Isnin 12 November 2018
A- A A+

Prinsip kedaulatan asas landasan TN50

Oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

 

 

TRANSFORMASI Nasional 2050 (TN50) ialah gagasan besar kerajaan untuk mengenal pasti aspirasi rakyat berbilang agama, etnik dan keturunan yang dilihat kritikal bagi maksud penetapan hala tuju nasional pada masa hadapan.

Matlamat TN50 perlu dilihat secara objektif dan positif.

Sebagai negara bercirikan persekutuan yang terasas daripada dua perjanjian utama, iaitu pada peringkat Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, prinsip kedaulatan yang termaktub dalam kedua-dua perjanjian itu hendaklah mendasari hala tuju TN50.

Prinsip kedaulatan ialah prinsip undang-undang yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan selari dengan konsep kedaulatan negara. Pematuhan pada Perlembagaan Persekutuan amat penting kerana di situlah terletaknya kedaulatan undang-undang.

Faham kedaulatan negara dari aspek konsepnya, dapat menjelaskan prinsip kuasa eksekutif dan undang-undang yang dijunjung Perlembagaan, sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri.

Antara ciri kedaulatan itu dapat dilihat pada pihak yang menginstitusikan Perlembagaan.

Sejarah pembentukan

Sejarah tanah air menunjukkan bahawa pembentukan Malaysia tidak bermula daripada kekosongan. Ia bermula dengan peletakan batu asas melalui Perjanjian Negeri 1948 bertarikh 21 Januari 1948, ditandatangani sembilan Raja yang berdaulat dengan Kerajaan British.

Kedudukan British sebagai negara pelindung yang fungsinya termaktub dalam perjanjian terdahulu.

Sir John Anderson, Pesuruhjaya Tinggi British ketika menandatangani perjanjian penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan 1909 pada 20 Oktober 1909, menegaskan bahawa British sentiasa akur pada hakikat kedudukan mereka di negeri Melayu ialah menerusi perkenan Raja-Raja Melayu.

Malah, kuasa mereka diperoleh daripada kedaulatan Raja-Raja Melayu sepenuhnya. Beliau juga mengesahkan tugas pihak British hanyalah sebagai penasihat atau kaunselor kepada Raja-Raja Melayu.

Atas keyakinan terhadap ketulusan dan komitmen British untuk sentiasa mematuhi perjanjian yang melindungi kedaulatan Raja-Raja Melayu, pembesar bersetuju memberi perkenan pelantikan Penasihat British seawal 1874.

Atas keyakinan sama, Raja-Raja Melayu bersetuju menubuhkan Majlis Persekutuan pada 1895. Selanjutnya, apabila gagasan Malayan Union ditolak kerana didapati bercanggah dengan representasi yang dibuat oleh Sir Harold McMichael dalam 1945, selain adanya unsur paksaan kepada Raja-Raja Melayu, sebuah Jawatankuasa Kerja Penggubalan Perlembagaan 1946 ditubuhkan.

Jawatankuasa kerja itu terdiri daripada wakil Raja-Raja Melayu, wakil UMNO dan Kerajaan British. Keputusan penting yang dirakamkan ialah ketetapan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah ditakrifkan menurut adat Melayu.

Susulan itu juga, Klausa 15 dalam setiap Perjanjian Negeri 1948 menetapkan bahawa ciri kedaulatan Raja-Raja Melayu yang terdiri daripada prerogatif, kuasa dan bidang kuasa hendaklah seperti yang dimiliki oleh baginda pada 1 Disember 1941, sebelum tarikh pendudukan Jepun lagi.

Ciri sebenar kedaulatan negara

Selanjutnya, kedaulatan Persekutuan berkonsepkan Raja-Raja Melayu terus dikekalkan dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas".

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 oleh Raja-Raja Melayu dan kelangsungan kedaulatannya dalam Perlembagaan Persekutuan secara langsung menjelaskan ciri sebenar kedaulatan negara.

Menurut 'Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan', kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941 bersumberkan ajaran Islam berserta pemakaian adat Melayu yang tidak bercanggah dengan prinsip perundangan Islam.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941 bukan sahaja satu peruntukan dalam Perjanjian Negeri 1948 bahkan direkodkan oleh Suruhanjaya Reid 1957.

Secara implikasinya, oleh sebab kedaulatan negara berkonsepkan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam, prinsip Perlembagaan negara semestinya perlu berada dalam kerangka kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Justeru, amat mustahak difahami bahawa kedudukan seorang Raja sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT, tidak membenarkan baginda meluluskan undang-undang atau dasar atau keputusan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Prinsip sama terpakai kepada perdana menteri, menteri dan mereka yang melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Pelaksanaan prinsip kuasa eksekutif Persekutuan

Perkara 39 berbunyi: "Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain".

Justeru, dalam pelaksanaan prinsip kuasa eksekutif Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong apabila menimbangkan rang undang-undang, dipandu oleh prinsip perundangan Islam, termasuk doktrin tadbir urus yang baik dan kaedah maqasid as-syar'iyyah.

Selanjutnya, kedaulatan Yang di-Pertuan Agong didapati tidak terhakis dengan semata-mata berlakunya pindaan untuk menguatkuasakan doktrin nasihat melalui Perkara 40 (1A) dan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dengan penghapusan imuniti Raja-Raja Melayu daripada prosiding undang-undang melalui pindaan, antaranya dalam Perkara-Perkara 32(1), 181(2), 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan.

Doktrin nasihat itu bersamaan dengan amalan syura, manakala imuniti tiada dalam Islam, sebaliknya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu masih mempunyai kuasa tersimpan sebagai ketua agama dan pemerintah tertinggi pada peringkat Persekutuan dan negeri.

Oleh yang demikian, hala tuju dan dasar TN50 dari sudut Perlembagaan hendaklah patuh syariah serta mengambil kira jati diri watan tanah air yang terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ialah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking