Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Soalan dan Jawapan Berkaitan Penjagaan Bayi












Berapa lamakah saya perlu menanti sebelum hamil lagi? Bolehkah saya bersalin secara normal untuk anak yang berikutnya?

Tiada ketetapan yang khusus berhubung bila seseorang wanita itu boleh hamil lagi selepas menjalani Caesarean, tetapi kebanyakan doktor menasihatkan wanita agar menunggu dua tahun untuk hamil lagi. Ini dapat memberi anda masa yang cukup untuk pulih daripada pembedahan, memastikan anak sulung sudah boleh berjalan dan tidak lagi meminum susu ibu, dan bersedia untuk menimang cahaya mata lagi.

Anda mungkin boleh bersalin secara normal untuk anak yang berikutnya kerana Caesarean kali pertama dilakukan atas sebab tekanan darah tinggi.



Kelahiran normal selepas Caesarean boleh dilalui dan anda mempunyai 75-80 peratus peluang untuk melahirkan bayi melalui faraj. Kelahiran melalui faraj adalah lebih selamat jika dibandingkan dengan kelahiran Caesarean yang berulang. Akan tetapi, anda perlu berbincang dengan doktor berhubung beberapa kemungkinan risiko.

Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin, Pakar Perunding Kanan Obstetrik & Ginekologi, Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM).

Bilakah Harus Saya Memberi Bayi Saya Makanan Selain Daripada Susus Ibu?

Bayi sepatutnya diberi susu ibu sahaja selama sekurang-kurangnya enam bulan. Akan tetapi, untuk mengetahui bilakah masa yang tepat untuk memulakan makanan pejal, anda perlulah melihat perkembangan bayi.

Tanda yang paling ketara yang boleh dilihat ialah bayi masih kelihatan lapar selepas menyusu (lapan hingga 10 kali penyusuan atau 32 oz/946ml susu formula sehari). Bayi anda mungkin kelihatan berminat atau berkelakuan aneh apabila anda makan.

Bayi yang sudah bersedia untuk makan makanan pejal boleh mengangkat dan menyokong berat kepala sendiri. Berat badan bayi sekurang-kurangnya 6kg dan sudah dua kali ganda daripada berat lahir. Bayi menunjukkan sifat ingin tahu tentang dunia sekelilingnya, mengekori objek dengan mata dan tersenyum apabila melihat sesuatu.

Bayi baru lahir akan menolak lidahnya ke luar mulut apabila sesuatu dimasukkan ke dalam mulut. Untuk memberi bayi makanan pejal, bayi perlulah dapat mengatasi refleks tolakan lidah yang kuat yang sedia wujud sejak lahir. Kebanyakan bayi bersedia untuk menerima makanan pejal sekitar usia empat hingga enam bulan. Anda tidak perlu melihat kalendar; cuma perhatikan tanda-tanda perkembangan bayi.

Jika bayi merengek atau tidak menunjukkan minat untuk makan, kembalilah kepada penyusuan secara eksklusif untuk seminggu dua lagi dan cuba sekali lagi. Anda tidak perlu tergesa-gesa sebelum bayi berusia enam bulan.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Berapa banyak garam yang selamat ditambahkan ke dalam sayur kukus lecek untuk bayi saya yang berusia tujuh bulan?

Garam berbahaya untuk bayi yang masih kecil, khususnya yang berusia di bawah empat bulan, kerana buah pinggang mereka masih belum matang dan tidak boleh mengumuhkan garam ke dalam air kencing. Diet yang mengandungi terlalu banyak garam boleh menyebabkan bayi mengalami pendehidratan yang, dalam keadaan yang terlampau, boleh menyebabkan kerosakan organ.

Bayi memang memerlukan garam dalam jumlah tertentu di dalam dietnya tetapi ia sudah dibekalkan oleh susu ibu atau susu formula dan selepas empat bulan, ia boleh didapati daripada makanan yang tidak diproses seperti nasi, buah-buahan dan sayuran. Jangan tambahkan garam ke dalam makanan bayi sewaktu atau selepas memasak makanan tersebut.

Anda juga perlu berhati-hati terhadap lain-lain perasa yang mengandungi garam, misalnya kicap, sos tomato, sos tiram dan sebagainya. Ia tidak perlu ditambahkan ke dalam makanan bayi sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia 12 bulan. Jika anda menyediakan hidangan untuk seluruh ahli keluarga, ketepikan bahagian untuk bayi sebelum menambah garam.

Dalam pembedahan Caesarean, jenis bius manakah yang patut dipilih - bius setempat atau bius umum?

Ia bergantung kepada anda dan pakar bius (pakar anestetik). Suntikan bius setempat seperti melalui tulang belakang (bius spinal) atau ruang epidura (bius epidural) adalah pilihan yang lebih selamat kerana ia menyingkirkan risiko muntah dan tersedut muntah ketika dan selepas pembedahan berbanding bius umum.

Anda juga boleh berjalan lebih awal selepas pembedahan dan anda dapat mengambil cecair dan makanan dengan lebih awal.



Dengan mengambil pertimbangan terhadap semua aspek ini, boleh dikatakan suntikan bius setempat adalah pilihan yang lebih baik meskipun ia mungkin tidak boleh diberikan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.

Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin.

Bolehkah bayi (enam bulan ke atas) menjadi pemakan sayur (vegetarian)?

Terdapat beberapa jenis falsafah pemakanan sayur. Diet yang paling ketat ialah vegan yang tidak mengandungi sebarang jenis makanan yang berasaskan haiwan, termasuk susu dan telur. Terdapat zat-zat tertentu yang tidak hadir atau terlalu kurang dalam diet pemakan sayur, terutamanya vitamin B12, zat besi dan protein.

Adalah lebih mudah untuk memastikan pemakanan yang mencukupi untuk bayi anda jika dia tidak mengamalkan diet vegan. Akan tetapi, jika anda melakukan perancangan yang bijak dan berhati-hati, anda masih boleh memberikan pemakanan sayur yang berkhasiat dan pelbagai kepada bayi anda.



Untuk melakukan perkara ini, anda perlu memastikan si bayi mengambil makanan daripada kumpulan makanan berikut pada setiap hari iaitu bijirin, susu dan hasil tenusu, kacang dan biji benih serta; kekacang, kacang dan hasil soya. Jika bayi anda tidak mengambil makanan daripada kumpulan makanan ini atas sebarang alasan (misalnya jika dia cerewet makan, tidak gemarkan tekstur atau rasanya, alah atau tidak toleransi terhadap makanan tertentu atau faktor budaya), maka anda perlu mendapatkan nasihat dari pakar pemakanan atau pakar diet.



Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon