Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Plak Punca Radang Gusi

Adakah gigi anda berdarah setiap kali menggosok gigi? Gusi berdarah kerap dikaitkan dengan radang gusi atau disebut gingivitis yang selalunya disebabkan binaan plak pada gigi. Plak yang kelihatan seperti simen terjadi disebabkan teknik pembersihan gigi yang tidak betul atau kecederaan pada gusi disebabkan teknik menggosok yang agresif.





Jika gigi tidak dijaga, dalam jangka masa panjang plak akan menjadi faktor utama gigi mereput. Plak mengandungi bakteria, mukus dan sisa makanan. Andai tidak dibuang ia berubah menjadi tartar yang boleh terperangkap di dalam akar gigi.





Plak dan tartar menyebabkan kesan radang pada gusi. Ia menyebabkan gusi membengkak dan lembut. Kecederaan atau trauma pada gusi, walaupun apa pun sebabnya (termasuk teknik menggosok gigi yang agresif) juga boleh menyebabkan gingivitis.





Selain itu, risiko gingivitis termasuklah diabetes yang tidak dikawal, hamil dan gigi tidak bersih. Gigi yang tidak teratur dan penggunaan alat penjagaan seperti berus gigi atau pendakap gigi tidak bersih boleh juga menjejaskan kesihatan gusi.





Kadangkala pengambilan ubat-ubatan seperti pil pencegah kehamilan juga boleh dikaitkan dengan gingivitis. Satu lagi faktor yang kerap dikaitkan dengan gingivitis adalah diet yang tidak betul, terutama kekurangan vitamin C atau B selain kalsium.





Kalsium misalnya penting untuk mengekalkan kekuatan tulang termasuk tulang yang menyokong gigi. Vitamin C membantu mengekalkan integriti tisu yang saling berkait. Ia juga adalah antioksidan yang kuat dalam menangani masalah radikal bebas yang memusnahkan tisu.





Justeru, kekurangan vitamin C membolehkan gingivitis memusnahkan tisu yang menyokong gigi termasuk gusi, ligamen dan tulang alveolar (yang bertindak sebagai soket kepada gigi).





Sumber Maklumat: Berita Harian