Isnin 12 November 2018
A- A A+

Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2013

Tahun 2013 adalah tahun pertama fasa kedua Program Transformasi Kerajaan atau GTP 2.0 (2013-2015). Walaupun berdepan cabaran dan jangkaan yang lebih besar, GTP 2.0 telah berjaya mencapai 104 peratus berbanding sasaran keseluruhan pada 2013 dengan keberhasilan ketara dalam pengupayaan ekonomi rakyat. Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak semasa membentangkan laporan tahunan GTP pada 12 Mei 2014, menyatakan bahawa piawaian yang tinggi telah diletakkan dalam GTP 2.0 berbanding GTP 1.0. Peletakan sasaran di luar kelaziman ini membolehkan kerajaan terus mencipta kejayaan, di samping mengekalkan momentum transformasi terutama dalam ketujuh-tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

• NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat
Pada tahun 2013, Kerajaan terus memberi pelbagai bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup terutamanya kepada golongan mudah terjejas. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dengan bantuan tunai sebanyak RM500. Bantuan ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan kurang RM2 ribu sebulan dengan pemberian bantuan tunai RM250. Peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.9 bilion dinikmati lebih 4.8 juta isi rumah dan 2 juta individu bujang pada 2013. Pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.2 juta murid sekolah rendah dan menengah turut diteruskan pada 2013. Manakala, nilai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) telah ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 telah memberi manfaat kepada 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Bagi terus membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menawarkan pelbagai produk dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran ditambah sebanyak 40 buah pada 2013 menjadi 125 buah KR1M keseluruhannya. Malah harga barangan KR1M adalah sama antara Semenanjung and Malaysia Timur. Sejumlah 70 Klinik 1Malaysia (K1M) telah dibuka dan beroperasi pada 2013 dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 238 buah sejak tahun 2010. K1M telah memberikan rawatan kepada 9.2 juta pesakit sejak pelaksanaannya. Program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang turut menerima sambutan mendapat penambahan sebanyak 1,110 pengendali makanan pada 2013 menjadikan jumlah keseluruhan peserta MR1M seluruh negara adalah sebanyak 4 ribu kedai.

• NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar
NKRA yang dahulunya dikenali sebagai NKRA Meningkatkan Infrastruktur Asas Luar Bandar ternyata telah berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan terutamanya dan mempertingkatkan kehidupan penduduk luar bandar secara keseluruhan. NKRA Pembangunan Luar Bandar yang beralih daripada memfokus kepada penyediaan infrastruktur asas dalam GTP 1.0 kepada program Kampung Abad ke-21 dalam GTP 2.0 telah mencapai 120 peratus sasaran pelaksanaan infrastruktur pada tahun 2013. Halangan kekurangan peruntukan, kontraktor yang tidak cekap, kekurangan bekalan bahan binaan dan isu-isu logistik berjaya ditangani secara berkesan. Pencapaian NKRA - sebanyak 11,021 buah rumah luar bandar dibina dan dibaik pulih; 31,004 isi rumah luar bandar disambungkan dengan bekalan air bersih; 19,996 isi rumah luar bandar disambungkan dengan bekalan elektrik; 1,241km jalan raya luar bandar diselenggarakan; Memajukan dan menyelenggarakan ladang moden bersama kerajaan negeri di bawah Program Rimbunan Kasih serta memperluaskan aktiviti ekonomi koperasi kampung melibatkan 25 buah kampung; dan menggalakkan penyertaan lebih ramai belia menerusi Pertandingan Pelan Perniagaan Luar Bandar.

• NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar
Pada 2013 jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam telah meningkat kepada 21% pada waktu puncak pagi berbanding 17% pada 2010. Usaha meningkatkan infrastruktur pengangkutan dan menambahbaik perkhidmatan serta rangkaian pengangkutan awam di bandar-bandar utama terutamanya di Lembah Klang telah mendorong kejayaan tersebut. Pencapaian NKRA - peningkatan selang waktu perjalanan bagi KTM Komuter daripada setiap 30-45 minit kepada 15 minit pada waktu puncak pagi; 58 buah perhentian bas utama di Lembah Klang dilengkapi Paparan Maklumat Penumpang (PID) elektronik; Laluan Aliran Deras (BRT) yang terpanjang menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang; Hentian Akhir Bandar (HAB) bas baharu di Pasar Seni Munshi Abdullah untuk mengurangkan kesesakan di pusat bandar Kuala Lumpur; Pelancaran Park ‘n’ Ride di stesen Sg. Besi dan Bandar Tasik Selatan; Menyediakan perkhidmatan percuma GO-KL setiap hari - 18,000 penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut; dan membina Hentian Akhir Bandar (HAB) bas baru di Pasar Seni dan Munshi Abdullah untuk elak kesesakan di pusat bandar.

