Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Profil Negeri Pahang

Pahang

genting-highlandpahang-cameron-highlandGenting Highland (kiri) dan Cameron Highland antara tempat peranginan di Pahang

Negeri Pahang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 35,965 km2 dan terletak di Pantai Timur. Sebahagian besar daripada negeri Pahang diliputi hutan dan menyebabkan sebahagian besar taman negara terletak dalam negeri ini. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 1,534,800 orang.

Pada zaman dahulu, Pahang mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong-Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225, Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng.

Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur. Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu ada menyebut perkataan Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, dan Phang. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas’udi berpendapat, semua perkataan tersebut adalah merujuk kepada Pahang.

Warna bendera Pahang ialah hitam dan putih. Warna hitam melambangkan rakyat negeri tersebut manakala warna putih melambangkan Raja. Pahang mempunyai banyak keistimewaan berbanding negeri lain kerana memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu Sungai Pahang, gunung yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Tahan (2,190 meter) dan tasik semula jadi yang terbesar di Malaysia iaitu Tasik Bera.

Ibu negeri dan pusat pentadbirannya terletak di Kuantan sementara Pekan adalah Bandar Diraja. Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen, 42 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 11 daerah iaitu Jerantut, Tanah Tinggi Cameron, Temerloh, Raub, Bentong, Rompin, Kuala Lipis, Maran, Pekan, Bera dan Kuantan.



Sebagai destinasi pelancongan, negeri Pahang dianugerahkan dengan keindahan alam semula jadi yang memukau. Antara destinasi yang menarik ialah Pantai Cherating, Teluk Chempedak dan Pantai Beserah. Di Pahang juga pelancong boleh menikmati kenyamanan udara tanah tinggi di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit Fraser. Di samping itu, negeri Pahang turut memiliki taman-taman hutan yang terpelihara keasliannya seperti Rimba Kenong dan Endau-Rompin.

Sumber: Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan
Jabatan Penerangan Malaysia
http://www.pahang.gov.my