Isnin 17 December 2018
A- A A+
  • Utama
  • KESELAMATAN
  • Keratan Akhbar
  • KENYATAAN MEDIA YAB. DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI BERHUBUNG PEWARTAAN KUATKUASA PELAKSANAAN AKTA PENCEGAHAN KEGANASAN 2015 (POTA) 1 SEPTEMBER 2015

KENYATAAN MEDIA YAB. DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI BERHUBUNG PEWARTAAN KUATKUASA PELAKSANAAN AKTA PENCEGAHAN KEGANASAN 2015 (POTA) 1 SEPTEMBER 2015

KENYATAAN MEDIA

YAB. DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI

TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI

BERHUBUNG PEWARTAAN KUATKUASA PELAKSANAAN AKTA PENCEGAHAN KEGANASAN 2015 (POTA)

1 SEPTEMBER 2015

 

 

1)  Selaras dengan pembentangan Kertas Putih oleh YAB Perdana Menteri pada 26 November 2014 bertajuk “Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Militan Islamic State” di Dewan Rakyat, Kerajaan telahpun membentangkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 [Akta 769] di Parlimen pada sesi Mac 2015 lalu yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa di dalam memastikan tiada individu yang terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam perbuatan keganasan. Akta 769 tersebut telahpun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 28 Mei 2015 dan telahpun berkuatkuasa secara rasmi pada 1 September 2015.

2)  Dalam penggubalan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) ini, terdapat satu undang-undang baru turut digubal disamping beberapa pindaan selari yang dibuat terhadap 4 undang-undang sedia ada. Ini bertujuan untuk memastikan undang-undang tersebut benar-benar mantap dan komprehensif agar anasir-anasir ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

3)  Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770] (SMATA) adalah undang-undang baru yang membenarkan Ketua Pengarah Imigresen melalui suatu perintah untuk menggantung atau membatalkan semua dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang terlibat dalam organisasi pengganas tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana-mana bahagian sesuatu negara asing.

4)  Begitu juga, Menteri diberi kuasa untuk mengeluarkan suatu perintah untuk menuntut penyerahan dokumen perjalanan asing yang dimiliki oleh seseorang yang bukan warganegara Malaysia yang terlibat dengan perbuatan melakukan atau menyokong perbuatan yang melibatkan organisasi pengganas tersenarai di sesuatu negara asing atau di mana-mana bahagian sesuatu negara asing dan diserahkan kepada pegawai polis yang menuntutnya untuk ditahan selama 14 hari untuk proses siasatan.

5)  Manakala 4 pindaan selari tersebut adalah:

i. Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK);

ii. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA);

iii. Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); dan i

v. Akta Penjara (Pindaan) 2015.

6)  Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA), Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA) telahpun dikuatkuasakan pada 15 Jun 2015.

7)  Akta Pencegahan Keganasan 2015 ini dikuatkuasakan bersekali dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Akta Penjara (Pindaan) (No.2) 2015 iaitu pada 1 September 2015.

Sekian dimaklumkan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Putrajaya

#############

Sumber dipertik daripada laman web www.moha.gov.my

Untuk keterangan lanjut sila layari : http://www.moha.gov.my/index.php/ms/kenyataan-media-akhbar/2400-pota2015

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking