Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Demam Denggi



Kes denggi naik secara mendadak sehingga kerajaan telah mengisytiharkan empat negeri iaitu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Selangor memiliki jumlah pengidap denggi kritikal. Dari Januari sehingga 24 September 2005, sebanyak 27,569 kes demam denggi dicatatkan di seluruh negara berbanding 21,786 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Jumlah kematian telah meningkat kepada 70 orang tahun ini berbanding 68 orang dalam tempoh yang sama sepanjang tahun lalu. Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan melancarkan Operasi Kawalan Denggi secara besar-besaran di kesemua negeri terbabit bagi membendung dan mencegah penyebaran penyakit yang boleh membawa maut.



Apa itu Denggi?



Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut. Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes. Penyakit ini biasanya berlarutan selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya.

Jenis-jenis penyakit denggi

  • Demam denggi klasikal
    Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever'
  • Demam denggi berdarah
    Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2 hingga 13 tahun. Pada tahap awal (selama 2 hingga 4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera



Agen Penyebab Penyakit Denggi


Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat empat jenis 'serotype' virus yang telah dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4 hingga 5 hari pada tahap awal penyakit.



Pembawa Agen Penyakit Denggi

Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak 2 hingga 4 mg darah iaitu 1.5 kali berat badannya. Nyamuk aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki. Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu :

  • Aedes Aegypti
    Ciri-ciri : Tanda putih-perak bentuk kecapi dikepala. Nyamuk Aedes Aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.

  • Aedes Albopictus
    Ciri-ciri: Garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan. Nyamuk Albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia. Disamping bekas buatan nyamuk ini juga boleh berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan lain-lain tempat yang boleh air bertakung.

    Jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.

denggi1

Cara Jangkitan

Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama 8 hingga 10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.



Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil 'Penularan Mekanikal'.



Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya.



Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.



Tanda Serangan Denggi

  • Demam kuat secara mengejut dan berterusan
  • Ruam pada kulit
  • Sakit tulang, otot, sendi, biji mata dan kepala
  • Hilang selera makan
  • Muntah-muntah
  • Sakit Perut
  • Pendarahan pada badan, hidung dan mulut

Rawatan

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi.

  • Rawatan Demam Denggi Klasikal
    Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu, mengurangkan demam(suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku

  • Rawatan Demam Denggi Berdarah
    • Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.
    • Demam yang sangat panas meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik.
    • Pesakit juga diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Masa yang paling genting ialah pada hari ke3 hingga hari ke7.
    • Pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ia menggambarkan darjah kehilangan plasma.

Tempat Pembiakan

Nyamuk aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah.
Ia tidak boleh membiak di dalam air yang kotor.

  • Di dalam rumah
    Ia membiak di dalam piring alas pasu bunga.
    Tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi.
    Perangkap semut.

  • Di luar rumah
    Di dalam tayar buruk.
    Saluran air hujan.
    Tin-tin kosong atau botol.
    Bata bangunan atau kawasan pembinaan
    Cawan getah
    Lubang pokok
    Tunggul buluh
    Ketiak daun seperti -pandan dan nenas

Langkah Kawalan Denggi

  • Sistem pemantauan
  • Semburan asap
  • Pemeriksaan premis untuk mencari dan memusnahkan jentik-jentik
  • Menggalakkan penggunaan abate
  • Mengedarkan risalah dan pemberitahuan mengenai langkah pengawalan pembiakan nyamuk aedes
  • Meminta kerjasama pengetua dan guru besar bagi menggerakkan pelajar bersama memeriksa halaman dan dalam rumah.