Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Latarbelakang

Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan. 



Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara. 



Rasional 

Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat menjadi Garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.

 

Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia. 



Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:



(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.



(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.



(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan - Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. 




Objektif

Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:


(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;


(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan



(iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.





Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:


(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;





(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;





(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;



(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan


(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.





Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, penglibatan pihak lain juga adalah penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan. 



Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini adalah penting. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan. Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urusetia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.



Peranan Kementerian/Jabatan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan. 



Penutup

Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.