• NKRA Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah (NKRA LIH)
Pencapaian NKRA LIH pada 2013 turut mencatat pencapaian melebihi sasaran iaitu pada kadar 111%. NKRA LIH dalam GTP 2.0 memberi tumpuan untuk mengupaya ekonomi golongan miskin dan merangsang faktor pemangkin ekonomi mereka. Program Akhiri Zaman Miskin atau 1AZAM yang menjadi inisiatif utama NKRA LIH terus diperkasa. Ke arah itu, kerjasama dengan pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dipergiat bagi mempercepat dan memperluas usaha membantu golongan yang memerlukan. Tumpuan turut diberikan dalam menangani kemiskinan luar bandar di Sabah dan Sarawak termasuk Semenanjung Malaysia serta kemiskinan bandar. Pencapaian dan inisiatif NKRA - Pelaksanaan Program Bakul Makanan bagi masyarakat Penan; Menyediakan perkhidmatan komuniti untuk 128 buah keluarga di Pitas; Peningkatan penyertaan baharu dalam Program 1AZAM melibatkan 38,663 orang; Peserta 1AZAM sedia ada yang berjaya meningkatkan pendapatan sebanyak RM300 bagi mana-mana tiga bulan seramai 18,249 orang; Melengkapkan pembangunan wanita 1,000 orang usahawan wanita; Pembinaan rumah dan tempat tinggal kepada golongan kurang berkemampuan menerusi kerjasama NGO dan rakan-rakan korporat melibatkan; dan meningkatkan peranan NGO dan rakan kongsi korporat dalam mengurangkan kemiskinan dengan mempercepatkan penyampaian bantuan kepada golongan berpendapatan rendah melibatkan 34 NGO.

• NKRA Memastikan Pendidikan Berkualiti
Inisiatif NKRA Pendidikan di bawah GTP 2.0 melibatkan transformasi seluruh rantaian sistem pendidikan. Perubahan secara menyeluruh ini telah membawa pencapaian bermakna dalam meningkatkan sistem pendidikan negara. Sehingga 2013, NKRA ini telah menempa kejayaan cemerlang antaranya: 115 buah sekolah rendah dan menengah telah dianugerahkan status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan sejumlah 16,102 (99.2%) murid prasekolah awam telah melengkapkan penilaian kendiri Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan menjelang Disember 2013. Antara pelaksanaan inisiatif untuk meningkatkan kualiti pendidikan adalah dengan memperluas capaian kepada pelajar Pendidikan Khas; Membangunkan kriteria baharu untuk penganugerahan Tawaran Baharu bagi ganjaran pengetua dan guru besar; dan merintis instrumen penilaian Piagam Baharu Guru kepada 410,000 orang guru di seluruh negara.

• NKRA Mengurangkan Jenayah
Dalam GTP 2.0, NKRA Mengurangkan Jenayah mencatat pencapaian cemerlang pada tahun 2013 dengan memberi fokus kepada jenayah pecah rumah dan letusan keganasan senjata api di samping terus melaksanakan inisiatif pencegahan jenayah teras demi mewujudkan negara Malaysia yang lebih selamat. Inisiatif untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada orang ramai turut diteruskan seiring dengan usaha meningkatkan kehadiran pegawai polis di jalanan menerusi program Omnipresence. NKRA mengurangkan jenayah melibatkan inisiatif antaranya Pelancaran Operasi Cantas Khas PDRM bagi menangani letusan jenayah senjata api; Menubuhkan Unit Perhubungan Antarabangsa(ILU) di Ibu Pejabat Kuala Lumpur; Penubuhan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM bagi menangani masalah jenayah di kawasan perumahan; Membuat pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah 1959 untuk memberi kuasa yang lebih luas kepada polis dalam menangani jenayah terancang, tegar dan ganas; dan memperluaskan program pemulihan dengan membina 14 buah Rumah Perantaraan bagi bekas banduan dan penagih dadah untuk mengurangkan risiko ulang laku jenayah.

• NKRA Membanteras Rasuh
Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International pada tahun 2013 iaitu di kedudukan ke-53 berbanding kedudukan ke-54 pada 2012. Kejayaan NKRA Membanteras Rasuah dalam tahun pertama GTP 2.0 ini meletakkan tekad untuk terus mempertingkatkan integriti operasi perkhidmatan awam secara menyeluruh. Pencapaian NKRA membanteras rasuah - memberi latihan integriti kepada Ahli-ahli Parlimen; Pembentukan 27 sekretariat pencegahan rasuah di Maktab Perguruan; Sebanyak 50 kontrak rundingan terus kerajaan dipaparkan secara online dalam portal MyProcurement dan mempercepatkan akses kepada Laporan Prestasi Ketua Audit Negara untuk meningkatkan pengawasan dalam perbelanjaan kerajaan.

Sumber: Buku Rasmi Tahunan

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking