Isnin 12 November 2018
A- A A+

Malaysia raih manfaat kejayaan NTP

KUALA LUMPUR – Program Transformasi Negara (NTP) tidak diragui lagi merupakan satu daripada kisah kejayaan Malaysia kerana ia telah mendatangkan hasil yang positif yang mampu dilihat dan dirasai di seluruh negara, daripada peningkatan keyakinan pelabur hinggalah kepada mewujudkan peluang pekerjaan.

Tujuh tahun selepas pelancarannya, “Banyak kejayaan telah dicapai setakat perjalanan yang berterusan ini, dan yang paling penting janji kita kepada rakyat telah ditepati,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

NTP yang dilancarkan pada 2010, merupakan  satu inisiatif bertujuan untuk memacu Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata Malaysia telah keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, prospek cerah ekonomi juga telah disahkan oleh institusi antarabangsa dan agensi penarafan kredit utama telah mengesahkan bahawa Malaysia berada dalam band “A” dengan unjuran pertumbuhan yang stabil.

“Melihat kepada kemajuan gemilang yang telah kita capai setakat ini saya yakin kita akan dapat mencapai matlamat NTP untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan dalam Tinjauan Laporan Tahunan 2017 NTP yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Malaysia raih manfaat kejayaan NTP

Bagaimanapun, ia bukan satu perjalanan yang mudah, kerajaan terpaksa membuat keputusan sukar tetapi wajar untuk memastikan kemajuan yang termasuk rasionalisasi subsidi yang sebelum ini telah dibelanjakan secara purata kepada seluruh rakyat tanpa mengira tahap keperluan dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan kecekapan kutipan cukai.

“Meskipun menghadapi bantahan dan kritikan yang hebat, kita kekal dengan pendirian ini kerana kita tahu bahawa ini adalah keputusan yang betul dan natijahnya semua rakyat Malaysia dapat menyaksikan penurunan defisit fiskal negara daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada tiga peratus pada 2017,” kata Perdana Menteri.

Ekonomi Malaysia juga berkembang 5.9 peratus tahun lepas, pertumbuhan tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi kadar pertumbuhan negara-negara jiran serantau seperti Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan.

Hasil daripada pembaharuan dasar yang dilaksanakan sejak 2010, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia telah melonjak naik.

“Ini terbukti dengan kemasukan ramai pelabur baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Najib.

Pada 2017, Saudi Aramco, syarikat minyak milik Arab Saudi telah komited untuk melabur sebanyak US$7 bilion (RM1 = RM3.90) dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), dan US$900 juta lagi bagi 50 peratus pegangan dalam perniagaan polimer Petronas Chemicals Group Bhd.

Sementara itu, Huawei, syarikat peralatan dan perkhidmatan rangkaian dan telekomunikasi utama telah memilih Malaysia sebagai ibu pejabat operasi sedunia, pusat penyimpanan data dan pusat latihan globalnya.

Pelaburannya sebanyak RM2.2 bilion untuk membina pusat operasinya di negara ini telah mewujudkan lebih daripada 2,370 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, kata Najib.

Satu lagi pencapaian Malaysia yang dibanggakan adalah pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada Mac 2017 oleh Jack Ma, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba.

DFTZ disasarkan untuk menjadi hab serantau yang baharu untuk inovasi berasaskan Internet dan dijangka menggandakan eksport produk perusahaan kecil dan sederhana kepada US$38 bilion, mewujudkan 60,000 pekerjaan dan memudah cara perdagangan barangan bernilai US$65 bilion menjelang 2025.

“Syarikat-syarikat  ini memilih Malaysia kerana dasar yang telah kita laksanakan telah menjadikan negara ini sebuah destinasi yang menarik kepada mereka yang mahu mengembangkan perniagaan,” katanya.

Melangkah kehadapan, beliau berkata, kerajaan telahpun memulakan perancangan seterusnya di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN 2050).

“Apabila kita merealisasikan visi Malaysia menjadi negara maju, perancangan seterusnya adalah untuk menjadi salah sebuah negara yang paling maju di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi menjelang 2050,” kata Najib. - Bernama

Sumber: Sinar Harian 24 Mac 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking