Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Profil Negeri Johor

Johor

taman_negara_endau_rompindanga-bay

Taman Negara Endau-Rompin (kiri) merupakan hutan simpan tertua di Malaysia dan Danga Bay

antara tempat tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

 

Perkataan Johor berasal daripada perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan apabila para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

Johor merupakan negeri paling selatan dan ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia. Johor mempunyai keluasan 18,986.88 km2. Anak bulan dan bintang yang terdapat pada bendera negeri ini melambangkan Raja yang berdaulat. Warna merah pula bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Warna biru tua melambangkan kerajaan negeri. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 3,305,900 orang.

Merangkumi sepuluh buah daerah, Johor memiliki pantai yang putih berseri, pulau yang indah, hutan tropika yang masih belum diterokai, makanan yang lazat serta pengalaman budaya yang tidak mungkin dapat dilupakan. Johor Bahru, ibu negeri Johor, cukup terkenal di kalangan rakyat Singapura untuk berkunjung pada setiap hujung minggu bagi membeli belah dan menikmati juadah.

Bagi peminat sukan golf, Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah padang golf yang tertinggi di Malaysia dan ia berstatus dunia. Bagi pencinta keindahan pantai dan peminat sukan air, Johor mempunyai persisiran pantai yang cukup luas dan sekurang-kurangnya 50 buah pulau terdapat di Johor.

Antara pulau yang terkenal adalah Pulau Rawa, Pulau Sibu, Pulau Aur, Pulau Besar dan Pulau Pemanggil di mana cukup termasyhur dengan kejernihan air bak kristal, keputihan pasir dan pelbagai hidupan laut yang berwarna-warni. Kepada pencinta alam, Taman Negara Endau Rompin yang terletak di sebelah utara Johor merupakan antara hutan simpan yang tertua di Malaysia. Pulau Kukup iaitu sebuah pulau di tenggara Johor, merupakan hutan paya bakau yang kedua terbesar di dunia.

 

Sumber: Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan
Jabatan Penerangan Malaysia

http://www.johordt.gov.my