Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Gastrik

Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding/pengalas/mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif. Lazimnya, keradangan berpunca daripada jangkitan bakteria helicobacter pylori (H. pylori) yang turut menjadi penyebab utama kepada kebanyakan ulser perut.

Penyebab Gastrik

Perut meliputi kantung kosong yang berotot terletak di bahagian atas di kiri abdomen, betul-betul di bawah rusuk. Orang dewasa mempunyai perut sepanjang lebih kurang 25 sentimeter dan boleh mengembang untuk menampung sehingga satu gelen makanan dan minuman.

Tisu perut tersusun rapat dan berlipat sesama sendiri seperti kipas semasa perut kosong. Apabila ada makanan, lipatan ini terbuka dan mengembang. Dalam perut inilah makanan diproses dan disimpan sebelum ia dibuang melalui usus. Daripada mulut, makanan perlu melalui saliran makanan yang panjang dan berotot yang dinamakan sebagai esofagus sebelum sampai ke perut. Dinding perut pula ada beberapa lapisan otot yang menggodak makanan sehingga hancur.

Kelenjar pada dinding perut, dalam masa yang sama, merembeskan jus gastrik termasuk enzim dan asid perut bagi membantu mencernakan makanan. Salah satu asid termasuklah asid hidroklorik yang bersifat kakis dan boleh melarutkan besi. Bagaimanapun, kehadiran mukus atau cecair bikarbonat dapat menyeimbangkan paras keasidan dalam perut dan melindungi tisu perut.

Punca-punca lain Gastrik:

  • Penggunaan kerap ubat penahan sakit bagi melegakan kesakitan tertentu seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Pengambilan kokain
  • Merokok
  • Stres
  • Gangguan autoimun
  • Penyakit crohn
  • Radiasi dan kemoterapi
  • Makan atau minum bahan-bahan menghakis seperti racun
  • Pengaliran semula hempedu ke dalam perut
  • Rembesan asid gastrik yang berlebihan
  • Jangkitan kuman/parasit, terutamanya di kalangan mereka yang lemah sistem ketahanan badannya
  • Lain-lain masalah perubatan seperti HIV/AIDS, penyakit buah pinggang.

Gastritis Terbahagi Kepada Dua:

  • Akut, apabila keradangan berlaku secara mengejut lazimnya disebabkan oleh gabungan klasik mual dan rasa panas membakar atau ketidakselesaan pada bahagian atas abdomen/hulu hati.
  • Kronik, terjadi secara perlahan-lahan dalam jangka masa yang panjang, cenderung menyebabkan kesakitan dan rasa terlalu kenyang atau hilang selera makan selepas makan sedikit.

gastritis

 

Tip Sepanjang Bulan Puasa

  • Mengambil berat tentang pemakanan semasa bersahur bukan hanya disebabkan oleh masalah gastrik tetapi kerana ia merupakan amalan yang disunatkan
  • Bersahur pada waktu menjelang imsak dan bukannya sebelum tidur
  • Bersederhana semasa berbuka dan tidak mengambil makanan berlebihan kerana ini mungkin menyebabkan sebu hulu hati
  • Mengelakkan makan sepanjang malam dan tidur dalam keadaan perut yang penuh. Keadaan ini hanya membebankan usus yang sepatutnya berehat semasa tidur. Oleh itu, makanlah antara tiga hingga empat jam sebelum tidur.
  • Elakkan tabiat terus tidur sebaik makan sahur kerana ia menimbulkan masalah pada sistem penghadaman.
  • Ada sesetengah individu yang alah pada makanan tertentu seperti cuka dan rempah. Jadi, elakkannya.
  • Begitu juga, elakkan makanan yang berlemak
  • Sesetengah sayuran mengeluarkan banyak gas seperti brokoli, kubis dan kacang soya. Hindari makanan ini.
  • Bersahur dengan makanan dan bukan sekadar minum air supaya dapat mengisi perut yang kosong.
  • Amalkan solat tarawih bagi memudahkan penghadaman makanan.