Isnin 12 November 2018
A- A A+

Mengambil jalan yang jarang dilalui

KETIKA kami memulakan Program Transformasi Negara (NTP) pada 2010, Malaysia berdepan pelbagai cabaran daripada ketaksamaan sosioekonomi, kedudukan fiskal yang tidak berkembang dan pertumbuhan ekonomi yang lembab. Enam tahun kemudian, objektif kami masih utuh, iaitu untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 secara menyeluruh dan mampan. Dari tahun ke tahun, kerajaan gigih menumpukan usaha untuk menetapkan 'sasaran Olimpik' dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 'mustahil' yang telah kami tetapkan untuk diri sendiri.

Pada 2009, Malaysia dikatakan 'terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana' kerana pada tahun-tahun sebelumnya, tiada pengurangan jurang dicapai antara Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara dengan ambang pendapatan tinggi Bank Dunia. Kini, enam tahun selepas pelaksanaan NTP, jelas bahawa Malaysia telah berjaya melepasi perangkap pendapatan sederhana, dengan PNK per kapita AS$10,010 pada akhir 2016.

Kerajaan mempunyai matlamat yang jelas ketika memulakan NTP bahawa kami tidak akan menerima guna kaedah yang dilaksanakan oleh banyak negara, iaitu mengejar pertumbuhan dengan mempertaruhkan kedudukan fiskal kerajaan. Kami terpaksa membuat keputusan yang sukar seperti penarikan subsidi menyeluruh secara beransur-ansur dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang semuanya bertujuan mengurangkan jumlah pinjaman dan tahap defisit dalam usaha mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan.

Rancakkan ekonomi

Pada masa sama, NTP berjaya merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus membolehkan sektor swasta memacu pertumbuhan melalui dasar mesra perniagaan. Pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan melalui NTP berjaya mengagihkan semula sumber pertumbuhan Malaysia. Kita telah mengurangkan pergantungan pada hasil minyak dan gas daripada 41.3 peratus daripada hasil pendapatan kerajaan pada 2009 kepada kira-kira 14.7 peratus pada 2016.

Di samping melonjakkan PNK per kapita ke ambang pendapatan tinggi, ukuran utama transformasi negara digerakkan ke arah mencapai kedudukan fiskal yang kukuh dan pembangunan yang dipacu sektor swasta yang berkembang pada tahap sederhana untuk mencapai pertumbuhan mampan. NTP turut memfokuskan pengukuhan keinklusifan dalam ekonomi melalui keberhasilan sosioekonomi yang memberikan impak positif pada semua rakyat Malaysia.

Semua ini menuntut tindakan baharu dalam proses kerajaan dan keberanian untuk menginstitusikan langkah yang tidak popular, namun diperlukan untuk menerapkan penghematan dalam perbelanjaan kerajaan, selain peningkatan hasil untuk menggerakkan pembangunan sosio dan penambahbaikan untuk rakyat.

Hasilnya ialah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan. Keputusan dibuat oleh kerajaan terbukti tepat, meskipun berdepan cabaran global yang disebabkan oleh ketidakpastian dalam pasaran utama seperti AS, UK dan Wilayah Eropah serta kejatuhan harga minyak global, Malaysia terus mencapai pertumbuhan KDNK yang stabil pada kadar 4.2 peratus pada 2016, sekali gus mengekalkan trajektori melebihi empat peratus sejak NTP diperkenalkan pada 2010 dan ada kalanya, mengatasi kadar pertumbuhan global.

Tak jejas kedudukan fiskal

Kami berpegang pada matlamat yang jelas bahawa kami ingin memastikan pertumbuhan tidak menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan. Kami telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.1 peratus pada 2016. Dengan kadar pengurangan ini, kerajaan bertekad meneruskan usaha untuk mencapai sasaran keseimbangan fiskal menjelang 2020.

Kami turut mengurus nisbah hutang kerajaan kepada KDNK secara berhemat. Pada 2016, nisbah hutang kepada KDNK ialah 52.7 peratus iaitu masih di bawah tahap tertinggi hutang 55 peratus daripada KDNK yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan. Malaysia merupakan antara segelintir negara yang menetapkan sendiri tahap tertinggi hutang.

Kehematan fiskal ini disokong oleh aktiviti ekonomi yang cergas diterajui sektor swasta yang telah meningkatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pelaburan sebanyak sekali ganda sejak 2010. Antara 2011 hingga 2016, CAGR pelaburan swasta ialah 10.8 peratus berbanding dengan hanya 5.5 peratus bagi tempoh 2006 hingga 2010.

Selain itu, bermula dengan nisbah yang hampir sama bagi jumlah pelaburan yang tercapai di antara pelaburan awam berbanding swasta sebelum pelaksanaan NTP, sejak 2010 sektor swasta telah mendahului pelaburan sektor awam secara beransur-ansur. Pada 2016, sektor swasta menunjukkan penguasaan ketara dalam pelaburan yang dicapai, mencakup sebahagian besar, iaitu 71 peratus berbanding dengan pelaburan sektor awam sebanyak 29 peratus.

