Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Kependudukan Malaysia Ke Arah 70 Juta Penduduk

Latarbelakang

Matlamat kependudukan 70 juta telah disarankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Seri Dr. Mahathir Mohammad ketika beliau berucap di Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan September 1982. Beliau berpendapat bahawa Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk sebanyak 70 juta.

Saranan ini kemudiannya telah dijelaskan dan dikemukakan sekali lagi oleh beliau dalam ucapannya semasa membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada 29hb. Mac 1984. Matlamat kependudukan ini diharapkan dicapai dalam tempoh 115 hingga 120 tahun.

Rasional

Jumlah penduduk Malaysia adalah masih kecil dan ada faedah-faedah besar jika kependudukan Malaysia dibesarkan dalam jangka perancangan di atas. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia dengan kawasan yang seluas 334,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 15 juta, Negeri Thai dengan kawasan seluas 514,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 50 juta dan Republik Indonesia dengan kawasan tanah 2,027,087 km persegi mempunyai sebanyak 150 juta.

Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan 70 juta adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mengujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport. Pertumbuhan adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping itu ianya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Dengan yang demikian, adalah wajar angkubah-angkubah demografik ini diambil kira di dalam perancangan pembangunan untuk mempastikan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan.
 
Malaysia masakini mengalami kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.5%* bagi jangkamasa 1981-1985. Mengikut kadar ini, jumlah penduduk dianggarkan menjadi 15.279 juta dalam tahun 1984, iaitu pertambahan sebanyak 11.2% daripada jumlah 13.745 juta pada tahun 1980. Kadar pertumbuhan bagi jangkamasa-jangkamasa tertentu adalah seperti yang berikut:-

Jangkamasa  Kadar Pertumbuhan
1957 - 1960  2.8%
1960 - 1870  2.6%
1970 - 1980  2.3%
1980 - 1985  2.5%

Perbandingan antara jangkamasa di atas menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan sekarang ini adalah lebih tinggi sedikit dari kadar pertumbuhan bagi 1970-1980. Ini adalah disebabkan oleh kadar kesuburan yang lebih tinggi dalam tahun lima puluhan dan enam puluhan dan bertambahnya jumlah wanita-wanita muda yang mencapai umur perkahwinan. Walaubagaimana pun berdasarkan kepada arah aliran pertumbuhan penduduk sekarang, adalah dijangkakan bahawa kependudukan Malaysia akan mencapai jumlah kesetabilan dalam linkungan 39 juta orang dalam tahun 2150.

Menurut Laporan Pembangunan Dunia (World Development Report) yang diterbitkan oleh Bank Dunia dalam bulan Julai 1983, penduduk Malaysia akan dijangka menjadi 33 juta dalam tahun 2120. Unjuran-unjuran ini dibuat berdasarkan kepada kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.0% setahun (1980-2000) atas andaian kadar kesuburan yang berkurangan secara sederhana. Laporan ini selanjutnya menunjukkan penduduk Malaysia akan bertambah menjadi 17 juta dalam tahun 1990 dan mencapai jumlah 21 juta dalam tahun 2000. Unjuran-unjuran Bank Dunia ini tidaklah selari dengan matlamat penduduk 70 juta sekarang yang dijangka dicapai dalam tahun 2100. Ini bermakna bahawa dua komponen utama mengenai kependudukan iaitu kadar kesuburan dan kadar kasar kelahiran perlu dipertingkatkan dengan sewajarnya.

Perlu dijelaskan bahawa kajian kependudukan memerlukan pengetahuan mengenai arahaliran perkembangan masa lepas dan masa kini. Ketetapan unjuran besar bergantong kepada kefahaman yang mendalam terhadap fakta-fakta dinamik kependudukan pada pada keseluruhannya, terutama mengenai pola-pola kesuburan, kematian dan kekeluargaan.
______________________________________________________________
* Laporan Ekonomi 1984/85 Kementerian Kewangan Malaysia

Objektif

Objektif dasar ini adalah untuk mengujudkan jumlah penduduk Malaysia seramai 70 juta.

