Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Tuntutan COMANGO Iktiraf LGBT Perlu Ditentang

Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang berpegang kepada kepercayaan kepada tuhan. Kepercayaan kepada Tuhan dijadikan salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara. Sebagai negara yang rakyatnya berpegang kepada agama maka segala bentuk perlakuan yang tidak beretika dan di luar batas akhlak dan fitrah kemanusiaan tidak dapat diterima di negara ini. Hakikatnya norma dan etika kehidupan yang sihat tidak dapat menerima sama sekali perbuatan keji. 

Memang manusia tidak boleh lari dari membuat kesilapan atau melakukan dosa. Namun, tindakan memperjuangkan perbuatan mungkar untuk diiktiraf sebagai amalan yang sah di sisi undang-undang seperti yang tuntutan oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) dalam isu hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.

Tentang COMANGO

Perjuangan yang ekstrem itu mesti ditentang dengan apa cara sekali pun. Semua pihak yang cintakan kehidupan berakhlak tidak boleh berpeluk tubuh dengan tuntutan COMANGO itu. NGO itu jelas memperjuangkan kemungkaran seks songsang dan menuntut supaya amalan keji itu diakui undang-undang negara. Apa yang diperjuangkan mereka sangat berbahaya untuk kehidupan masyarakat negara ini kerana ia akan memberi kesan kepada nilai moral masyarakat Malaysia.

Kumpulan terbabit nampaknya begitu komited memperjuangkan kehendak ‘gila’ mereka itu sehingga sanggup membawanya ke peringkat antarabangsa atas nama hak asasi manusia. Mereka mengharapkan tekanan antarabangsa di kenakan ke atas negara kita supaya negara tunduk dan seterusnya mengiktiraf hak berlandaskan SOGI - Sexual Orientation & Gender Identity, iaitu hak-hak LGBT termasuk membenarkan perkahwinan sejenis.

Justeru, antara perkara yang dituntut oleh mereka ialah meminta kerajaan memansuhkan seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Malah, mereka turut menganggap Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah mengganggu hak peribadi dan mendesaknya dimansuhkan. Selain itu negara dipaksa untuk tunduk pada Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang antaranya memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks songsang.

Selain memperjuangkan LGBT, COMANGO juga menuntut Malaysia menerima International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang antaranya mengandungi Artikel 18 berkaitan kebebasan beragama. Artikel 18 itu bermaksud ‘bahawa hak untuk menerima atau menganut sesuatu agama atau kepercayaan sewajarnya bermaksud kebebasan untuk memilih sesuatu agama atau kepercayaan, termasuk hak untuk menukar atau menggantikan agama atau kepercayaan yang dianuti seseorang’.

Cubaan murtadkan Melayu

Mereka mahukan penganut Islam juga diberi kebebasan untuk menukar agama. Maknanya, seseorang Islam yang mahu menukar agama mesti diberi kebebasan untuk berbuat demikian. Jelaslah bahawa mereka bersungguh-sungguh untuk memurtadkan orang Melayu Islam di negara ini sehingga mereka sanggup membawanya ke peringkat antarabangsa. Mereka cuba memberikan tekanan antarabangsa kononnya negara menindas hak asasi golongan terbabit.

Justeru, kesedaran terhadap bahayanya perjuangan Comango mesti digerakkan supaya masyarakat bangkit menentang perjuangan songsang itu. Dalam konteks ini kita mengharapkan solidariti, ukhwah dan perpaduan umat Islam di negara ini untuk bergerak dalam satu suara bagi menumbangkan perjuangan songsang Comango itu. Sewajarnya usaha yang dilakukan oleh badan dinamakan Muslim-Universal Periodic Review Organisation (Muslim-UPRo) yang dianggotai oleh beberapa pertubuhan Islam untuk membela Islam di negara ini disokong dan dibantu oleh umat Islam.

Umat Islam mesti menjadi umat yang peka dan sensitif dalam memperjuangkan maruah bangsa dan agama.Kita tidak mahu bumi Malaysia ini mengiktiraf perbuatan mungkar dan fasad (kerosakan) melalui peruntukan undang-undang. Apa pun, dalam isu yang begitu sensitif ini kerajaan tidak perlu tunduk kepada tekanan kumpulan terbabit demi menjaga dan mempertahankan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta menjaga norma dan etika hidup bermoral berlandaskan prinsip-prinsip Rukun Negara. Malah, undang-undang yang lebih tegas dibuat bagi melarang sebarang bentuk perjuangan songsang seperti itu. – BH 29/11/2013
________________________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.