Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

14 Sept - Suami isteri nafi dera amah

nafi dera

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan pembantu rumah warga Filipina, sejak awal tahun hingga bulan lalu. 

Pegawai Kawalan Kos Cari Gali, Mohamad Afzan Azemi, 35, dan Pengurus Kewangan, Norazni Razali, 30, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan di kediaman mereka beralamat No 17, Jalan Elektron U16/23A, Seksyen U16, Shah Alam, antara 23 Januari hingga 31 Ogos 2017.

Mereka dituduh memperdagangkan Joraimie Garcia Torres, 31, dengan tujuan mengeksploitasi kerja secara paksa serta penggunaan kekerasan.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 13(b) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta dibacakan bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat mencadangkan mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin selepas mengambil kira kesalahan itu membabitkan hubungan dua hala dengan negara Filipina.

Katanya, jika mahkamah cenderung untuk membenarkan mereka diikat jamin, beliau mencadangkan masing-masing dikenakan jaminan RM100,000.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, K Murali memohon mahkamah membenarkan ikat jamin serta mengurangkan jumlah wang jaminan atas alasan anak guamnya mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun, dengan salah seorangnya masih menyusu badan.

Mohd Sabri kemudian membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Berita Disunting Daripada Berita Harian