Strategi Pelaksanaan

Untuk mencapai matlamat dasar kependudukan 70 juta, beberapa alternatif telah dikaji. Antaranya adalah seperti yang berikut:


i.   Sekiranya JKK* (jumlah kadar kesuburan) sekarang iaitu sebanyak 
4 dibiarkan turun perlahan-perlahan sebanyak 0.1 mata setiap 5 tahun sehingga ia sampai ke paras penggantian, matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2100 (iaitu dalam tempuh 115 tahun) dan penduduk akan stabil pada atau dalam lingkungan 73 juta.


ii.   Sekiranya JKK sekarang iaitu sebanyak 4 dapat dikekalkan,
  matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2045 (iaitu 70 tahun).


iii.   Sekiranya JKK sekarang diturunkan kepada 3 dan seterusnya
  dikekalkan kepada paras tersebut, matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan 2085 (iaitu dalam 100 tahun).


iv.   Sekiranya JKK dinaikkan kepada 5 dan terus dikekalkan pada
  paras ini, maka matlamat penduduk akan dicapai dalam dalam lingkungan tahun 2031 (dalam 50 tahun).


v.   Tempoh yang paling cepat sekali matlamat ini akan dicapai ialah
  dalam tahun 2010, (atau dalam 30 tahun) jika sekiranya JKK ditingkatkan kepada 10 dan seterusnya dikekalkan pada paras sekarang.


vi.   Sekiranya JKK dibiarkan meningkat kepada 5.2 dalam tahun 2000 
dari 4.0 (1980) dan kemudiannya dibiarkan menurun ke paras penggantian maka matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2070 dan akan stabil pada 79 juta.


vii.   Tempoh masa yang paling lama untuk mencapai 70 juta ialah 
dengan membiarkan aliran sekarang menurun dan meningkat secara pusingan sehingga mencapai paras penggantian. Matlamat ini akan dicapai dalam lingkungan tahun 2125 iaitu dalam 135-140 tahun dan penduduk akan stabil pada 73 juta.

Salah satu daripada masalah utama, dalam membuat unjuran berasaskan kepada andaian JKK yang malar ialah, sungguhpun jumlah penduduk secara teorinya boleh mencapai 70 juta, pertumbuhan kependudukan tidak akan berhenti pada jumlah tersebut tetapi akan terus bertambah. Jadi langkah langkah yang wajar dan perlu diberi pertimbangan adalah alternatif yang pertama iaitu memperlambatkan JKK sekarang supaya penggantian penduduk di paras kesuburan boleh dilewatkan selama kira-kira 40 tahun daripada tahun 2030 kepada tahun 2070. Dengan cara ini, saiz kependudukan yang muktamat bagi Malaysia dijangka akan mencapai jumlah kira-kira 73 juta dalam tahun 2150, di mana 70 juta kependudukan akan tercapai dalam lingkungan tahun 2100.

Alternatif ini juga akan mempastikan kadar pertumbuhan kependudukan tahunan adalah rendah daripada kadar pertumbuhan keluaran negara supaya usaha-usaha pembangunan tidak terjejas oleh pertumbuhan kependudukan.

Jangkamasa untuk mencapai matlamat ini adalah mencukupi untuk memberi masa kepada pembangunan sosial dan ekonomi dari segi kepadatan penduduk, taburan penduduk, sumber keluaran dan alam melebihi 70 juta. Jumlah 70 juta ini dianggap optima selepas mengambilkira faktor-faktor dinamik kependudukan berasaskan saiz tanah dan sumber-sumber yang ada.

* JKK (Jumlah kadar kesuburan) ialah salah satu daripada ukuran ke atas status kesuburan bagi satu-satu kumpulan, komuniti atau negara (purata bilangan anak bagi setiap wanita dalam lingkungan umur subur (15-49).

