Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Profil Negeri Kelantan

Kelantan

akokwayang-kulit

Kuih akok (kiri) dan wayang kulit antara tarikan di Kelantan

Nama “Kelantan” dikatakan berasal daripada perkataan “gelam hutam”, iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa nama itu berpunca daripada perkataan “kilatan” atau “kolam tanah”. Selain itu negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah.

Kelantan mempunyai keluasan 15,104.62 km2 dan terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, serta bersempadan dengan Thailand. Ibu negeri dan Bandar Diraja terletak di Kota Bahru.

Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen, 45 kawasan Dewan Undangan Negeri dan terbahagi kepada 10 Jajahan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Putih, Bachok, Kota Bharu dan Gua Musang.

Bandar-bandar yang lain ialah Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa. Warna bendera Kelantan ialah merah dan putih. Warna merah melambangkan kesetiaan rakyat kepada negeri dan warna putih pula melambangkan kesucian Raja. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 1,670,500 orang.

Kelantan menawarkan destinasi pelancongan yang menarik seperti Pantai Cahaya Bulan, Pantai Irama, Pantai Bisikan Bayu, Pantai Seri Tujuh, Pusat Batik/Songket, Kilang Batik, Bazar Buluh Kubu, Perkampungan Nelayan, Perkampungan Kraf tangan dan Muzium Kraf, Muzium Islam, Istana Balai Besar, Istana Jahar, Jeram Lenang, Jeram Pasu, kraf tangan perak Kelantan, Lata Beringin, Muzium Diraja, Muzium Negeri, dan Muzium Perang.


Selain itu, Kelantan juga menawarkan pengalaman tinggal di kampung, menyusuri sungai, menikmati makanan yang enak-enak seperti kuih akok, lompat tikam, nasi kerabu, keropok dan sebagainya.

 

Sumber: Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan
Jabatan Penerangan Malaysia

http://www.kelantan.gov.my