Isnin 17 December 2018
A- A A+

Kempen Keselamatan Jalan Raya Sebelum Bulan Puasa

ru_02_3

Rakyat Malaysia perlu mematuhi peraturan jalan raya.

DUNGUN 22 Jun - Polis Terengganu akan menganjurkan Kempen Memandu Berhemah sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadan dalam usaha membendung kemalangan jalan raya khususnya ketika musim perayaan Aidilfitri.


Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kempen keselamatan itu diadakan awal bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya sebelum mula bercuti untuk menyambut perayaan itu.


Katanya, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) untuk menganjurkan kempen tersebut.


Katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini hari ini, pada tahun ini, kita mulakan kempen keselamatan jalan raya ini lebih awal kerana tidak mahu ia diadakan pada saat-saat akhir. Kempen ini akan memberi tumpuan kepada usaha kita membendung kegiatan merempit di kalangan golongan muda.


Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, indeks jenayah di negeri ini berkurangan sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 26.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.


Ujarnya sebanyak 1,968 pelbagai jenis kes jenayah dicatatkan pada lima bulan pertama tahun ini berbanding 2,663 dalam tempoh sama pada 2009. Tambahnya daripada jumlah itu, sebanyak 490 kes berjaya diselesaikan untuk tempoh yang sama.


Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk meningkatkan penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan dadah.


Operasi membanteras dadah, katanya, akan diadakan setiap hari bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya.

 


Sumber : Utusan Malaysia

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking