Jumaat 16 November 2018
A- A A+

Rancangan Kerjasama Teknikal Malaysia

Latarbelakang 

Kabinet telah bersetuju pada 25hb. Julai 1979 untuk mewujudkan rancangan Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Rancangan ini ialah merupakan suatu manifestasi Malaysia dalam konteks kerjasama di antara negara Selatan-Selatan (South-South) dan lain-lain negara yang sedang membangun. Rancangan kerjasama ini diwujudkan di atas andaian bahawa negara-negara yang sedang membangun boleh mempelajari pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan negara daripada negara-negara yang sedang membangun sendiri. Di dalam rancangan ini, negara-negara ASEAN, negara-negara Anggota Persidangan Islam dan juga negara-negara Kepulauan Pasifik, Asia serta negara-negara yang mundur di Asia dan Afrika diberi keutamaan dalam menerima bantuan. Untuk mengendalikan rancangan ini, suatu Jawantankuasa Utama yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan. Ahli-ahli lain termasuk Y.B. Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi. Dalam perkara ini, Unit Perancang Ekonomi menjadi urusetia.
 
Rasional

Dalam meningkatkan moral dan maruah Malaysia di kalangan antarabangsa, Malaysia haruslah memperlihatkan satu sikap yang positif untuk membantu dan bekerjasama dengan negara membangun yang lain untuk menyediakan dan menawarkan satu asas pengalaman dan kepakaran dalam negeri kepada negara membangun yang lain. Rancangan kerjasama teknikal Malaysia ini haruslah juga dilihat dari faedah sampingan yang diperolehi seperti mempereratkan perhubungan Malaysia antara negara-negara lain serta mempertingkatkan hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan negara yang berkenaan.
 
Objektif

Tujuan Malaysia mengadakan rancangan ini adalah seperti berikut:-
(i)  untuk mengeratkan lagi perhubungan Malaysia dengan negara-negara yang sedang membangun;


(ii)  mempertingkatkan lagi perhubungan perdagangan di antara Malaysia dengan negara-negara yang sedang membangun, seperti perdagangan langsung dan pasaran untuk barangan Malaysia sendiri;


(iii)  memberi peluang kepada pihak swasta Malaysia untuk menceburkan diri dalam pelaburan di negara-negara tersebut; dan


(iv)  untuk membantu negara-negara yang mundur dan yang sedang membangun, diatas dasar perikemanusiaan tanpa mendapat apa-apa balasan.


Adalah diharapkan bahawa pada masa-masa yang akan datang, negara-negara yang menerima bantuan akan menyokong Malaysia didalam forum-forum antarabangsa. Di samping itu, persefahaman serta kerjasama di antara negara-negara yang sedang membangun diharap dapat dipertingkatkan.
 
Strategi Pelaksanaan

Sehingga sekarang, Malaysia telah melaksanakan rancangan ini melalui 4 cara yang berikut:-

(i) Malaysia menanggung semua kos bantuan tersebut;


(ii) Malaysia dan negara penerima bersama-sama menanggung kos bantuan tersebut;


(iii) Malaysia menyediakan segala kemudahan dan negara penerima akan menanggung kos bantuan tersebut;


(iv) Malaysia menyediakan semua kemudahan dan pihak-pihak tertentu seperti UNDP, CETC dan lain-lain lagi membiayai kos penyertaannya.


Di bawah rancangan ini, bantuan dan kemudahan yang diadakan adalah seperti berikut:-

(i)  Biasiswa dan hadiah latihan untuk peserta-peserta yang mengikuti berbagai kursus di universiti-universiti dan institusi-institusi latihan di Malaysia;


(ii)  Kemudahan-kemudahan lain untuk berlatih di berbagai institusi latihan di Malaysia;


(iii)  Lawatan sambil belajar serta penempatan di agensi-agensi kerajaan. (Dalam program diatas, peserta-peserta dibayar elaun sara hidup, lojing, tiket kapalterbang pergi-balik. Mereka juga diberi kemudahan kesihatan dan pergigian dan tidak dikenakan yuran pengajian semasa menjalani latihan atau berkursus).
(iv)  Kepakaran serta khidmat nasihat dalam bidang-bidang yang Malaysia mempunyai kepakaran tertentu.

Selain daripada itu, rancangan kerjasama ini juga boleh dipertimbangkan dalam bentuk kebendaan dan peralatan-peralatan tertentu kepada negara-negara yang dikenalpasti memerlukannya.
 
Penutup

Rancangan Kerjasama Teknikal Malaysia ialah satu rancangan yang praktikal di mana pengalaman-pengalaman dan idea dalam pembangunan negara dapat dikongsi bersama oleh negara-negara yang sedang membangun. Dengan ini juga diharap negara-negara berkenaan dapat meringankan beban dan masalah dalam pembangunan negara masing-masing. Adalah juga diharapkan negara-negara sedang membangun yang lain juga akan menurut jejak langkah Malaysia dalam memberi bantuan di dalam bidang-bidang yang mereka mempunyai pengalaman dan  kepakaran. Dengan ini kerjasama di antara negara-negara sedang membangun akan lebih erat lagi.

 

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking