Isnin 17 December 2018
A- A A+

ESSCOM TUBUH JAWATANKUASA KHAS TANGANI ISU PALAU

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung  masa depan masyarakat Pala’u di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan bersama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Ruji Ubi dan Komander ESSCOM DCP Dato' Abd Rashid Harun.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ruji berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dan Mesyuarat Jawatankuasa ESSZONE yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman baru-baru ini.

Ruji berkata jawatankuasa itu, antara lain, bertindak sebagai kumpulan pemikir (think thank) yang akan memberi syor dan  mengenalpasti pendekatan dan langkah terbaik menangani isu masyarakat Pala'u atau Bajau kepada JKKN dan Jawatankuasa ESSZONE.

“Memandangkan kedua-dua mesyuarat JKKN dan ESSZONE diadakan pada masa dan waktu sama, maka isu berkaitan masyarakat Pala’u telah dijadikan sebagai salah satu agenda tetap dalam mesyuarat tersebut.

"Ini menunjukkan kesunggahan kerajaan Sabah menyelesaikan isu masyarakat Pala'u," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas menangani Pala'u ESSZONE di sini, hari ini.

Turut hadir Abd Rashid, Pengarah Bahagian Logistik dan Urustadbir ESSCOM Brig. Jen. Subari Tomo, Timbalan Ketua Bahagian Perisikan ESSCOM Brig. Jen. Dato’ Md. Rahim  Mohamad, Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali dan Pegawai Daerah Semporna Dr. Chacho Hj Bullah.

Sementara itu, Abd Rashid pula menggariskan beberapa justifikasi perlunya isu Pala'u ditangani secara bersepadu dan holistik.       

Menurutnya terdapat segelintir masyarakat Pala'u yang telah dipergunakan dan dijadikan sebagai mata dan telinga penjenayah.

"Berdasarkan risikian, terdapat juga masyarakat Pala’u yang menyebelahi penjenayah termasuk melaporkan keberadaan pegawai-pegawai penguatkuasa di perairan negara bagi memudahkan mereka (penjenayah rentas sempadan) masuk ke negara ini untuk melakukan penculikan (kidnapping for ransom (KFR) atau menyeludup barang-barang bersubsidi ke negara jiran," katanya sambil menyatakan pihak ESSCOM memandang serius perkara itu.

Abd Rashid berkata hasil maklumat dan risikan, ESSCOM berjaya mematahkan beberapa percubaan penculikan yang dirancang oleh pihak musuh.

"Selain itu, kita juga telah berjaya mengurangkan jumlah kes penyeludupan barang-barang bersubsidi termasuk rokok, minyak dan sebagainya ke negara jiran. Bagaimanapun, Perkara ini kita tidak boleh biarkan berlarutan.

"Pasukan keselamatan tidak mampu mengawal perairan ESSZONE yang begitu luas sehingga menjangkau 1,733 KM. Saya berpendapat jika tiada tindakan konkrit yang diangkat kepada kerajaan, saya rasa kita akan menghadapi satu keadaan yang tidak terkawal dari sudut keselamatan, ekonomi dan sosial," katanya.

Abd Rashid berkata nasib masyarakat Pala'u tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang usaha dan pembelaan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan.

"Dalam hal ini, semua pihak perlu berganding bahu serta bekerjasama dengan pihak kerajaan amnya ESSCOM khasnya bagi memartabatkan bangsa ini setanding dengan masyarakat lain di negeri ini," katanya.

ESSCOM diwujudkan pada 1 April 2013 selepas berlakunya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu awal tahun yang sama.

ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.


Sumber berita dipertik daripada: Astro Awani.com
Untuk berita lanjut boleh layari: ESSCOM SABAH

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking