Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

18 Jan - Gerakan Sederhana Bermula

gmm2012

KUALA LUMPUR: Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak dua tahun lalu, memulakan langkah menerusi Persidangan Antarabangsa GMM2012 semalam dengan matlamat membawa dunia ke arah kesederhanaan bagi kepentingan sejagat.


Ketika menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara itu, Najib menyentuh pelbagai isu berhubung kesederhanaan, termasuk menangani ekstremisme, keganasan dan perbuatan pelampau kewangan yang menyebabkan banyak pihak terjejas dan menderita.

Idea GMM yang bertujuan meningkatkan kesederhanaan di peringkat global, dicetuskan Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-65, di New York pada 2010 yang menyarankan pemimpin dunia supaya menolak sebarang bentuk ekstremis, sebaliknya menjadikan kesederhanaan dalam setiap tindakan yang kemudian mendapat reaksi positif daripada pemimpin dunia.

Cadangan beliau kemudian diperincikan ketika ucapan di Oxford Center for Islamic Studies (OCIS), England pada Mei tahun lalu dan bulan lalu, idea memupuk kepentingan nilai kesederhanaan beliau itu diterima dan disenaraikan dalam Pernyataan Bersama Mesyuarat Ketua Kerajaan Komenwel (CHOGM), di Perth, Australia.

Dalam ucapannya di depan 350 delegasi dari lebih 70 negara semalam, Najib juga mengumumkan langkah untuk menerajui usaha memperkembangkan konsep kesederhanaan pada pertingkat antarabangsa dengan pelancaran Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global yang baru.

Beliau berkata, yayasan itu berfungsi sebagai pusat memulakan penyatuan dan penyebaran maklumat serta bahan kempen kepada semua pihak yang ingin menyertai usaha memerangi ekstremisme, termasuk badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya penting bahawa selain inisiatif eksklusif oleh Malaysia, GMM melengkapi inisiatif lain untuk kerjasama dan dialog antarabangsa seperti Perikatan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hadir sama pada persidangan anjuran Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama UIAM itu adalah Datin Seri Rosmah Mansor; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Pada peringkat negara pula, Najib mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah yang bertujuan terus menggerakkan pergerakan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek di negara ini.

Tumpuan institut yang beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu mencakupi aspek menghormati demokrasi, kedaulatan undang-undang, pendidikan, maruah insan dan keadilan sosial.

Najib juga berkata, sebuah Kursi Wasatiyyah berteras akademik akan diwujudkan dan beroperasi di bawah Universiti Malaya (UM), dengan penyandangnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan kelahiran lebih ramai ilmuwan hebat dan ulama besar seperti Al-Imam Ibnul Qayyim yang dipetik kata-katanya bahawa wasatiyyah, iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung.

Sementara itu, Abdullah memuji inisiatif langkah kerajaan menubuhkan Institut Wasatiyyah, selain melancarkan Yayasan GMM dan mewujudkan Kursi Wasatiyyah.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menjadi antara peserta persidangan pula berharap semua inisiatif terbaru itu akan menjadikan Malaysia sebagai pusat memperkembangkan idea membanteras ekstremisme dalam apa juga bentuk, termasuk agama, politik dan ekonomi.

 

 

Berita disunting daripada sumber : Berita Harian