen serta majlis 1Malaysia. Batik 1Malaysia menampilkan empat corak batik yang terdiri daripada masing-masing satu kemeja serta dua baju kurung dan dua kebaya.







Batik 1Malaysia telah direka oleh pereka pakaian, Nazarii Maarus dengan mengetengahkan cetusan idea Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim. Beliau mengambil masa sebulan untuk menghasilkannya. Rekaan itu dihasilkan dengan menggabungkan kaum-kaum yang ada di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Nazarii yang terlibat dalam bidang rekaan sejak 26 tahun lepas, menggabungkan kesemua elemen itu dengan  diperlihatkan menerusi motif songket, paisley, bulu merak, pua kumba, bunga pioni dan bunga kapas. Lima elemen warna digunakan iaitu merah, biru, hitam, kuning dan putih.

Keindahan Corak Batik 1Malaysia

Kehalusan rekaan corak batik diolah bermotifkan kebudayaan dan warisan empat masyarakat dominan dan utama di Malaysia. Motif awan larat yang sering terdapat pada batik dan tenunan songket mewakili kaum Melayu. Daun paisley dan bulu merak pula melambangkan kemegahan budaya kaum India. Sementara itu, bagi kaum Cina, bunga pioni dan bunga kapas menghiasi fabrik itu. Gabungan lima warna iaitu merah, biru, hitam, kuning dan putih pula menonjolkan elemen bangsa Malaysia. Selain itu, motif kain tenun pua kumbu, iaitu tekstil warisan nenek moyang masyarakat Iban, juga tersemat dalam rekaan batik tersebut.





Penggunaan warna terang seperti merah dan biru yang dijalinkan bersama warna kelabu dilihat sebagai suatu yang memberi kelainan. Turut disediakan adalah selendang yang dipenuhi dengan corak bermotifkan bunga raya. Lebih manis, busana wanita tersebut boleh disempurnakan penampilannya dengan aksesori tambahan klasik seperti kerongsang, anting-anting atau rantai labuh.



Walaupun tidak perlu memakai aksesori sarat, namun disebabkan bajunya polos, tidak pelik jika anda ingin menggayakan aksesori yang lebih glamor. Tambahan pula, tiada sebarang jahitan manik dilakukan untuk menambah perincian busana itu. Ia bergantung kepada kreativiti pemakainya, sama ada untuk menambah sedikit manik di bahagian leher mahupun pergelangan tangan. Setiap potongan baju tersebut telah dijahit sedondon dengan kemeja lelaki.

batik2 RONA kelabu yang lembut dan santai digandingkan bersama merah dan biru.

Angka satu (1) yang jelas tertera di bahagian dada, pilihan warna juga mewakili semua warna yang terdapat pada bendera Malaysia yang digabungkan dengan elemen kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Bagi menyemarakkan lagi pemakaiannya, digalakkan memakai batik 1Malaysia untuk semua program yang membabitkan 15 jabatan di bawah kementerian. Semua pengusaha batik turut serta mengeluarkan rekaan yang mencerminkan identiti 1Malaysia kerana yakin fesyen tersebut mampu menarik perhatian masyarakat. Orang ramai boleh mendapatkan Batik 1Malaysia dari pusat-pusat jualan Karyaneka pada harga antara RM50 hingga RM100   bergantung kepada jenis kain.

batik3PENAMPILAN segak jejaka dalam persalinan batik yang bercorak motif bunga raya.