Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Orang Kurang Upaya

Pengenalan

Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.


Definisi

OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.


Pernyataan Dasar

Dasar OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Dasar ini turut mengutamakan nilai hak kemanusian seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan mereka hidup berdikari.


Objektif Dasar

Dasar OKU menetapkan empat objektif berikut:

1. Memberi pengiktirafan serta penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

2. Memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama di bawah undang-undang negara.

3. Menghapuskan diskriminasi terhadap seseorang atas sebab ketidakupayaannya dan.

4. Mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.

Strategi

Strategi di bawah Dasar OKU terbahagi kepada 15 bidang seperti berikut:

1. Advokasi

Meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat terhadap OKU menerusi program yang berkesan.

2. Aksesibiliti

Memastikan penyediaan persekitaran bebas halangan (barrier-free) termasuk kemudahan di dalam dan luar bangunan, tempat kerja, kawasan perumahan serta ruang awam.
Meningkatkan penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang mesra OKU dan
Menggalakkan penyediaan kemudahan serta akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

3. Kesihatan
Meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk program pencegahan, pengesanan dan intervensi awal (primary care) dan Meningkatkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti kepada OKU (secondary and tertiary care)

4. Pemulihan
Meningkatkan keberkesanan serta memperluaskan program pemulihan sedia ada bagi OKU.
Mewujudkan program pemulihan baru bagi OKU selaras dengan perkembangan semasa.

5. Pendidikan
Meningkatkan akses OKU kepada pendidikan di semua peringkat, termasuk pendidikan sepanjang hayat.

6. Pekerjaan
Membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penggajian OKU dalam semua sektor pekerjaan.
Menggalakkan OKU bekerja sendiri (self-employed) dan berdikari.

7. Keselamatan Diri dan Perlindungan Sosial
Melindungi OKU dari segala bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan.
Memantapkan perkhidmatan dan kemudahan kepada OKU yang layak dan berkeperluan.

8. Perkhidmatan Sokongan
Memantapkan mekanisme perkhidmatan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
Menggalakkan penghasilan dan penjualan alat-alat tiruan dan sokongan OKU yang mampu milik.

9. Sosial
Meningkatkan kemudahan dan menggalakkan penyertaan OKU dalam aktiviti sosial.

10. Pembangunan Sumber Manusia
 (i) Membangunkan kapasiti dan menyediakan sumber manusia terlatih serta mencukupi yang memberi      perkhidmatan kepada OKU.
 (ii) Membangunkan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan OK.
(iii) Meningkatkan penyertaan OKU dalam proses perancangan dan membuat keputusan.


11. Penglibatan Masyarakat
  (i) Menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam program pembangunan OKU.
 (ii) Menjalin dan memperkukuhkan rangkaian kerjasama multisektor dan multidisiplin.
(iii) Menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat.


12. Penyelidikan dan Pembangunan
 (i) Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai OKU serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.
(ii) Memantapkan mekanisme penyelarasan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program-program OKU.


13. Perumahan
 (i) Menggalakkan reka bentuk universal dalam pembinaan rumah dan kawasan persekitaran.
(ii) Membuka peluang kepada OKU untuk memiliki rumah.


14. Kanak-kanak OKU
Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk kanak-kanak kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.


15. Wanita OKU
Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk wanita kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.

Penutup

Pihak Kerajaan amat prihatin terhadap golongan OKU dan penggubalan Dasar ini merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, pelaksanaan Dasar OKU memerlukan kerjasama yang bersepadu daripada semua pihak serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan serta pertubuhan bukan Kerajaan, ahli akademik, pakar perubatan, pekerja sosial, sukarelawan dan orang ramai.

 

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat