Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

26 Apr - TH Plantations Tambah Aset

th

 

SASARAN TH Plantations Bhd untuk muncul sebagai sebuah syarikat perladangan bersaiz sederhana dengan keluasan ladang lebih 50,000 hektar akan direalisasikan pertengahan tahun ini, setahun lebih awal daripada sasaran awalnya.

 

Syarikat perladangan milik Tabung Haji itu dijangkakan memuktamadkan pembelian 5,600 hektar ladang sawit di Samarahan, Sarawak dan 14,180 hektar di Kalimantan, Indonesia masing-masing pada Mei dan Ogos ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Zainal Azwar Aminuddin, berkata pembelian membabitkan harga RM90.32 juta itu akan meningkatkan keluasan ladang TH Plantations kepada 59,154 hektar daripada hanya 39,372 hektar ketika ini.

Mereka menjangka memasuki ladang di Samarahan pada akhir Mei, manakala di Kalimantan kami sedang menunggu pengeluaran surat hak guna kuasa oleh pemerintah republik itu yang dijangka dikeluarkan Ogos depan.

Katanya kedua-dua pembelian ini adalah pelaburan strategik yang diunjurkan dapat meningkatkan pendapatan dan nilai pemegang saham syarikat pada masa depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) TH Plantations di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusi TH Plantations, Tan Sri Yusof Basiran.

Zainal Azwar menjelaskan, di Sarawak, perjanjian jual beli saham bersyarat dimeterai TH Plantations sebelum ini dengan Sawit Green Plantation Sdn Bhd bagi mengambilalih 3.5 juta saham biasa bernilai RM1 seunit milik Sawit Green Plantation dalam Hydroflow Sdn Bhd, mewakili 70 peratus modal terbitan dan berbayar dalam Hydroflow, akan menyaksikan ia menguasai kawasan ladang seluas kira-kira 5,600 hektar.

Di Kalimantan pula, ia membabitkan perjanjian jual beli saham bersyarat dimeterai dengan Drs H Rajasa Abdurachman dan Ir Badai Sakti Daniel bagi mengambilalih 5.58 juta saham bernilai Rp1,000 seunit dalam PT Persada Kencana Prima, mewakili 93 peratus modal terbitan dan berbayar dalam PT Persada Kencana Prima, katanya.

Pengambilalihan itu membabitkan pertimbangan tunai Rp46,211,960,000 atau RM16.822 juta berdasarkan tukaran wang asing pada 10 November 2011.

Katanya apabila pengambilalihan itu selesai, keluasan ladang kami akan meningkat sebanyak 19,782 hektar kepada 59,153 hektar, melepasi sasaran 50,000 hektar yang ditetapkan.

Zainal Azwar berkata, Sarawak dan Kalimantan kekal kawasan sasaran bagi cadangan pengambilalihan berikutnya oleh TH Plantations.

Beliau berkata, TH Plantations meninjau mengembangkan keluasan ladangnya sebanyak 20,000 hektar lagi dalam tempoh tiga tahun akan datang di Kalimantan dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya rundingan dengan pihak terbabit masih di peringkat awal.

Disunting Daripada Berita Harian