Pelaksanaan

Di sebalik tanggapan-tanggapan rumit mengenai isu kependudukan ini, Kerajaan mempunyai sebab-sebab yang munasabah berhubung dengan pembesaran saiz kependudukan terutama dalam usaha mewujudkan penduduk yang rajin,  berdisiplin dan produktif. Ini adalah asas penting bagi perkembangan perindustrian dan pengujudan pasaran untuk barang keluaran tempatan. Pertambahan penduduk sebanyak empat atau lima kali ganda semestinya menimbulkan beberapa implikasi sosio-ekonomi. Kesan pembesaran kependudukan sebegini rupa akan dirasai di semua peringkat kehidupan khususnya terhadap sumber-sumber negara. Di antara bidang bidang yang akan terlibat adalah seperti berikut:-

i.   Bekalan  Makanan
Sebahagian besar barang-barang makanan terpaksa di import dan ini akan menimbulkan masalah jaminan makanan dan pertukaran asing. Dengan itu kajian yang sepatutnya perlulah dibuat mengenai keupayaan kegunaan tanah dan penggunaan sumber-sumber lain.


ii.   Perumahan
  Sekurang-kurangnya sebanyak 10 juta unit perumahan akan diperlukan untuk menampung tambahan penduduk sebanyak 50 juta dan ini akan mengambil masa selama 100 tahun mengikut kadar pembinaan sekarang ini.


iii.   Pekerjaan
Lebih daripada 20 juta pekerjaan baru perlu diujudkan. Dengan demikian adalah penting untuk menggerakkan tenaga buruh menjadi berdisiplin, bermotivasi dan produktif.


iv.   Kesihatan
Bilangan katil-katil hospital perlu ditambah dari 25 ribu sekarang ini kepada 140,000 jika matlamat jangka panjang iaitu 2 katil bagi tiap-tiap 1,000 penduduk hendak dicapai. Bilangan doktor-doktor pun perlu ditambah daripada 4,200 kepada lebih 30,000.


v.   Pelajaran
Tempat bagi 15 juta hendaklah disediakan dan sekurang-kurangnya 4000,000 guru diperlukan.


vi.   Bekalan  Air
Penggunaan air adalah dijangkakan sebanyak 15.6 billion meter padu. Kekurangan air telah pun dijangkakan pada tahun 2000 bagi jumlah penduduk sebanyak 21 juta.


vii.   Penggunaan Tenaga
Penggunaan tenaga akan meningkat sebanyak 4 atau 5 kali ganda ini akan berlipat ganda lagi dengan adanya ekonomi perindustrian. Masalah ini akan bertambah rumit kerana pencapaian 70 juta akan berlaku dalam masa Malaysia mengalami kehabisan minyak dan gas (post-hydrocarbon).

Berikutan dari masalah-masalah di atas, adalah penting agar dasar- dasar yang sewajarnya diberi perhatian yang utama. Di antara dasar- dasar tersebut adalah seperti berikut:-

i.   Dasar pembangunan ekonomi, yang mengambilkira pertalian antara 
pembangunan dan kesuburan, kematian, penghijrahan di samping pertumbuhan, komposisi dan taburan penduduk serta peningkatan pendapatan daya pengeluaran.


ii.   Dasar tenaga manusia, yang mengambilkira pertumbuhan tenaga 
buruh dan perubahan kadar penyertaan tenaga buruh mengikut jantina dan juga keperluan yang meningkat untuk latihan teknologi yang termaju.


iii.   Dasar sosial yang memberi tumpuan kepada aspek-aspek seperti 
kesihatan, pelajaran, perumahan, pembangunan keluarga (termasuk perancang kelauarga) peningkatan kebudayaan, keseimbangan sosial dari segi kumpulan ethnik dan jantina, kebajikan kanak- kanak dan orang-orang tua dan lain-lain kerana kesemuanya ini akan dipengaruhi oleh arus pembangunan sosioekonomi, pertumbuhan dan taburan penduduk.


iv.   Dasar makanan, air dan pertanian haruslah memberi tekanan ke 
atas kecukupan dari segi taburan, perubahan corak penggunaan dan juga ke atas peningkatan cara-cara penghasilan.


v.   Dasar Tenaga haruslah dan mengenalpasti sumber-sumber tenaga 
baru.


vi.   Dasar alam sekitar yang mengambil kira bahaya-bahaya akibat 
kerosakan ekosistem yang disebabkan oleh perkembangan dan pertumbuhan penduduk yang pesat.

Kerajaan dalam usaha mencapai dasar kependudukan ini telah memperkenalkan beberapa langkah, di antaranya dasar percukaian dan faedah-faedah bersalin yang akan memberi munafaat kepada keluarga beranak lima. Kerajaan juga telah mengkaji semula dan menyelaraskan fungsi-fungsi dan peranan Lembaga Kependudukan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan lembaga ini diharap dapat memainkan peranan yang penting dalam mencapai matlamat dasar ini.

Penutup

PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990

Berasaskan kepada data-data semasa, jumlah kadar kesuburan telah menurun daripada 3.8 bagi setiap wanita dalam tahun 1981 kepada 3.6 dalam tahun 1990. Laluan pertumbuhan penduduk ini adalah seperti yang ditunjukkan di Rajah 1. Pertumbuhan penduduk negara pula mencatitkan penambahan daripada 13.8 juta dalam tahun 1980 kepada 17.8 juta dalam tahun 1990. Pada keseluruhannya, tren ini adalah selaras dengan matlamat Dasar ini. Walaubagaimanapun, penurunan kadar kesuburan ini adalah berbeza di antara kumpulan-kumpulan ethnik negara ini. Jumlah kadar kesuburan Melayu dalam tahun 1990 adalah melebihi matlamat, iaitu 4.3, berbanding dengan jumlah kadar kesuburan Cina dan India yang kini menghampiri paras penggantian.

RAJAH 1

Laluan  Pertumbuhan  Penduduk  ke  Arah

Pencapaian Matlamat 70 Juta Penduduk

--------------------------------------------
 Tahun  Jumlah Kadar  Pertumbuhan  
 Kesuburan  Penduduk (Juta)
 
 1990  3.6   17.6  
 2000  3.5   22.3  
 2010  3.3   27.7  
 2020  3.1   33.6  
 2030  2.9   39.8  
 2040  2.7   46.0  
 2050  2.5   51.9  
 2060  2.3   57.5  
 2070  2.05  62.1  
 2080  2.05  65.8  
 2090  2.05  68.7  
 2100  2.05  70.8

Dari segi penyelarasan perlaksanaan Dasar ini pula, pada keseluruhannya faktor-faktor kependudukan mengikut matlamat Dasar ini telah dapat diambilkira dan diintegrasikan di peringkat perancangan sektor-sektor pembangunan. Ini dihasilkan menerusi kerjasama yang rapi dengan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan.

Dalam sektor kesihatan, Kementerian yang berkenaan telah menyatukan strategi-strategi dan objektif-objektifnya dengan Dasar Kependudukan Negara dalam merancang dan melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatannya. Bagi tempoh 1984-1989, Kementerian ini telah dapat memenuhi keperluan kesihatan untuk penduduk negara yang telah bertambah.

Pencapaian ini dapat ditinjau melalui kadar kematian kasar yang telah menurun daripada 12.4 setiap 1,000 penduduk dalam tahun 1957 kepada 4.6 dalam tahun 1989. Kadar kematian bayi pula telah menurun daripada 75.5 setiap 1,000 kelahiran kepada 13.2 dalam tempoh yang sama. Sementara kadar kematian ibu bersalin mencatitkan penurunan kepada 0.24 setiap kelahiran dalam tahun 1988, berbanding dengan 1.48 dalam tahun 1970. Akibat daripada penurunan kadar kematian ini, jangka hayat penduduk negara telah meningkat daripada 55.8 tahun (1957) kepada 68.8 tahun (1989) bagi lelaki dan dari 58.2 kepada 73.3 bagi wanita.

Bagi sektor pendidikan pula, faktor-faktor kependudukan telah digunakan sejak tahun 1984 bagi menganggarkan bilangan murid-murid yang akan memasuki Darjah 1, bilangan bilik darjah dan guru, bilangan yang akan menamatkan persekolahan dan menyertai pasaran buruh serta taburan keciciran mengikut jantina dan umur. Selain daripada itu, aspek-aspek kependudukan juga telah diperkenalkan di dalam kurikulum-kurikulum persekolahan menerusi mata-mata pelajaran seperti Alam dan Manusia, Kemahiran Hidup, Ilmu Alam dan Statistiks.

Untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan dalam bidang-bidang kependudukan dan kekeluargaan, LPPKN juga telah menghasilkan beberapa usaha kajian dan penyelidikan. Penemuan-penemuan kajian ini menyediakan sumber rujukan dan input yang penting kepada perancangan, pengawasan dan penilaian pencapaian perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara.

Di bawah program Pembangunan Keluarga pula, pencapaian yang diperolehi sehingga kini adalah pada keseluruhannya memuaskan. Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah perkhidmatan perancang keluarga yang bertujuan untuk menjaga kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan keluarga melalui amalan penjarakan kelahiran yang lebih baik. Untuk tempoh Rancangan Malaysia Kelima (1986-1990), seramai 380,621 penerima baru perancang keluarga telah didaftarkan. Ini merupakan penambahan sebanyak 19.3% berbanding dengan pencapaian di bawah Rancangan Malaysia Keempat (1991-1995).

Di bawah program ini juga beberapa aktiviti penyelidikan telah dan sedang dilaksanakan dalam bidang-bidang biomedikal dan perubatan reproduksi manusia. Ini meliputi kajian-kajian mengenai kaedah-kaedah dan teknologi kontraseptif serta aspek kemandulan dan kebakaan. Hasil-hasil kajian ini digunakan bagi merumus satu program kebangsaan perkhidmatan perancang keluarga untuk digunakan oleh agensi-agensi yang berkenaan.

Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentigan peranan institusi keluarga, LPPKN juga telah menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan dan kaunseling keluarga yang merangkumi perkara-perkara seperti perkahwinan, penjagaan anak dan keibubapaan. Pada awal bulan Mac, 1990, Lembaga ini dengan kerjasama Kementerian Kebajikan Masyarakat telah melancarkan Kempen Keluarga Bahagia di peringkat seluruh negara. Kemuncak kempen ini yang telah mendapat sambutan baik di kalangan orang ramai ialah pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan pada 11 November, 1990. Perayaan ini yang akan diadakan setiap tahun pada tarikh berkenaan merupakan satu pengiktirafan rasmi oleh pihak Kerajaan mengenai pentingnya institusi keluarga di dalam proses pembangunan negara. Pelancaran Hari Keluarga Kebangsaan juga meletakkan Malaysia di antara negara yang pertama yang menetapkan satu hari yang khusus untuk merayakan institusi keluarga.

Pihak LPPKN kini sedang berusaha untuk memantapkan lagi perlaksanaan program Pembangunan Keluarga di masa-masa akan datang. Dalam hubungan ini keutamaan ditumpukan kepada usaha menyelaraskan aktiviti-aktiviti kekeluargaan yang dijalankan oleh pelbagai agensi ke arah pencapaian matlamat pengekalan dan pengukuhan institusi keluarga sebagai unit asas masyarakat.
 
Masalah-masalah Yang Dihadapi
 
Di antara masalah-masalah yang dihadapi dalam perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara ialah :-


i.   Tahap Pemahaman Mengenai Dasar Yang Rendah
Hasil daripada kajiselidik yang telah dijalankan oleh LPPKN dan Jabatan Penerangan Malaysia menunjukkan bahawa masih terdapat banyak perbezaan dalam tanggapan dan persepsi masyarakat mengenai Dasar ini. Di antara lain, Dasar ini disalah anggap sebagai satu rancangan untuk menggalakkan kadar kelahiran yang lebih tinggi.


Di samping itu masih juga terdapat keadaan di mana isi kandungan mesej-mesej yang disiarkan kepada orangramai oleh beberapa agensi Kerajaan sering bertentangan antara satu dengan lain atau dengan objektif-objektif Dasar Kependudukan Negara.