Lanskap yang menggalakkan pelaburan swasta telah direalisasikan melalui fokus NTP terhadap Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang diwujudkan untuk meletakkan sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan ekonomi. NKEA mencakup bahagian terbesar KDNK, iaitu RM865.3 bilion atau 70 peratus daripada KDNK negara yang berjumlah RM1.23 trilion pada 2016.

Impak serta-merta pertumbuhan yang dipacu sektor swasta dapat dilihat melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Sejak 2010, ekonomi negara merekodkan 2.26 juta pekerjaan baharu.

Keinklusifan dan impak sosioekonomi yang seimbang merupakan asas NTP. Menjadi sebuah negara yang membangun tidak bermakna apa-apa jika kita tidak inklusif dalam pembangunan. Kita mahu semua rakyat Malaysia mendapat peluang yang sama tidak kira dalam perniagaan, pendidikan, pekerjaan atau kualiti kehidupan.

B40 tumpuan utama NTP

Dengan mengambil kira perkara ini, kesukaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah 40 peratus terbawah Malaysia (B40) terus menjadi tumpuan utama NTP selaras dengan dasar pertumbuhan kerajaan. Ini merupakan komitmen ditetapkan pada awal NTP, iaitu untuk meningkatkan pendapatan bulanan kumpulan B40. Kini, median pertumbuhan pendapatan isi rumah B40 telah melepasi jumlah pertumbuhan pendapatan isi rumah Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) pada 12 peratus dan 12.8 peratus masing-masing.

Kami telah berusaha dengan gigih untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Setakat ini, pencapaian NTP adalah seperti berikut:

1. Menyiapkan jalan raya di luar bandar sepanjang 6,041.7 kilometer (km);

2. Menyediakan bekalan elektrik yang andal untuk 153,821 rumah luar bandar;

3. Membekalkan bekalan air bersih untuk 350,094 rumah luar bandar, dan

4. Membina dan membaik pulih 94,605 rumah untuk golongan miskin luar bandar.

Secara keseluruhan, semua langkah ini telah membantu kehidupan lebih 6.2 juta rakyat Malaysia. Usaha ini sebahagiannya direalisasikan oleh kajian semula kerajaan terhadap perbelanjaan yang dibuat melalui NTP. Melalui pengurangan subsidi menyeluruh secara beransur-ansur seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerajaan berjaya mengalihkan penyaluran dana kepada golongan sasaran yang lebih memerlukan.

Dana ini telah disalurkan kepada individu dan isi rumah berpendapatan rendah melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Selain itu, program 1AZAM yang menawarkan bantuan dalam empat bidang utama - penempatan kerja (Azam Kerja), pewujudan perusahaan perniagaan kecil-kecilan (Azam Niaga), pewujudan pembekal perkhidmatan kecil-kecilan (Azam Khidmat) dan pewujudan peluang dalam pertanian (Azam Tani), telah menyumbang secara signifikan dalam meningkatkan peluang isi rumah berpendapatan rendah untuk kehidupan yang lebih baik.

Inisiatif dan pencapaian ini menjadi bukti terhadap impak NTP yang meluas, sejajar dengan pendekatan program untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam arus transformasi negara untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

Seperti yang diumumkan pihak Jabatan Perdana Menteri pada Januari 2017, kita telah mencapai satu lagi kemajuan pada 2016, dengan bermulanya peralihan pengurusan prestasi dan pemantauan KPI kepada pihak perkhidmatan awam.

Sebelum ini, PEMANDU memperkenalkan proses transformasi, dan memantau serta menyokong pihak perkhidmatan awam dalam melaksanakan NTP. Pada 2016, adalah diputuskan bahawa beberapa NKRA, NKEA serta SRI akan dipindahkan sepenuhnya kepada perkhidmatan awam bagi pelaksanaan inisiatif transfromasi oleh penjawat awam.

Seiring dengan peralihan ini, NTP akan diamanatkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tahun 2017. Sejak pelantikan Tan Sri sebagai pegawai tertinggi kerajaan pada 2012, Tan Sri seharusnya diberi penghargaan setinggi-tingginya atas sokongan serta komitmen beliau terhadap NTP.

PEMANDU sokong kerajaan

PEMANDU akan meneruskan usaha menyokong kerajaan dalam pengurusan prestasi serta penyampaian NTP dalam tempoh masa dua tahun selanjutnya bagi memastikan peralihan yang lancar dan berkesan.

Saya ingin juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana memberi peluang kepada PEMANDU untuk memainkan peranan dalam agenda transformasi nasional. Perjalanan ini bukannya bebas daripada cabaran serta kekangan, malah ditambah lagi dengan pandangan negatif sesetengah golongan sinis.

Sungguhpun begitu, berdasarkan keputusan yang ditunjukkan setakat ini, saya yakin Malaysia kekal dalam landasan perjalanan transformasi ini. Saya yakin juga bahawa perkhidmatan awam akan giat meneruskan usaha baik yang telah dimulakan sejak 2010. Saya ingin menggalakkan semua penjawat awam untuk terus meningkatkan taraf amalan transformasi terbaik.

Penulis: Datuk Seri Idris Jala

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking