Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

26 Apr - DRB-HICOM, Volkswagen Labur RM600j

DRB-HICOM

DRB-HICOM Bhd dan gergasi automotif Jerman, Volkswagen AG akan menyuntik pelaburan tambahan RM600 juta ke dalam kilang pemasangannya di Kompleks Automotif Pekan, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

 

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri itu sekali gus meningkatkan jumlah pelaburan di kompleks yang mula dibuka sejak 1984 setakat ini kepada RM4.5 bilion dan menyediakan sehingga 10,580 peluang pekerjaan. 

Beliau juga berkata, kompleks automotif berkenaan juga akan memberi manfaat besar kepada ekonomi negara kerana ia dijangka dapat menjana sehingga RM12 bilion Pendapatan Kasar Negara (GNI) pada 2015.

Kompleks ini bermula dengan sebuah kilang kecil dengan 200 pekerja tetapi menerusi proses transformasi, ia kini menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 3,200 pekerja dan sebaris dengan pengeluar automotif antarabangsa.

Perkembangan pesat yang berlaku di Pekan menyaksikan pembangunan industri automotif diterajui DRB-Hicom mampu bersaing dengan negara luar.

Malah, persetujuan Volkswagen AG menambah peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta akan mempercepatkan lagi usaha menjadikannya sebagai hab automotif antarabangsa, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Beramah Mesra dengan Warga DRB-HICOM di Pekan, semalam.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Perdana Menteri berkata, kerjasama kerajaan dengan DRB-Hicom memberi manfaat kepada rakyat dan negara dalam pelbagai bidang.

Katanya, pembangunan industri automotif diterajui syarikat itu di kawasan perindustrian Pekan amat membanggakan, selain daripada menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan membantu “orang berniaga” menerusi pelbagai insentif bagi menarik pelaburan luar ke negara ini, katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pelan insurans keluarga kepada semua warga DRBHICOM Pekan bagi melindungi kakitangan dan keluarga terdekat mereka.

Beliau berkata, pelan insurans itu adalah sebahagian usaha DRBHicom dalam menjaga kebajikan kakitangannya serta mengiktiraf usaha gigih mereka.

Najib turut menyatakan rasa kagumnya dengan keupayaan syarikat itu mengeluarkan kenderaan perisai 8X8 dan 4X4 untuk pertahanan negara.

Beliau berkata, kenderaan itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu, Sabah sebagai persediaan menghadapi ancaman pengganas.

Berita disunting daripada Berita Harian