Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Rakyat Elemen Penting Pertahan Institusi Raja Berpelembagaan

Perjalanan sejarah negara telah menyaksikan  sistem beraja mutlak di negara kita telah berakhir apabila sistem raja berperlembagaan seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf  Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diterima untuk Tanah Melayu yang merdeka. Sebaik sahaja kita merdeka pada 31 Ogos 1957, maka tertegaklah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di mana kedudukan dan kuasa raja-raja diikat atau tertakluk kepada semangat Perlembagaan Persekutuan.

Secara evolusinya semangat raja berperlembagaan  bermula di negeri Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda Sultan Abu Bakar mempunyai hubungan yang rapat dengan British. Hubungan kerajaan Johor dengan kerajaan British diperkukuhkan lagi apabila baginda mengadakan perjanjian dengan baginda Queen Victoria pada 11 Disember 1885 di London.

Dalam mentadbir Negeri Johor, baginda sering mendapatkan nasihat undang-undnag  daripada tetuan Rodyk dan Davidson atai Simons dan Napier. Malah, baginda telah melantik William Napier secara rasmi sebagai Penasihat Undang-undang. Pada 14 September 1895, Sultan Abu Bakar memperkenalkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Pelaksanaan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor itu membawa kepada  Ini pemebentukan sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menyerupai Parlimen. Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Majlis Negeri dan Jemaah Menteri.Majlis itu berfungsi untuk membantu sultan Johor dalam hal-hal pentadbiran.

Rahimah Abdul Aziz (1997) menyebut pemasyhuran undang-undang tersebut sebagai kemuncak pembaratan yang dilakukan oleh Sultan Johor, manakala E. Thio (1967) pula menyebut pelaksanaan undang-undang itu meruoakan titik tolak campur tangan British dalam pentadbiran kerajaan Johor.

Hakikatnya, perjalanana sejarah di negara ini telah merakamkan bahawa sistem pemerintahan beraja yang berakar umbi dari Kesultanan Kerajaan Melayu Melaka telah berakhir dan digantikan dengan sistem pemerinthan demokrasi dan raja berpelembagaan secara rasminya sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Walaupun Raja yang ada pada hari ini adalah tertakluk kepada perlembagaan moden, namun institusi raja masih dilihat penting dalam sistem pemerinthan demokrasi berparlimen di negara ini.

Ini dapat dilihat dari stuktur Parlime itu sendiri di mana Parlimen terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Perlembagaan Negara memaktubkan di dalam Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara. Namun, kuasa-kuasa pentadbiran ini dilaksanakan oleh barisan kabinet kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri.

Walau bagamaina pun, banginda berhak untuk mendapatkan maklumat mengenai apa-apa perkembangan mengenai hal ehwal negara bila-bila masa yang diperlukan baginda. Baginda  juga bertanggungjawab mempertahankan kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu serta kedudkan kaum-kaum lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga merupakan Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata dan ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri dan di negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, termasuk Wilayah Persekutuan.

Majlis Raja-raja yang antara tanggungjawabnya ialah memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong adalah institusi yang bertanggung jawab memastikan bahawa instusi beraja di negara ini berada pada landasan yang selari dengan kedudukan mereka dalam demokrasi dan perlembagaan. Berdasarkan perlembagaan, ahli-ahli Majlis Raja-Raja  dikehendaki menerima nasihat kerajaan.

Justeru, perlembagaan menghendaki ahli Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada para Menteri Besar Dan Ketua Menteri. Walau bagaimanapun, sekiranya majlis membincangkan hal-hal berhubung dengan institusi raja termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Agong maka penasihat terbabit tidak perlu hadir.

Sejauh mana institsui raja ini boleh bertahan adalah bergantung kepada iltizam dan kekuatan rakyat mempertahankan institusi yang menjadi lambang warisan sistem politik Melayu tradisional. Rakyatlah yang menjadi penentunya. Ini pernah diakui sendiri oleh baginda Sultan Sultan Azlan Shah. Ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen  Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980, baginda bertitah, "Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya".

Pada hemat penulis hanya orang Melayu dan politik Melayu sahaja yang mampu untuk mempertahankan satu-satu warisan politik Melayu ini. Ini tidak bermakna penulis menafikan tanggungjawab bangsa lain selaku rakyat yang taat setia kepada baginda, tetapi memandangkan bangsa Melayu itu lebih dekat minda dan jiwanya kepada akar tradisi bangsanya sendiri, maka merekalah yang menjadi penentu dalam mempertahankan sistem raja berperlembagaan di negara ini.

Dalam ’Magnum Opus’ Sejarah Melayu, Tun Perak, Bendahara Melaka tersohor mengingatkan rakyat: ”Hendaklah tulus hatimu pada berbuat kebaikan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaikan kepada raja kamu. Adalah raja yang adil itu dengan Nabi sallallahu-alaihi-wa-salam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana ia zuli’lLahu-fil’alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, seperti berbuat kepada Allah subhanahu-wa-ta’ala.Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya, dan akan raja”. - BH 5 Apr 2012

PENULIS ialah penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.