Bagi mengatasi masalah ini, LPPKN akan meneruskan usaha-usaha penyebaran maklumat mengenai Dasar ini kepada semua lapisan masyarakat menerusi media cetak dan lain-lain aktiviti seperti seminar, bengkel, kursus dan majlis-majlis taklimat. Dalam usaha ini, peranan lain-lain agensi yang terlibat dengan penyiaran dan penerangan kepada orang ramai juga adalah sangat mustahak untuk mengurangkan kekeliruan dan masalah salah tafsiran Dasar ini.


ii.   Keperluan Memperkukuhkan Penyelarasan Perlaksanaan Dasar
Faktor-faktor Kependudukan mempengaruhi dan juga dipengaruhi oleh pembangunan sosioekonomi. Walaupun pada keseluruhannya pencapaian agensi-agensi sektoral dalam melaksanakan Dasar Kependudukan Negara adalah memuaskan, aspek penyelarasan antara agensi ini masih perlu dipertingkatkan. Usaha ini perlu dilaksanakan lebih-lebih lagi dengan adanya beberapa Dasar baru yang telah digubal oleh Kerajaan, seperti, Dasar dan Plan Induk Penswastaan, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Pertanian dan lain-lain.


Untuk memperkukuhkan lagi mekanisme penyelarasan perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara,LPPKN sedang berusaha untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Penasihat Penduduk. Jawatankuasa ini telah ditubuhkan oleh Kerajaan dalam tahun 1985 untuk tempoh 2 tahun bagi mengkaji aliran pertumbuhan kependudukan negara serta aspek aspek yang berkaitan dengan perlaksanaan Dasar ini. Keanggotaan Jawatankuasa ini akan terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang kependudukan dari agensi-agensi Kerajaan dan pusat-pusat pengajian tinggi. Satu daripada fungsi utama Jawatankuasa ini kelak ialah pembentukan satu Pelan Indikatif yang akan merangkakan keperluan-keperluan sumber mengikut sektor bagi tempoh-tempoh jangka panjang, pertengahan dan jangka pendek selaras dengan perlaksanaan Dasar Kependudukan Negara.


Selain daripada itu, LPPKN juga akan terus menjalankan aktiviti-aktiviti kajian untuk mendapatkan maklumat yang lebih kemas kini mengenai kependudukan. Dalam hubungan ini, bermula dengan Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995), satu usaha mengumpul data-data demografi akan dilaksanakan di peringkat peringkat Negeri dan juga Daerah. Usaha ini dijangka akan memperkukuhkan lagi sumber data dan juga penyelarasan pelaksanaan Dasar Kependudukan Negara.

Malaysia adalah dalam golongan negeri-negeri yang kecil yang secara tegasnya mempunyai dasar kependudukan. Untuk matlamat dasar kependudukan ini secara berkesan, adalah penting mengadakan dasar-dasar serentak dalam bidang-bidang ekonomi, sosial, guna tenaga, alam sekitar, makanan, air, pertanian, tenaga dan lain-lain secara menyeluruh. Dengan itu adalah perlu supaya semua pihak iaitu Kerajaan, sektor swasta dan yang paling penting daripada rakyat sendiri, memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.

Dasar ini sebenarnya memperlihatkan satu perubahan pemikiran yang penting dan radikal mengenai kependudukan iaitu daripada dasar pertumbuhan yang berbentuk 'restrictive' kepada yang berbentuk 'promotive'. Dasar seperti ini diharap memelihara kepentingan jangka panjang negara memandangkan hakikat bahawa rakyat bukanlah merupakan 'tanggungan' negara tetapi sebaliknya dianggap sebagai harta-harta produktif yang penuh berpotensi. Seperti yang telah dihuraikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sendiri, sebarang pertambahan dari segi kependudukan sepatutnyalah diiringi dengan pertambahan daya pengeluaran yang seimbang di segenap bidang. Perkara yang utama dalam hal ini ialah untuk mempastikan kadar pertumbuhan ekonomi mendahului kadar pertumbuhan kependudukan.