Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Hari Malaysia

selamat-hari-malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Mencari Nilai Hari Malaysia


TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.  Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?

Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.

Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.

Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam kehidupan realiti.

Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.

Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam diri generasi muda.

Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.

NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.

Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.

Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari Malaysia.

Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.

PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)
sumber : Berita Harian


Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara
 
TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.

Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.

Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”

Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.

Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London. Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak.Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.

Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan Sarawak sendiri.

Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan Agung UMNO 1963/64, pada 23 Ogos 1961, persetujuan telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah jawatankuasa antara Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.

Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8 Disember 1962. Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia.

Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Solo yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878. Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga memecahbelahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara.

Konfrantasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno juga telah berterusan selama tiga tahun hingga mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan tentera. Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia di bawah Presiden slogan “Ganyang Malaysia”. Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.

Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain. Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis, Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua negara. Bagi menyelesaikan masalah berikut dan memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.

Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam bentuk ketenteraan dari negara lain. Dalam persidangan kemuncak di Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Brunei tidak turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai negerinya.

Walaupun pembentukan Malaysia telah mendapat persetujuan PBB, tetapi Indonesia seakan berusaha untuk menggagalkan rancangan tersebut malah sengaja melewatkan ketibaan wakilnya sebagai pemerhati kerja-kerja rombongan PBB ke Sabah dan Sarawak. Akhirnya PBB telah bersetuju mengeluarkan laporannya mengakui 80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.

Tentangan dari Indonesia tidak habis di situ sahaja sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya dengan menarik kembali Duta Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada di Indonesia. Filipina turut bertindak keras apabila cuba menurunkan taraf kedutaannya di Malaysia menjadi konsul sahaja. Akibat tindakan tersebut, maka Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan diplomatic dengan Indonesia dan Filipina dua hari selepas kelahiran negara Malaysia dilancarkan.


Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.

Pengisytiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka di hadapan DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia. Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah pulih.

Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang di kecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus di kecapi oleh generasi akan datang.


sumber : http://umno-online.com


Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen.

Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.

Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan.

Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.

Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Rentetan Peristiwa
 
27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik


23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.


Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah


18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak


6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur


17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia


21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.


9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.


16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia

sumber : www.arkib.gov.my


Mengiktiraf Tanggal 16 September Sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua. Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.


Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia. Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.

Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia. Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan. Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah

bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

sumber : Utusan Malaysia

Sabah Bakal Jadi Tuan Rumah Hari Malaysia 16 September Ini

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di sini pada 16 Sept, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen mengibar Jalur Gemilang di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.Pada 19 Oktober tahun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia. Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan ini Musa meminta rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat, katanya.Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih banyak premis yang tidak mengibarkan jalur gemilang walaupun arahan secara bertulis telah dikeluarkan. –


sumber : BERNAMA


Empat Tokoh Terima Anugerah Tokoh Malaysia

Seramai empat tokoh akan menerima Anugerah Tokoh Malaysia pada sambutan Hari Malaysia 16 September ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Rais berkata, dua tokoh akan dipilih dari Semenanjung dan masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak oleh jawatankuasa berkenaan. Tambah beliau lagi, mereka sedang cari tokoh-tokoh dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menerima anugerah Tokoh Malaysia pada hari tersebut.

Rais berkata, anugerah ini adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan dan rekod perjuangan seseorang berkaitan dengan negara ini. Katanya, keempat-empat tokoh ini akan menerima anugerah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau menyampaikan ucapan pada sambutan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

sumber : Bernama

Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

sumber : Wikipedia

Blog 1Malaysia (www.1malaysia.com)

Pada hari ini (16 September) empat puluh enam tahun yang lalu, Malaysia mengalu-alukan keanggotaan negeri Sabah dan Sarawak dan mula mengatur langkah untuk menjadi salah sebuah negara terpenting di dunia. Beliau ketika itu baru berusia 10 tahun ketika ayahanda nya, Tun Abdul Razak Hussein, menjadi saksi kepada perisytiharan bersejarah kemerdekaan Sabah pada 1963, tetapi saya ingat bagaimana bangganya beliau saat peristiwa penting itu berlangsung. Sabah dan Sarawak memenuhi satu sudut yang istimewa di hati saya kerana peristiwa bersejarah itu.

Komitmen Dato' Sri terhadap 1Malaysia – kepada gagasan bahawa perbezaan pada bangsa dan agama itulah yang menjadikan negara kita lain daripada yang lain – telah diilhamkan daripada apa yang saya lihat di Sabah dan Sarawak. Kelainan rakyat kita ini telah menjadi asas kepada banyak dasar awam yang hebat-hebat yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran saya, kesemuanya dengan matlamat memanfaatkan kekuatan rakyat kita daripada kumpulan etnik dan anutan kepercayaan yang berbeza untuk membentuk satu asas daya saing global dan identiti budaya.

Sumbangan Sabah dan Sarawak kepada Malaysia melebihi tauladan dalam perpaduan dan permuafakatan. Malaysia menjadi syurga dunia pelancongan disebabkan oleh kepelbagaian ini dan keajaiban alam semula jadi yang dipersembahkan kepada dunia oleh dua negeri ini. Banyak warisan budaya negara kita terikat kepada ikon kehidupan di Sabah dan Sarawak. Rumah-rumah panjang kekal menjadi tulang belakang kehidupan di dua negeri ini kerana ia ialah simbol kepada keperluan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk hidup di bawah satu bumbung dan untuk membina tempat tinggal negara kita secara bersama-sama.

Apabila matahari terbit di langit Malaysia, ia menyinari Sabah dan Sarawak terlebih dahulu. Masa hadapan kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan kita untuk bekerja dan hidup bersama-sama. Sabah dan Sarawak menunjukkan kepada kita jalan yang perlu kita lalui untuk menuju pembangunan sivil dan saya percaya kita harus membalas budi dengan melabur dengan lebih banyak lagi dalam pembangunan ekonomi di dua buah negeri ini. Apabila tiba masanya Sabah dan Sarawak mengumumkan ulang tahun ke-47 mereka pada tahun hadapan, saya harap kita dapat mengotakan janji-janji kita untuk memberikan pelaburan ekonomi, pendidikan dan prasarana yang lebih banyak di kedua-dua buah negeri ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lihat kenyataan peribadi saya tentang Hari Malaysia.


sumber : www.1malaysia.com

16 September Diisytihar Cuti Umum Hari Malaysia

Perdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan. Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963. Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan perdana menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti di Semenanjung.

Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.

Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, perdana menteri berkata, kekerapan dan kapasiti penerbangan akan terus di pertingkatkan selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan dengan menambah lebih banyak peruntukan.

Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam negara lebih lima dekad lepas. Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya. Abdul Hadi bertanya sama ada dengan penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasar-dasar terdahulu termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.

sumber : BERNAMA


 selamat-hari-malaysia01